Bismillahirrahmanirrahim…
Saban hari di laman-laman sosial seperti
facebook, twitter dan sebagainya, ramai yang menaikkan status tidak sabar untuk
pulang, atau sudah kegembiraan tiba di tanah air bersama keluarga tercinta.
Begitulah fitrah manusia yang sentiasa ingin mencari kebahagiaan, yang salah
satunya dikecapi dengan ketenangan bersama ibu bapa dan ahli keluarga yang
lain. Namun sedarlah bahawa, bersama keseronokan ini datangnya tanggungjawab
terhadap ibu bapa kita. Cuti yang panjang bukanlah untuk kita berehat dan
bersuka ria semata-mata, malah inilah masanya untuk kita berbakti kepada ibu
bapa dan menebus masa-masa kita sepanjang berjauhan dari mereka di perantauan.
Menyingkap sebuah kisah pada zaman Nabi Musa
a.s, baginda adalah satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan Allah
s.w.t. Setiap kali dia hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke Bukit Tursina.
Di atas bukit itulah dia akan bercakap dengan Allah s.w.t. Nabi Musa sering
bertanya dan Allah s.w.t. akan menjawab pada waktu itu juga. Inilah
kelebihannya yang tidak ada pada nabi-nabi lain. Suatu hari Nabi Musa telah
bertanya kepada Allah s.w.t, “Ya Allah, siapakah orang di syurga nanti yang
akan berjiran dengan aku?” Allah s.w.t pun menjawab dengan mengatakan nama
orang itu, kampung serta tempat tinggalnya. Setelah mendapat jawapan, Nabi Musa
turun dari Bukit Tursina dan terus berjalan mengikut tempat yang diberitahu.
Setelah beberapa hari di dalam perjalanan akhirnya sampai juga Nabi Musa ke
tempat berkenaan.
Dengan pertolongan beberapa orang penduduk di
situ, beliau berjaya bertemu dengan orang tersebut. Setelah memberi salam
beliau dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu. Tuan rumah itu tidak melayan
Nabi Musa. Dia masuk ke dalam bilik dan melakukan sesuatu di dalam. Sebentar
kemudian dia keluar sambil membawa seekor babi betina yang besar. Babi itu
didukungnya dengan cermat. Nabi Musa terkejut melihatnya. “Apa hal ini?” kata
Nabi Musa berbisik dalam hatinya penuh kehairanan.
Babi itu dibersihkan dan dimandikan dengan
baik. Setelah itu babi itu dilap sampai kering serta dipeluk cium kemudian
dihantar semula ke dalam bilik. Tidak lama kemudian dia keluar sekali lagi dengan
membawa pula seekor babi jantan yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan
dibersihkan. Kemudian dilap hingga kering dan dipeluk serta cium dengan penuh
kasih sayang. Babi itu kemudiannya dihantar semula ke bilik. Selesai kerjanya
barulah dia melayan Nabi Musa. “Wahai saudara! Apa agama kamu?” tanya Nabi
Musa. “Aku agama Tauhid”, jawab pemuda itu iaitu agama Islam. “Habis, mengapa
kamu membela babi? Kita tidak boleh berbuat begitu.” Kata Nabi Musa.
“Wahai tuan hamba”, kata pemuda itu.
“Sebenarnya kedua babi itu adalah ibubapa kandungku. Oleh kerana mereka telah
melakukan dosa yang besar, Allah s.w.t. telah menukarkan rupa mereka menjadi
babi yang hodoh rupanya. Soal dosa mereka dengan Allah s.w.t. itu soal lain.
Itu urusannya dengan Allah s.w.t. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan
kewajipanku sebagai anak. Hari-hari aku berbakti kepada kedua ibubapaku
sepertimana yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka sudah menjadi
babi, aku tetap melaksanakan tugasku.”, sambungnya.
“Setiap hari aku berdoa kepada Allah s.w.t.
agar mereka diampunkan. Aku bermohon supaya Allah s.w.t. menukarkan wajah
mereka menjadi manusia yang sebenar, tetapi Allah s.w.t. masih belum
memakbulkan lagi.”, tambah pemuda itu lagi. Maka ketika itu juga Allah s.w.t.
menurunkan wahyu kepada Nabi Musa a.s. ‘Wahai Musa, inilah orang yang akan
berjiran dengan kamu di Syurga nanti, hasil baktinya yang sangat tinggi kepasa
kedua ibubapanya. Ibubapanya yang sudah buruk dengan rupa babi pun dia berbakti
juga. Oleh itu Kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh disisi Kami.”
Allah s.w.t. juga berfirman lagi yang
bermaksud : “Oleh kerana dia telah berada di maqam anak yang soleh disisi Kami,
maka Kami angkat doanya. Tempat kedua ibubapanya yang Kami sediakan di dalam
neraka telah Kami pindahkan ke dalam syurga.” Itulah berkat anak yang soleh.
Doa anak yang soleh dapat menebus dosa ibubapa yang akan masuk ke dalam neraka
pindah ke syurga. Ini juga hendaklah dengan syarat dia berbakti kepada
ibubapanya. Walaupun hingga ke peringkat rupa ayah dan ibunya seperti babi.
Mudah-mudahan ibubapa kita mendapat tempat yang baik di akhirat kelak.
Walau bagaimana buruk sekali pun perangai
kedua ibubapa kita itu bukan urusan kita, urusan kita ialah menjaga mereka
dengan penuh kasih sayang sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil hingga
dewasa. Walau banyak mana sekali pun dosa yang mereka lakukan, itu juga bukan
urusan kita, urusan kita ialah meminta ampun kepada Allah s.w.t. supaya kedua
ibubapa kita diampuni Allah s.w.t. Doa anak yang soleh akan membantu kedua
ibubapanya mendapat tempat yang baik di akhirat, inilah yang dinanti-nantikan
oleh para ibubapa di alam kubur.
Erti sayang seorang anak kepada ibu dan
bapanya bukan melalui hantaran wang ringgit, tetapi sayang seorang anak pada
kedua ibubapanya ialah dengan doanya supaya kedua ibubapanya mendapat tempat
yang terbaik di sisi Allah s.w.t. Janganlah sia-siakan peluang yang ada untuk
berbakti kepada mereka. Bak kata pepatah, seorang ibu mampu untuk membesarkan
10 orang anak, tetapi 10 orang anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu.
Wallahu a’lam
No comments:
Post a Comment