Tuesday, 25 December 2012

Kenalilah Allah Pada Masa Lapang



Kenalilah Allah Pada Masa Lapang

“Peliharalah Allah SWT nescaya engkau dapati-Nya berada di hadapan engkau, menyertai dan menolong engkau. Dan kenalilah Allah pada masa lapang, nescaya Ia akan kenal engkau pada masa susah di kala engkau sedang menghadapi perkara sukar” ( H.R At-Tirmizi)

Kenal Allah SWT bukan sekadar mengetahui nama dan sifat-Nya, tetapi wajib ingat serta sanggup berkhidmat kepada-Nya mematuhi segala perintah-Nya dalam segala keadaan. Bukanlah ingatan itu pada masa susah, semasa ditimpa kesusahan dan kesengsaraan saja, sebagaimana yang berlaku dikalangan orang ramai dimana terdapat orang yang tergesa-gesa mengerjakan ibadat atau doa, berjanji dan bernazar menjadi orang yang taat seandainya dia dilepaskan dari kesusahan itu. Ini bukan dinamakan orang yang kenal Allah SWT. Orang yang kenal Allah itu ialah yang ingat dan melakukan segala perintah Allah SWT pada masa senang mahupun susah. Dengan begitu Allah SWT akan menolongnya pada masa susah dan sempit.

Sebenarnya mengingati Allah pada masa senang kadangkala amatlah sukar. Kerana seseorang dalam suasana kehidupan seperti itu akan dipengaruhi oleh berbagai faktor kebendaan hingga membuatnya lupa kepada Allah SWT. Dengan itu jadilah ia orang yang cuai dan lalai. Oleh itu Rasulullah S.A.W memerintahkan agar mengingati Allah SWT dalam segala keadaan tanpa dipengaruhi oleh factor kesusahan ataupun kesenangan.


Nabi Yunus a.s adalah orang yang tetap ingat kepada Allah pada masa lapang. Sehingga doanya diperkenankan waktu dalam kesusahan, sesuai dengan hadith Rasulullah SAW

“Bahawasanya barangsiapa suka diperkenankan doanya oleh Allah pada waktu susah, maka hendaklah ia membanyakkan doa pada waktu lapang”

Menurut satu riwayat, apabila Nabi Yunus a.s berada dalam perut ikan, maka berkatalah malaikat : Hai Tuhanku! Inilah saudara orang yang sudah lama terkenal dari negeri yang jauh. Maka berfirman Allah kepadanya : Tidakkah kamu kenal dia? Berkata Malaikat lagi : Siapakah orangnya? Firman Allah : Itulah hambaKu Yunus.

Setelah itu malaikat bertanya lagi ” HambaMU Yunus yang amalannya selalu diangkat dan diterima dan doanya selalu diperkenankan? Jawab Allah : Ya. Maka berkatalah malaikat : Kalau begitu hai Tuhanku, tidakkah Engkau kasihi orang yang telah bersikap demikian itu dan engkau lepaskan dia dari kesusahannya? Jawab Allah: Ya. Lalu dilepaskanlah Nabi Yunus dan diselamatkan ia berkat dari baktinya kepada Allah”

Inilah yang difirmankan Allah dalam Al-Quran
“ Maka sekiranya tidak ia dari mereka yang banyakbertasbih, nescaya tinggallah dalam perut ikan itu hingga hari manusia dibangkitkan. Lalu Kami campakkan dia ditanah kosong dalam keadaan sakit.” (Ash-Shaffat : 143-145)

Apa yang telah didapati oleh Nabi Yunus a.s tidaklah didapati sama sekalipun oleh Firaun diwaktu dia sedang mengalami kekaraman di laut Qalzum, sebagaimana yang diceritakan Allah dalam Al-Quran mengenai pengakuan keimanannya terhadap Allah di waktu dia akan ditenggelamkan. Kepadanya Allah berkata:

Apakah sekarang engkau hendak beriman padahal sesunguuhnya engkau dahulu dari golongan derhaka dan adalah engkau dari golongan orang-orang yang berbuat kerosakkan” (Yunus : 91)

Keimanan Firaun tidak diterima Allah disebabkan keimanan yang dilakukan dalam keadaan terpaksan(kesusahan), sedang masa untuk membuktikannya tidak ada pula. Maka dia mestilah binasa akibat daripada kekufuran dan kekejamannya di masa lalu.

Salman Al-Farisi r.a , seorang sahabat utama Rasulullah SAW meriwayatkan : Apabila seorang lelaki selalu memohon kepada Allah di masa senang, kemudian ia mengenali kesusahan lalu berdoa kepada Allah , maka berkatalah malaikat : “Suara ini sudah terkenal. Maka tolonglah akan orang yang mempunyai suara itu. “ Sebaliknya, jika suaranya tidak dikenali selama ini kecuali di masa susah, malaikat itu berkata : “ Suara itu tidak pernah dikenal, maka janganlah ditolong akan dia

Allah hanya akan menolong seseorang bila ia memelihara agamanya dengan amal yang nyata sama ada di masa susah mahupun senang. Disinilah terletak perngabdian dan kehambaan seseorang kepada Allah yang tidak luput dari kelemahan yang menghendaki kepada pertolongan Allah sebagaimana ayat yang kita baca dalam solat

“ Kepada Engkau kami menyembah, dan kepada Engkau kami mintah pertolongan.”

Ayat ini mengajarkan supaya kita menyembah dan beribadat, beramal dan bekerja, berikhtiar dan berusaha. Kemudian memohon pertolongan atau berdoa kepada Allah dalam segala keadaan. Tidaklah ada sebarang permohonan ataupun doa kalau tidak ada suatu usaha yang sesuai dengan doa itu, atau tidaklah erti doa kalau tidak ada kerjanya, tidak ada amalnya.

No comments:

Post a Comment