Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya “Tidak ada
keberanian yang paling disukai oleh Allah S.W.T selain dari keberanian hamba
menahan kemarahan. Tidaklah seorang hamba itu menahan kemarahannya melainkan
Allah S.W.T. akan mengisi dadanya dengan keimanan.” (Riwayat Ibn
Abi Dunya)
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya seorang lelaki berkata
kepada Nabi s.a.w.“ Berwasiatlah kepadaku, “Lalu Nabi s.a.w menjawab: “Janganlah
engkau menjadi seorang yang pemarah.” Orang itu mengulangi permintaan beberapa
kali, Nabi s.a.w menjawab:“Janganlah engkau menjadi seorang yang pemarah.”
(Riwayat al-Bukhari)
Marah adalah sifat mazmumah yang menunjukkan kelemahan seseorang
kerana gagal mengawal emosinya sendiri. Apabila marah, kedua mata menjadi
merah, urat leher pula kelihatan timbul. Rasulullah mengatakan bahawa kemarahan
itu adalah bara api di dalam hati anak Adam dan ia datangnya daripada syaitan
yang dijadikan daripada api di mana api hanya dapat dipadamkan dengan air. Maka
Rasulullah s.a.w menasihatkan apabila marah, hendaklah seseorang itu berwudhuk
(mengambil air sembahyang). Banyak kaedah yang Rasulullah ajarkan apabila
seseorang anak Adam itu marah.
Rasulullah SAW bersabda, “Jika salah seorang di antara kalian marah ketika berdiri, maka
hendaklah ia duduk, apabila marahnya tidak hilang juga, maka hendaklah ia
berbaring” (H.R. Ahmad)
Tidak semua sifat marah yang dilarang. Ada sifat marah yang
terpuji, iaitu perasaan marah apabila berlakunya perlanggaran terhadap hokum
yang dilarang oleh Allah. Orang mukmin yang tiada langsung rasa marah apabila
melihat agama ditindas dan hukum Allah dipermainkan oleh orang lain, perlu
muhasabah sejauh mana imannya. Lemah sangatkah iman sehingga tiada langsung
rasa marah demi mempertahankan agama?
Marah yang dicela adalah apabila rasa marah itu dikawal oleh hawa
nafsu semata-mata tanpa berlandaskan penghayatan agama dan iman yang teguh.
Kita sering mengaku bahawa syaitan itu musuh kita, tetapi masih ada di kalangan
kita yang sentiasa mengikut telunjuk syaitan tanpa disedari apabila dia
bersikap reaktif terhadap sesuatu masalah dan mudah melemparkan kemarahan.
Marah itu sifat semulajadi manusia, bukan manusialah seseorang itu jika tidak
pernah ada sedikitpun rasa marah dalam hatinya.
Imam al-Ghazali pula berkata: “Kemarahan manusia itu bermacam-macam-macam. Setengahnya cepat
marah tetapi cepat tenang. Setengahnya pula lambat marah dan lambat pula tenang
dan setengah yang lain pula, lambat marah tetapi cepat tenang. Maka yang ketiga
inilah yang paling terpuji.”
Ada segelintir yang cepat melenting apabila tidak diberikan
sesuatu yang dikehendakinya. Ada juga yang marah dan bersangka buruk dengan
Allah apabila Allah lambat dan tidak memperkenankan doanya. Akhlak seorang
mukmin itu apabila dia tidak mendapat apa yang dihajati,dia berasa gembira dan
sebaliknya, apabila dia diberi kesenangan itu, dia berasa bimbang. Bimbang sekiranya
kesenangan itu menjadi ujian baginya. Jangan kecewa jika Allah tidak memberi
apa yang dihajati. Bersyukurlah, pasti ada hikmahnya. Berlapang dadalah. Jangan
berputus asa dengan rahmat Allah. Jangan biarkan diri dikuasai oleh syaitan.
Marah itu umpama api, kawallah ia sebaik-baiknya.
Doa menghilangkan rasa marah, yang bermaksud:
“Aku berlindung kepada Allah dari
godaan syaitan yang terkutuk. Ya Allah, ampunilah dosaku dan hilangkanlah
kepanasan hatiku dan lepaskanlah aku dari gangguan syaitan yang terkutuk.”
Doa menghadapi orang yang sedang marah, yang bermaksud:
“Tiada Tuhan melainkan Allah yang
Maha Kasih Yang lagi Maha Bijaksana, Maha suci Allah Tuhan yang memelihara
tujuh langit dan yang memelihara ‘arasy yang besar tiada Tuhan melainkan
Engkau, sangat kuat perlindungan-Mu dan Maha tinggi perlindungan-Mu.”
Maafkanlah orang yang berbuat kesalahan terhadap kita jika kita
mampu. Akhlak kita melambangkan tahap keimanan kita, samada kita benar-benar
hambaNya yang beriman ataupun tidak. Semoga kita tergolong dalam hamba-hambaNya
yang mendapat keredhaanNya di dunia dan akhirat.
No comments:
Post a Comment