Tuesday, 25 December 2012

MENGUASAI DIRI




Firman Allah S.W.T.:

Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat.” (Maksud Surah al-Isra’ (17):90)

 

Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah.” (Maksud Surah al- Ma’idah (5):8)

Apakah yang dapat mengendalikan jiwa manusia dan menghalangnya daripada tidak terjerumus dalam penyimpangan , kerosakan, melakukan hal-hal yang haram, pelanggaran terhadap kehormatan dan pertumpahan darah? Adakah ia merupakan undang-undang? Adakah ia falsafah moral? Ataukah ia agama dan iman?

Tidak diragui lagi bahawa penciptaan undang-undang yang menyusun urusan dan hal-ehwal manusia merupakan perkara yang mendatangkan kemaslahatan untuk semua. Namun, undang-undang ini sahaja tidaklah memadai untuk mengendalikan tingkah laku manusia. Ini kerana, penguasaan undang-undang hanya pada aspek zahirnya sahaja dan tidaklah pada aspek batinnya.

Salah satu kelemahan undang-undang ialah mudah untuk mengelakkan peraturan-peraturannya. Dengan sebab inilah, undang-undang tidak mampu untuk menjadi penghalang terhadap kejahatan dan jenayah. Pengaruh falsafah akhlak adalah terhad dan tidak sampai dalam jiwa manusia dan juga ia hanya memberi kesan sedikit sahaja kepada manusia. Kelemahan falsafah moral terletak pada kelemahan ikatan manusia dengan kehidupan lain dan kelemahan balasan serta janji dan balasan bagi orang yang melakukannya. Demikian juga kelemahan dalam keseimbangan antara tuntutan jiwa dengan fizikal. ‘Ulama’ mengatakan, “Akhlak tanpa agama adalah sia-sia.” Mereka menegaskan bahawa agama dan akhlak yang mulia merupakan perkara yang satu; tidak mungkin dapat dipisahkan.

Dalam mengendalikan jiwa manusia, manhaj Islam mendidik manusia, sama ada zahir mahupun batin. Hati atau jiwa manusia perlu diberikan pertolongan paling besar kerana jiwa atau hati merupakan wadah iman dan akhlak. Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W., “Ketahuilah bahawa dalam jasad ada segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya dan jika rosak, maka rosaklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati.”

Apa yang dikatakan tentang baiknya jiwa apabila wujudnya keimanan dan akhlak yang luhur juga dikatakan baiknya undang-undang apabila wujudnya keadilan, kebaikan serta keimanan. Seperti firman Allah dalam Surah al-Isra’ (17):90 dan juga seperti firman Allah dalam Surah al- Ma’idah (5):8.

‘Ulama’ mengatakan, “Keadilan bukan dalam teks undang-undang, namun ia berada dalam jiwa seorang hakim.”

Pendidikan pembentukan keimanan dan ketaqwaan mempunyai pengaruh yang besar dalam penyucian jiwa, keluhuran hati dan kemuliaan sanubari. Ia merupakan rahsia hakiki dalam latihan kehidupan seorang Muslim yang selaras dengan nilai keimanan dan istiqamah.

Misalnya, zakat yang dikeluarkan oleh seorang Muslim diambil daripada harta yang terbaik yang dimilikinya, kerana ia berkeyakinan bahawa Allah itu baik dan Dia tidak menerima kecuali yang baik. Pendidikan yang benar terhadap jiwa dan hati menjadikan seorang Muslim mengakui perbuatan dosa yang dilakukannya. Contohnya seperti yang dilakukan oleh Ma’iz bin Malik ketika dia datang kepada Rasulullah S.A.W. dengan mengatakan kepada Baginda, “Wahai Rasulullah S.A.W., aku telah menzalimi diriku sendiri, aku telah berzina dan kuingin agar tuan menyucikan diriku.” Rasulullah S.A.W. berkali-kali menolaknya, namun Ma’iz terus berkeras dengan pengakuan dan permintaannya untuk disucikan (daripada dosa). Hingga dijatuhkan hukum hadd atasnya pun, dia menerimanya dengan reda, sabar dan mengharapkan pahala daripada Allah serta memohon keampunan daripada-Nya.

Adakah setanding undang-undang dan falsafah akhlak dengan apa yang dilakukan oleh pendidikan keimanan?

BAKHIL...??


http://www.ilmi-islam.com/wp-content/uploads/2012/10/BAKHIL_NERAKA2.jpg


Hati kita dilanda kebimbangan jika orang disekeliling kita mengatakan kita kedekut apatah lagi bakhil. Hal ini adalah kerana “bakhil” disinonimkan dengan konotasi negatif yang penulis kira difahami oleh semua orang.  Sukalah untuk penulis berkongsi satu hadis sumber dari Husain bin Ali r.a.memberitakan Rasulullah saw pernah bersabda..

 

“Orang yang bakhil itu ialah orang yang apabila disebutkan namaku di sisinya, maka dia tidak berselawat ke atas ku.” (Hadis riwayat Ahmad & Tirmidzi: Sahih)


Pengajaran hadis:

1. Allah swt sendiri para malaikat berselawat ke atas junjungan Nabi Muhammad saw dan Allah mengajak orang-orang yang beriman agar turut berselawat ke atas baginda.

2. Umat Islam digalakkan supaya mempunyai rasa cinta dan kasih yang tidak terhingga kepada Nabi saw dan mereka disuruh agar selalu berselawat ke atas baginda terutamanya pada malam dan hari Jumaat,juga apabila nama atau kata ganti nama baginda disebut, ditulis atau dibacakan.

3. Oleh itu,moga Allah hindarkan kita daripada menjadi tangkai jering untuk berselawat ke atas baginda,yang mana hati seorang mukmin seharusnya sangat peka telinga dan ringan lidahnya apabila terdengar nama atau kata ganti nama baginda disebut,ditulis atau dibacakan.

Sekecil-kecil perkara yang nampak mudah,tapi kadang-kala sukar untuk dilakukan..

Wallahu’alam

 http://familiazam.com/imej/akibat-bakhil.jpg


PERMASALAHAN PEMUDA





Firman Allah S.W.T:

http://www.ataphijau.com/wp-content/uploads/2010/10/Capture.jpg

“Maka datanglah sesudah mereka pengganti (yang jelek) yang menyia-nyiakan solat dan memperturutkan hawa nafsunya, maka mereka kelak akan menemui kesesatan.” (Maksud Surah Maryam (19):59.

 

“Dan antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” (Maksud Surah al-Rum (30):21).

 

“Dialah Yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezeki-Nya.” (Maksud Surah al-Mulk (67):15).

Masa muda termasuk masa terpenting dalam peringkat umur manusia. Pada peringkat ini, terbentuknya hala tuju dan ketika itulah terbinanya akidah. Melaluinya, terbentuknya jiwa atau jati diri dan tertanamnya akhlak. Pada usia mudalah berlakunya pertempuran antara kebaikan dengan kejahatan atau kebenaran dengan kebatilan, kehidupan yang suci dan mulia atau kehidupan bersukaria dan waktu terluang yang disia-siakan.


Sudah dimaklumi bahawa golongan pemuda pada peringkat usia ini menghadapi berbagai-bagai masalah, krisis pemikiran dan akhlak, jiwa serta fizikal. Mereka tidak mempunyai pelindung daripada pengaruh semua ini, kecuali dengan berpegang teguh pada Islam dan beramal dengan cara atau kaedah serta bimbingannya.

Permasalahan ini boleh disimpulkan dalam beberapa perkara yang berikut ini:

  • Penyimpangan daripada agama, peninggalan ibadah dan menjalani kehidupan tanpa tujuan, arahan dan agama. Atau juga memiliki keimanan terhadap akidah agama secara teori namun meninggalkannya dari sudut amalan, seperti firman Allah dalam Surah Maryam (19):59. Ayat ini memberi maksud mereka tidak menolak keimanan, wajibnya solat serta ketaatan, tetapi mereka hanya mensia-siakan semua perkara tersebut, maka layaklah mereka memperoleh seksaan Allah.

Manusia yang meninggalkan agamanya dan melepaskan diri daripada akidah, ia sebenarnya terjebak dalam dua kesalahan yang besar.

%           Fitrah yang telah dikurniakan oleh Allah kepada manusia, iaitu jika tidak memeluk agama yang hak maka ia akan memeluk agama yang batil dan manusia akan menyembah Tuhan yang lain selain Allah.

%           Sentiasa berada dalam ke “kefakiran” dan memerlukan orang yang dapat mengisi kekosongan hatinya.

Imam ibn al-Qayyim berkata, “Tiada kebahagiaan, kelazatan, kenikmatan, kebaikan bagi hati kecuali ia menjadikan Tuhannya dan Penciptanya sebagai satu-satunya Zat, ia menyembah, menjadikannya sebagai tujuan, memohon kepada-Nya dan mencintai-Nya melebihi apa sahaja selain-Nya.” Antara permasalahan pemuda lagi ialah memenuhi bisikan keperluan fizikal dan jika ini tidak dipenuhi melalui cara yang disyari’atkan, maka dengan dorongan nalurinya akan mencari (cara memenuhinya) dengan cara yang tidak disyari’atkan. Antara keperluan fizikal ini yang paling penting dan yang dibenarkan oleh Islam untuk dipenuhi mengikut batasan syari’at ialah seperti yang berikut:

Memenuhi tuntutan naluri seksual melalui perkahwinan, seperti firman Allah dalam Surah al-Rum (30):21.

Dalam memberikan galakan pemuda untuk berkahwin, Rasulullah S.A.W. bersabda, “Wahai para pemuda, sesiapa antara kamu telah mampu memenuhi al-Ba’ah (belanja perkahwinan dan melakukan jima’), maka berkahwinlah.”

Memenuhi keperluan asas untuk kelangsungan tubuh dan kesihatan tubuh seperti makanan, minuman, khasiat dan ubat. Demikian juga perkara yang dapat mendorong perlaksanaan semua perkara tersebut seperti usaha dan amalan. Seperti firman Allah dalam Surah al-Mulk (67):15.

Kerehatan yang nyaman yang dapat memulihkan kecergasan dan menghilangkan kepenatan. Tubuh sememangnya memerlukan rehat sehingga meliputi rehat daripada kesungguhan dalam beribadah, kerana sabda Rasulullah S.A.W., “Hendaklah kamu semua meneruskan kecergasannya, apabila penat maka duduklah.”

Permasalahan golongan pemuda yang lain ialah meninggalkan ilmu dan guru-guru serta cenderung terhadap permainan dan kemalasan. Masalah ini membawa kepada masalah yang lain pula. Lazimnya, pemuda yang menghadapi permasalahan ini merupakan mangsa bagi kehidupan yang hina atau mereka biasanya terlibat dengan penagihan dadah atau juga perkara-perkara yang tidak bermanfaat dalam masyarakat yang menghilangkan keberanian dan menyebabkan mereka menjadi tidak produktif.

Islam telah memaparkan kepentingan ilmu pengetahuan dengan menyebut cirri-ciri mulia pemuda yang berusaha belajar dan mencapai kecermelangan. Rasulullah S.A.W. bersabda, “Umatku yang paling kasih akan umatku ialah Abu Bakar, yang paling tegas terhadap perintah Allah ialah ‘Umar, yang paling pemalu ‘Uthman, yang paling bijak dalam memutuskan sesuatu perkara ialah ‘Ali, yang paling baik bacaan al-Qur’annya ialah Ubay ibn Ka’ab, yang paling mengetahui tentang halal dan haram ialah Mu’az ibn Jabal dan yang paling pakar dalam ilmu fara’id ialah Zaid ibn Thabit.”

Salah satu krisis golongan ini ialah krisis akhlak, tidak menyukai amalan kebaikan dan penentangan terhadap adat yang benar. Penyelesaian bagi krisis ini ialah dengan mendidik dan mengarahkan (kepada Islam) dan memberikan teladan serta contoh kepada golongan ini.

Tips Murah Rezeki




Murah rezeki bukan sekadar membawa maksud memperolehi kekayaan harta, tetapi juga ia merangkumi konsep yang lebih luas. Rezeki yang dikurniakan Allah mungkin hadir dari segi Allah mempermudahkan setiap urusannya, mudah memahami ilmu yang dipelajari, mendapat ketenangan dalam hidup, sentiasa berasa cukup dan bersyukur atas nikmat yang diberikan, memperolehi keluarga yang soleh serta memperolehi kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Kita dituntut supaya memohon kepada Allah agar Allah memberkati setiap rezeki yang kita perolehi.

Memperbanyakkan doa:

1. Doa ketika duduk di antara 2 sujud

Jika kita khusyuk ketika solat, kita akan sedar bahawa setiap lafaz dalam solat itu merupakan doa yang telah lama kita amalkan.

Maksud bacaan ketika duduk antara 2 sujud: “Ampunkan daku, wahai Tuhanku! Akan kesalahanku dan kasihani olehMu akan hambaMu yang khothiah (banyak kesalahan), dan rezekikan olehMu akan daku, dan jabarkan dho’ifku, dan tunjuki akan daku akan jalan yang sebenarnya, akan ‘afiat akan daku, dan maafkan daripada aku.”

2. Beristighfar

Islam menggalakkan kita agar memperbanyakkan beristighfar dan selalu bertaubat. Kita sebagai hambaNya yang lemah akan seringkali melakukan dosa. HambaNya yang sentiasa beristighfar akan memperoleh ketenangan dalam hidupnya.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang sentiasa beristighfar maka Allah akan menjadikan baginya setiap kesusahan itu ada jalan keluar dan pada setiap kesempitan ada cara mengatasinya serta memberikan rezeki kepadanya daripada sumber yang tidak disangka-sangka.” (HR Abu Daud)

3. Membaca ayat 1000 Dinar


“…Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan membukakan jalan keluar baginya, Dan diberikannya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki ) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu. “ (Surah At-Talaq :2-3)

4. Fadhilat membaca surah al-Waqiah

Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang membaca surah al-Waqiah pada setiap malam ia tidak akan ditimpa kefakiran.” (HR Ibn Mas‘ud)

Amalan harian

1. Bersyukur dengan setiap nikmat yang dikurniakan

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka pasti azabKu sangat berat.” (Surah Ibrahim : 7)

2. Berbuat baik kepada ibu bapa

Senantiasalah mendoakan ibu bapa dan berbuat baik kepada mereka. Nescaya Allah akan memberikan ganjaran sebaik-baiknya.

Rasulullah bersabda, “Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah S.W.T.) daripadanya.” (HR Al-Hakim)

3. Rajin beribadah kepadaNya

Ini telah dinyatakan dalam firman Allah di dalam hadith Qudsi:

“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” (HR Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim)

Melazimi solat sunat Dhuha juga dapat meluaskan rezeki seseorang.

Rasullullah SAW pernah bersabda yang maksudnya : “Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah (sebagai ganti) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat solat Dhuha.” (HR Al-Bukhari dan Muslim)

Doa solat sunat Dhuha:

“Ya Allah bahawasanya waktu duha itu waktu duhamu, kecantikan itu ialah kecantikanmu , keindahan itu keindahanmu, kekuatan itu kekuatanmu ,kekuasaan itu kekuasaanmu dan perlindungan itu perlindunganmu “. ” Ya Allah jika rezekiku masih di atas langit , turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika haram sucikanlah. ,Jika masih jauh dekatkanlah. Berkat waktu duha, keagungan, keindahan, kekuatan dan kekuasaanmu, limpahkanlah kepada kami segala yang telah engkau limpahkan kepada hamba-hambamu yang soleh”

4. Rajin bersedekah.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Berilah (belanjalah) dan jangan kamu selalu menutupi kepunyaanmu, kerana dengan itu nanti Allah akan menutupi rezekimu.” (HR Bukhari & Muslim)

5. Berusaha dengan kudrat yang dimiliki

Dari Miqdam r.a, dari rasulullah s.a.w,:”Tidak ada makanan yang dimakan oleh seseorang sekali-kali tidak, yang lebih baik daripada memakan makanan hasil dari usaha tangannya sendiri. Sesungguhnya nabi Allah daud a.s makan dari hasil usaha tangan baginda sendiri.” (HR Bukhari)

6. Menghubungkan ikatan silaturrahim

Dari Anas bin Malik r.a katanya, dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:”Sesiapa yang ingin supaya dimudahkan (Allah) rezekinya atau dipanjangkan (Allah) umurnya, maka hendaklah dia memperhubungkan silaturrahim (hubungan kasih sayang).” (HR Bukhari)

7. Berpagi-pagian selepas solat Subuh

Rasulullah bersabda, “Berpagi-pagilah(subuh)dalam mencari rezeki, sesungguhnya berpagi-pagi itu adalah keberkatan dan kejayaan.” (HR at-Tabarani)

Di dalam riwayat lain pula, Rasulullah melewati anaknya Fatimah yang sedang berbaring pada waktu Subuh, maka Baginda bersabda: Wahai anakku, bangunlah dan hadaplah rezeki Tuhanmu, dan janganlah engkau jadi dari kalangan orang yang lalai, sesungguhnya Allah membahagikan rezeki manusia di antara terbit fajar hingga terbit matahari.’ (HR al-Baihaqi)

********************************************************************

Terdapat banyak amalan yang boleh kita lakukan, tidak kisahlah samada rezeki tersebut dalam bentuk harta, ilmu ataupun kebahagiaan. Apa yang penting adalah kita sentiasa bersyukur, dan berusaha menggunakan rezeki tersebut dengan cara yang terbaik.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a katanya, Nabi Muhammad SAW pernah bersabda : “Janganlah ingin menjadi seperti orang lain kecuali seperti dua orang ini. Pertama, orang yang diberi Allah kekayaan berlimpah ruah dan ia membelanjakannya secara benar (di jalan yang adil dan sesuai dengan perintah Allah). Kedua, orang yang diberi Allah al-hikmah dan ia berperangai sesuai dengannya dan mengajarkannya kepada orang lain.” (HR al-Bukhari)