Firman Allah
S.W.T.:
“Sesungguhnya
Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum
kerabat.” (Maksud Surah al-Isra’ (17):90)
“Dan janganlah
sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku
tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan
bertakwalah kepada Allah.” (Maksud Surah al- Ma’idah (5):8)
Apakah yang dapat
mengendalikan jiwa manusia dan menghalangnya daripada tidak terjerumus dalam
penyimpangan , kerosakan, melakukan hal-hal yang haram, pelanggaran terhadap
kehormatan dan pertumpahan darah? Adakah ia merupakan undang-undang? Adakah ia
falsafah moral? Ataukah ia agama dan iman?
Tidak diragui lagi
bahawa penciptaan undang-undang yang menyusun urusan dan hal-ehwal manusia
merupakan perkara yang mendatangkan kemaslahatan untuk semua. Namun,
undang-undang ini sahaja tidaklah memadai untuk mengendalikan tingkah laku
manusia. Ini kerana, penguasaan undang-undang hanya pada aspek zahirnya sahaja
dan tidaklah pada aspek batinnya.
Salah satu
kelemahan undang-undang ialah mudah untuk mengelakkan peraturan-peraturannya.
Dengan sebab inilah, undang-undang tidak mampu untuk menjadi penghalang
terhadap kejahatan dan jenayah. Pengaruh falsafah akhlak adalah terhad dan
tidak sampai dalam jiwa manusia dan juga ia hanya memberi kesan sedikit sahaja
kepada manusia. Kelemahan falsafah moral terletak pada kelemahan ikatan manusia
dengan kehidupan lain dan kelemahan balasan serta janji dan balasan bagi orang
yang melakukannya. Demikian juga kelemahan dalam keseimbangan antara tuntutan
jiwa dengan fizikal. ‘Ulama’ mengatakan, “Akhlak tanpa agama adalah
sia-sia.” Mereka menegaskan bahawa agama dan akhlak yang mulia merupakan
perkara yang satu; tidak mungkin dapat dipisahkan.
Dalam
mengendalikan jiwa manusia, manhaj Islam mendidik manusia, sama ada zahir
mahupun batin. Hati atau jiwa manusia perlu diberikan pertolongan paling besar
kerana jiwa atau hati merupakan wadah iman dan akhlak. Sebagaimana sabda
Rasulullah S.A.W., “Ketahuilah bahawa dalam jasad ada segumpal daging, jika
ia baik maka baiklah seluruh jasadnya dan jika rosak, maka rosaklah seluruh
jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati.”
Apa yang dikatakan
tentang baiknya jiwa apabila wujudnya keimanan dan akhlak yang luhur juga
dikatakan baiknya undang-undang apabila wujudnya keadilan, kebaikan serta
keimanan. Seperti firman Allah dalam Surah al-Isra’ (17):90 dan juga seperti
firman Allah dalam Surah al- Ma’idah (5):8.
‘Ulama’ mengatakan,
“Keadilan bukan dalam teks undang-undang, namun ia berada dalam jiwa seorang
hakim.”
Pendidikan
pembentukan keimanan dan ketaqwaan mempunyai pengaruh yang besar dalam
penyucian jiwa, keluhuran hati dan kemuliaan sanubari. Ia merupakan rahsia
hakiki dalam latihan kehidupan seorang Muslim yang selaras dengan nilai
keimanan dan istiqamah.
Misalnya, zakat
yang dikeluarkan oleh seorang Muslim diambil daripada harta yang terbaik yang
dimilikinya, kerana ia berkeyakinan bahawa Allah itu baik dan Dia tidak menerima
kecuali yang baik. Pendidikan yang benar terhadap jiwa dan hati menjadikan
seorang Muslim mengakui perbuatan dosa yang dilakukannya. Contohnya seperti
yang dilakukan oleh Ma’iz bin Malik ketika dia datang kepada Rasulullah S.A.W.
dengan mengatakan kepada Baginda, “Wahai Rasulullah S.A.W., aku telah
menzalimi diriku sendiri, aku telah berzina dan kuingin agar tuan menyucikan
diriku.” Rasulullah S.A.W. berkali-kali menolaknya, namun Ma’iz terus
berkeras dengan pengakuan dan permintaannya untuk disucikan (daripada dosa).
Hingga dijatuhkan hukum hadd atasnya pun, dia menerimanya dengan reda,
sabar dan mengharapkan pahala daripada Allah serta memohon keampunan
daripada-Nya.
Adakah setanding
undang-undang dan falsafah akhlak dengan apa yang dilakukan oleh pendidikan
keimanan?
No comments:
Post a Comment