Friday, 21 December 2012

SUAMI DAN ISTERI: BAB SABAR



Suami Hendaklah Sabar Melayani Karenah Isteri



Perempuan memang terkenal dengan sikap emosional dan suka ikut perasaan. Namun, para suami harus sabar ketika berhadapan dengan karenah sedemikian rupa. Para suami hendaklah berhadapan dengan situasi sebegini dengan penuh kesabaran dan hikmah.


Sabda Rasulullah s.a.w:
“Nasihatilah wanita dengan baik. Sesungguhnya mereka diciptakan dari tulang rusuk dan bahagian terbengkok dari tulang rusuk adalah bahagian atasnya. Seandainya kamu meluruskannya bererti kamu mematahkannya dan seandainya kamu biarkan maka ia akan terus membengkok. Untuk itu, nasihatilah wanita dengan baik.” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 5186.


Hadis ini menganjurkan para suami menasihati para isteri dengan cara yang penuh hikmah dan lemah lembut. Jangan sesekali terburu-buru menggunakan kekerasan kerana ia bukan sahaja tidak mampu menyelesaikan permasalahan malah akan memburukkan lagi keadaan. Oleh itu, para suami haruslah bijak mencari masa paling baik untuk menasihati isterinya. Sekiranya keadaan tidak mengizinkan seperti ketika kemarahan isteri masih meluap-luap, sebaik-baiknya ditangguh dahulu penjelasan ataupun menasihatinya sehingga kondisi menjadi tenang dan tenteram. Sekiranya wujud di dalam diri isteri sifat-sifat yang kurang disenangi maka kita handaklah mencari sifat serta tabiat isteri yang positif untuk menghiburkan diri kita dan berusaha melenyapkan perasaan benci terhadap isteri.


Sabda Rasulullah s.a.w: “Janganlah seorang mukmin membenci seorang mukminah. Apabila dia membenci sebahagian akhlaknya maka mungkin dia boleh meredhai akhlaknya yang lain.” - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1469.


Sekiranya terdapat perbuatan isteri yang memerlukan para suami untuk meluruskannya maka ia hendaklah dilakukan secara bertahap-tahap dan tidak terburu-buru untuk berkeras terhadapnya.

Firman ALLAH S.W.T:
“Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, (kalau mereka masih juga degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya ALLAH Maha Tinggi lagi Maha Besar.” – Surah al-Nisa’: 34.


Jika suami telah melihat tanda-tanda penderhakaan wujud pada isterinya, dia hendaklah menasihatinya dengan mengingatkannya tentang hukuman ALLAH terhadap tingkahlakunya itu. Sekiranya setelah menasihatinya tetapi dia masih tidak berubah, suami berhak memisahkan tempat tidur dan tidak menggaulinya (Hajr). Apabila hajr juga gagal untuk menyedarkan isteri akan kesilapannya, suami hendaklah memberi pelajaran kepada isteri dengan memukulnya dengan pukulan yang tidak menyakitkan seperti dengan menggunakan kayu siwak (kayu yang digunakan untuk memberus gigi) atau sejenisnya. Inilah tatacara yang telah ditetapkan oleh ALLAH untuk menangani sikap-sikap negatif yang mungkin wujud pada para isteri.

 

Wahai suami, layanilah isterimu dengan baik

Setiap pasangan suami isteri pasti akan mengimpikan satu kehidupan yang bahagia dan harmoni. Setiap suami juga pasti mengidamkan seorang wanita solehah yang merupakan sebaik-baik kenikmatan dunia. Sabda Nabi s.a.w: "Dunia itu penuh dengan kenikmatan dan sebaik-baik kenikmatan dunia adalah isteri yang solehah." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1467.


Namun begitu, apa yang sering dicanangkan adalah peranan isteri untuk membentuk keluarga yang harmoni, bagaimana isteri patut taat kepada suami, apakah balasan bagi isteri yang derhaka, apakah balasan terhadap isteri yang menolak pelawaan suami untuk bersetubuh dan tugas-tugas isteri untuk membahagiakan suami. Hanya sekali-sekala diketengahkan perbahasan tentang apa yang suami perlu lakukan untuk membina sebuah keluarga yang dihiasi dengan perasaan cinta (mawaddah) dan kasih-sayang (rahmah). Firman ALLAH S.W.T:   “Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-NYA dan rahmat-NYA bahawa DIA menciptakan untuk kamu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-NYA antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang serta belas kasihan. Sesungguhnya demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” - Surah al-Ruum: 21.



Suami sememangnya telah diperintahkan oleh ALLAH untuk melayan isteri dengan penuh kebaikan. Firman ALLAH S.W.T: “Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.” – Surah al-Nisa’: 19. Maka, marilah kita terus berjihad menelusuri sunnah Nabi s.a.w tentang peranan suami dalam usaha membentuk hubungan yang penuh mawaddah (cinta) dan rahmah (kasih sayang) bersama isteri. InsyaAllah...

 

KESIMPULAN - UNTUK PARA SUAMI YANG SOLEH

Itulah beberapa peranan suami menurut al-Quran dan sunnah Nabi s.a.w yang dapat dijadikan tauladan membina sebuah keluarga yang harmonis. Semoga ia dapat dijadikan pedoman bagi seluruh pemimpin keluarga untuk membahagiakan para isteri mereka. Contohilah sunnah Nabi s.a.w kerana pada diri baginda terdapat contoh tauladan yang terbaik.

Firman ALLAH S.W.T:
“Demi sesungguhnya, bagi kamu pada diri Rasulullah itu terdapat contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) ALLAH dan (balasan baik) di hari akhirat serta dia sentiasa menyebut dan mengingati ALLAH sebanyak mungkin (di waktu susah dan senang).” – Surah al-Ahzab: 21.


Sufyan bin ‘Uyainah r.h berkata:
“Sesungguhnya Rasulullah adalah timbangan yang paling besar. Segala sesuatu harus diukur dengan akhlak, perilaku dan petunjuknya. Yang sesuai dengannya, maka itu benar dan yang tidak sesuai dengannya maka ia bererti batil.”

Sekian Terima kasih

No comments:

Post a Comment