"Sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak
pernah didengar oleh telinga malah tidak pernah terlintas didalam
fikiran"... Itulah syurga. Syurga sebenar-benarnya yang disediakan untuk
hambaNya yang taat ketika di atas dunia.
Syurga tersebut hanya akan dapat dinikmati di akhirat nanti.
Tetapi bagi orang yang soleh, nikmat syurga telah boleh dirasai sebaik saja
nyawa terpisah dari badan. Ketika sakaratul maut, hamba yang layak masuk syurga
sudah diperlihatkan tempat tersebut. Ketika selesai pengebumian dan soalan
munkar nakir, dia akan mula menikmati tempias syurga sedikit demi sedikit.
Antaranya, pusaranya diluaskan seluas mata memandang. Pusaranya bercahaya dan
berbau harum.
Syurga adalah sesuatu yang pasti. Syurga ALLAH sama sekali
tidak sama seperti syurga dunia yang banyak disebut-sebut oleh manusia berharta
dan kaya raya. Syurga dunia bersifat sementara. Sedangkan syurga ALLAH SWT
bersifat kekal untuk selamanya.
Nikmat syurga ALLAH SWT yang kekal itu, kekal indah dan
kekal keseronokkannya. Malah, manusia dalam syurga tidak akan pernah berasa
bosan atau jemu walaupn setiap hari berseronok dan berhibur. Harus diingat
bahawa dalam syurga Allah, keseronokkan dan hiburan yang dihamparkan adalah
yang diredhai. Ada bidadari yang melayan dan ada sungai minuman yang lazat.
Penghuni syurga ALLAH SWT merupakan mereka yang tidak berani
mempersoalkan apatah lagi mempersendakan hukum hakam ILAHI ketika di dunia.
Mereka tidak pernah mempersoalkan mengapa ALLAH SWT menghalalkan ini dan
mengharamkan itu. Lalu mereka tidak melampaui batasan itu dan tidak berani
menolak hukum hakam ISLAM. Mereka hanya menurut kerana sedar, mereka hanyalah
hamba yang menurut perintah.
Pabila dikatakan solat itu wajib, mereka taat. Pabila
dikatakan menutup aurat itu wajib, mereka tidak membantah. Pabila dikatakan
pergaulan bebas itu haram, mereka meninggalkannya. Pabila dikatakan membaca Al
Quran itu, solat sunat dan puasa sunat itu boleh menambahkan pahala, mereka
akur. Pendek kata, mereka suka lahir sebagai seorang ISLAM dan melakukan
perkara yang baik tanpa memberi alasan.
Selain itu, mereka juga menjaga diri dari terjebak dalam
penyakit hati dan penyakit lidah. Ini kerana kedua-dua penyakit itu boleh
membinasakan segenap amal kebaikan, malah meruntuhkan silaturahim.
Itulah sebahagian daripada penghuni syurga ALLAH SWT.
Setelah menjadi hamba yang taat di atas dunia, maka wajarlah mereka mengecap
nikmat yang tidak berkesudahan itu. Bak kata pepatah "bersakit-sakit
dahulu, bersenang-senang kemudian." tidak mengapa susah dahulu asalkan
pada akhirnya, hidup senang lenang buat tempoh masa yang tiada akhirnya.
Firman ALLAH SWT, "Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan
amal yang baik) untuk mendapat keampunanTUHAN kamu, dan mendapat syurga yang
bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang
beriman kepada ALLAH dan RasulNya. Demikian itu adalah limpah kurnia ALLAH
diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendaki; dan ALLAH sememangnya mempunyai
limpah kurnia yang besar." (Surah Al-Hadid: 21)
Syurga itu luas dan banyak tingkatnya. Kita manusia biasa
namun berhak merindui syurga ALLAH SWT. Sesiapa pun layak memasuki syurgaNYA,
orang miskin atau orang kaya, berwajah hodoh atau cantik, berketurunan mulia
atau tidak, asalkan memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh ISLAM, sebagai hamba
yang beriman dan bertaqwa.
Syurga itu amat indah. Percayalah tentang keindahannya
sambil memahat cita-cita untuk tinggal buat selama-lama didalamnya. Apapun
berubahlah dahulu. Antara dua jalan yang terbentang, harap2 kita akan memilih
jalan disebelah kanan, walaupun laluannya sempit. Ini kerana sebenarnya jalan
ini sebenarnya luas dan lapang dihujungnya. Menerima suratan amalan dengan
tangan kanan dan seterusnya dipimpin hidayahNya untuk menjadi ahli syurga.
Sebelum itu, mari kita hiasi diri dengan kemanisan iman. Ia
boleh dipupuk dengan cara memujuk hati mencintai agama sendiri. Taat dan patuh
pada perintah ILAHI...
No comments:
Post a Comment