Semuanya dengan kehendak MU. Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim Kau ampunilah dosa ku yang telah ku buat Kau limpahkanlah aku dengan kesabaran yang tiada terbatas Kau berikanlah aku kekuatan mental dan fizikal Kau kurniakanlah aku dengan sifat keredhaan Kau peliharalah lidahku dari kata-kata nista Kau kuatkanlah semangatku menempuhi segala cabaranMu Kau berikanlah aku sifat kasih sesama insan.
Friday, 24 August 2012
KERANA LIDAH
Bismillahirrahmaanirrahim.
Sabda junjungan besar Nabi Muhammad SAW:
"Tidak lurus (istiqhomah) iman seseorang hamba itu sehingga hatinya lurus dan hatinya tidak akan lurus sehingga lurus lidahnya."( Hadith riwayat Ahmad)
Sabda Nabi SAW lagi:
"Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari kiamat,maka janganlah dia menyakiti tetangganya. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari kiamat, hendaklah dia memuliakan tetamunya,dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari kiamat,maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam."( Hadith riwayat Muslim)
Hadith-hadith ini tersemat didadaku,sejak aku mula membacanya sehingga ke hari ini,dan berharap ia mampu menjaga lidahku daripada menyakiti sesiapa. Namun aku juga insan yang lemah,yang punya nafsu, aku juga seorang wanita,yang punya 9 nafsu dan 1 akal. Seringkali nafsu yang mengawal tindakanku,manakala iman menyusul dihari penyesalanku. Astaghfirullah...semoga Allah menerima taubatku...ameen
Pernah kerana lidahku,sahabat karibku terluka,kecewa dan hampir aku kehilangannya,segalanya kerana menurutkan rasa di hati. Allahh..dugaan yang aku lalui terasa terlalu berat,namun aku sedar,itulah kaffarah kepada dosa-dosaku,Allahu Rabbi...
Hari-hari aku berdoa,semoga Allah mengampuni dosaku,dan mengembalikan sahabatku. Masa yang berlalu terlalu lama untuk memulihkan hubungan kami,aku cukup kesal,sehingga tiada kata-kata yang mampu menggambarkan penyesalanku.
Dan Alhamdulillah,Allah mengkabulkan doaku,setelah bertahun kami terpisah,tiba saat hari kami dipertemukan,sahabatku itu meluahkan rasa rindu kepadaku.Hampir airmataku menitis,betapa aku terharu dengan kasih sayang Allah terhadap ukhuwah kami,Allhamdulillah ya Rabbala'lamin...aku tekad,menjaga hubungan kami dengan sebaik-baiknya..insyaAllah...
Sahabatku,kerana lidah,kita mampu menjejakkan kaki ke syurga,dengan mengajak kepada yang maa'ruf dan mencegah kepada yang mungkar. Namun sahabatku,ketahuilah,terlalu mudah juga kita tergelincir ke neraka kerana lidah yang sering menyakiti manusia. Biarlah sebanyak mana pun amalan ibadah kita,andai lidah itu sering menyakiti manusia,tetap neraka menjadi tempat kita. wal i'yadzubillah...
Dalam kita mengajak kepada yang maaruf,jangan kita lupa adab-adabnya. Jangan kita lupa untuk mencontohi akhlak Nabi SAW yang mengajak dengan cara berhikmah. Biar dilempar dengan apapun,biar dicaci atau dimaki pun,tapi tetap mempertahankan akhlak islam.
Ingatlah pesan Nabi SAW:
Diriwayatkan Nabi SAW Baginda bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT itu bersifat lemah lembut dan ia menyukai sifat lemah lembut. Dan Allah SWT memberikan sesuatu dengan cara lemah lembut yang tidak diberikan dengan cara kekerasan,dan juga tidak diberikan sesuatu melainkan dengan cara lemah lembut."( Hadith Riwayat Muslim)
Berlemah lembutlah dalam apa jua perlakuan dan perkataan kita, bukan dengan cara kekerasan,paksaan,cacian,segala bentuk yang menyakiti hati manusia lain. Ketahuilah,cara kita juga merupakan satu dakwah kepada mereka,menjadi satu ikutan andai mereka dapat menerima.
Bayangkanlah apa yang akan terjadi jika semua orang mengherdik,memaki dan mencaci sedangkan mereka ingin mengajak kepada kebaikan. Apakah hasilnya? seorang yang kuat ibadahnya tapi lidahnya sering menyakiti? Maka adakah itu akhlak yang diajar Rasulullah SAW? Dan tidak terfikirkah bagaimana tanggapan mereka yang mahu mengenali Islam?Adakah ini contoh yang ingin dibawa?Sama-sama kita bermuhasabah dan perbaiki diri serta meluruskan lidah...
Teringat kepada sebuah hadith Nabi SAW lagi,sabda Baginda:
"Sesiapa yang memberi contoh yang baik dalam islam maka ia akan memperolehi pahala dan pahala orang yang beramal selepas ia meninggal tanpa kurang sedikit pun daripada pahala mereka. dan siapa yang memberi contoh yang buruk di dalam islam,maka ia akan mendapat dosa dan dosa orang yang beramal dengannya selepas ia meninggal dunia tanpa kurang sedikitpun daripada dosa mereka."(Hadith riwayat Muslim)
Cukup menggetarkan hati yang hina ini. Aku berfikir...banyaknya dosaku yang mengajak sahabat-sahabatku lalai dengan duniawi. Sehingga ke hari ini,hobiku yang melalaikan juga menjadi hobi mereka,entah-entah tanpa aku sedari,lidah ini pernah mengajak mereka kepada keburukan dan meninggalkan kebaikan,Astaghfirullahala'zim...semoga Allah memberi peluang untukku memperbaiki segalanya kembali,bantuilah hambaMu menuju ke jalanMu ya Allah.....
Aku berfikir lagi,manusia itu mudah mengajak manusia lain mengikuti gaya atau perbuatan mengikut arus kemodenan. Kata mereka jangan 'kolot','ketinggalan zaman'...membuatkan aku menjadi kurang pasti,akhlak baik yang manakah kolot itu?yang ketinggalan zaman itu?Lagi aku teringat seorang sahabat yang takut dianggap terlalu baik,terlalu a'lim,katanya tak mahu hipokrit. Membuatkan aku tersentap,habis,sampai bila mahu belajar berbuat baik?sampai bila mahu mengubah diri menjadi lebih baik?takkan ingin tetap ditahap iman yang sama?yang bila-bila masa boleh goyah?
Melihatkan diriku yang kerdil lagi hina,aku insaf,kesal,diriku terlalu lemah melawan nafsu,maka aku senang bersangka baik dengan insan disekelilingku. Mereka juga insan yang lemah,perlukan bimbingan sepertiku,tiada yang sempurna tapi perlu berusaha ke arah kesempurnaan.
Lagi memetik Hadith Nabi SAW:
"Janganlah setiap kamu menjadi orang yang tiada pendirian dan berkata: "Saya dengan orang,jika mereka berbuat baik,nescaya saya berbuat baik. Dan jika mereka berbuat jahat, nescaya saya berbuat jahat. Tetapi biasakan diri kamu,jika orang berbuat baik, berbuat baiklah,dan jika mereka berbuat jahat,elakkanlah kejahatan mereka."(Hadith riwayat At-Tirmidzi)
Kadang-kadang mudah saja kita mengikut jejak orang lain,mengiyakan apa yang jelas kesalahannya,hanya kerana bimbang dituduh sebagai seorang sahabat yang tak berguna,yang tak 'sporting',yang berlagak pandai,berlagak a'lim,dan sebagainya. Sedangkan sahabat yang baik yang sentiasa membetulkan kita jika kita jelas berbuat salah,bukan dengan membela. Kerana ianya tidak lain tidak bukan membiarkan kita tercampak ke neraka. Dan akhirnya menyebabkan mata kabur daripada kebenaran,Nau'zubillah,semoga Allah sentiasa menetapkan Iman dihati-hati kita.
Aku juga mahu menjadi sahabat yang baik,yang berguna dan sentiasa memberi manfaat kepada insan sekelilingku. Namun aku juga insan yang lemah seperti kalian,yang lemah imannya,justeru sentiasa mengharapkan sahabat-sahabat untuk menegur dan menunjukkanku ke jalanNya...InsyaAllah...
JANGAN KERANA LIDAH,PENGAKHIRAN KITA DINERAKA.
JANGAN KERANA NAFSU,MENIPISKAN IMAN KITA.
Warkah ini ku tulis kerana menyayangi,bukan kerana mendendami,memusuhi atau menyakiti sesiapa,maafkanku andai ada yang terasa.Maaf...maaf...maaf
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment