Semuanya dengan kehendak MU. Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim Kau ampunilah dosa ku yang telah ku buat Kau limpahkanlah aku dengan kesabaran yang tiada terbatas Kau berikanlah aku kekuatan mental dan fizikal Kau kurniakanlah aku dengan sifat keredhaan Kau peliharalah lidahku dari kata-kata nista Kau kuatkanlah semangatku menempuhi segala cabaranMu Kau berikanlah aku sifat kasih sesama insan.
Monday, 20 January 2014
Tujuh Puluh Ribu Masuk Syurga Tanpa Hisab
Dengan Nama...
Al-‘AzizurRaheem, Al-‘AzizulHakeem, Al-‘AffururRaheem.
“Tujuh Puluh Ribu”
Mukadimah: Doa Malaikat Pemikul ‘Arasy
الَّذِينَ يَحْمِلُونَ الْعَرْشَ وَمَنْ حَوْلَهُ يُسَبِّحُونَ بِحَمْدِ رَبِّهِمْ وَيُؤْمِنُونَ بِهِ وَيَسْتَغْفِرُونَ لِلَّذِينَ آمَنُوا
“Yang memikul ‘Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya bertasbih memuji Tuhan mereka dan mereka beriman kepada-Nya serta memohonkan ampun bagi orang-orang yang beriman,”
رَبَّنَا وَسِعْتَ كُلَّ شَيْءٍ رَحْمَةً وَعِلْمًا فَاغْفِرْ لِلَّذِينَ تَابُوا وَاتَّبَعُوا سَبِيلَكَ وَقِهِمْ عَذَابَ الْجَحِيمِ
"Ya Tuhan kami, Rahmat dan Ilmu Engkau meliputi segala sesuatu, maka berilah ampunan kepada orang-orang yang bertaubat dan mengikuti jalan Engkau dan peliharalah mereka dari siksaan Al-Jahim.”
رَبَّنَا وَأَدْخِلْهُمْ جَنَّاتِ عَدْنٍ الَّتِي وَعَدْتَهُمْ وَمَنْ صَلَحَ مِنْ آبَائِهِمْ وَأَزْوَاجِهِمْ وَذُرِّيَّاتِهِمْ ۚ إِنَّكَ أَنْتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ
“Ya Tuhan kami, dan masukkanlah mereka ke dalam Syurga ‘Adn yang telah Engkau janjikan kepada mereka dan orang-orang yang saleh di antara nenek-moyang mereka, dan isteri-isteri mereka, dan keturunan mereka semua. Sesungguhnya Engkaulah Al-‘Azizul-Hakeem,
وَقِهِمُ السَّيِّئَاتِ ۚ وَمَنْ تَقِ السَّيِّئَاتِ يَوْمَئِذٍ فَقَدْ رَحِمْتَهُ ۚ وَذَٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
“Dan peliharalah mereka dari kejahatan. Dan orang-orang yang Engkau pelihara dari kejahatan pada Hari Itu, maka sesungguhnya telah Engkau anugerahkan rahmat kepada mereka dan itulah kemenangan yang agung."
(QS. Al-Mu’min 40:7-9)
Tiga Hadith
Perawi 1: Dari Ibnu 'Abbas: Nabi bersabda, "Umat Manusia dipertunjukkan di hadapanku dan aku melihat seorang Nabi melewati dengan sekumpulan besar pengikutnya, dan seorang Nabi lagi melewati dengan hanya sekumpulan kecil pengikut, dan seorang lagi Nabi melewati dengan hanya 10 orang pengikut, dan seorang lagi Nabi melewati dengan hanya 5 orang pengikut, dan seorang lagi Nabi melewati hanya berseorangan. Kemudiannya aku memandang lagi lalu melihat segolongan manusia yang besar jumlahnya, lalu aku bertanyakan Jibril, "Adakah mereka ini pengikutku?". Dia menjawab, "Tidak, tetapi pandanglah ke sebelah ufuk.". Aku memandang lalu melihat segolongan manusia yang teramat besar jumlahnya. Jibril berkata, "Mereka itulah para pengikutmu, dan yang di barisan hadapannya ialah 70,000 orang yang langsung tidak dihisab amalan mereka dan tidak pula mereka diazab.". Aku bertanya, "Kenapa sedemikian?". Dia menjawab, "Oleh kerana mereka itu tidak terlibat dalam melecurkan diri, tidak terlibat dengan Ruqyah, tidak terlibat dengan khurafat; mereka hanya yakin dengan Tuhan mereka semata-mata.". Mendengar itu, 'Ukashah bin Mihsan bangun lalu berkata, "Mohonlah dari ALLAH supaya aku salah seorang dari mereka.". Nabi bersabda, "Ya ALLAH, jadikan dia salah seorang dari mereka.". Kemudian seorang lelaki lain bangun seraya berkata, "Mohonlah dari ALLAH supaya aku salah seorang dari mereka.". Nabi bersabda, "Ukashah telah mendahului kamu." (HR Bukhary: Kitab #76, Hadith #549)
Dari Perawi 2: Dari Ibnu 'Abbas: Nabi bersabda, "Telah dipertunjukkan padaku umat-umat terdahulu. Seorang atau dua Nabi melewati dengan para pengikut yang sedikit, seorang Nabi lain dengan tanpa ada seorang pengikut pun. Tiba-tiba aku dipertunjukkan sekumpulan yang besar dan aku menyangka mereka umatku, tetapi aku diberitahu, "Ini adalah Musa dan para pengikutnya, tetapi lihatlah di sebelah ufuk sana.". Aku melihat dan penglihatanku tertumpu kepada perhimpunan manusia yang teramat besar memenuhi ufuk. Aku diberitahu, "Mereka inilah umatmu dan dikalangan mereka adalah 70,000 yang akan memasuki Syurga tanpa dihisab.". Lalu Nabi bangun lalu terus masuk ke biliknya, dan para sahabat mula tertanya-tanya sesama mereka mengenai golongan (70,000) yang masuk Syurga tanpa dihisab. Sesetengah sahabat berkata, "Mereka ialah kita yang percayakan ALLAH dan mengikut setia Nabi-Nya; oleh kerana itu golongan tersebut (70,000) samada kita atau anak-anak kita yang dilahirkan pada era Islam, manakala kita dilahirkan pada era sebelum Islam di zaman Jahiliyyah.". Apabila Nabi mendengar perbualan mereka, beliau keluar lalu bersabda, "Mereka adalah golongan yang tidak mengamalkan Ruqyah, tidak percayakan khurafat, tidak melecurkan diri sebaliknya hanya mentauhidkan diri kepada Tuhan mereka.". Mendengar ini, 'Ukashah bin Mihsan bangun lalu berkata, "Adakah aku salah seorang di antara mereka wahai Nabi ALLAH?.". Nabi bersabda, "Ya.". Kemudian seorang lelaki lain bangun lalu bertanya, "Adakah aku di antara mereka?". Nabi bersabda, "Ukashah telah mendahului kamu.". (HR Bukhary: Kitab #71, Hadith #606)
Dari 'Aisyah (Ummul Mukminin): Nabi bersabda, "Tiada seorang pun yang dipanggil untuk dihisab pada Hari Kebangkitan, melainkan hanya akan binasa.". Aku bertanya, "Wahai Nabi ALLAH! Bukankah ALLAH telah berfirman, "Adapun orang yang diberikan kitabnya dari sebelah kanannya, maka dia akan dihisab dengan hisab yang mudah? (QS.84:7-8). Nabi ALLAH bersabda, "Tersebut maksudnya hanyalah pembentangan kitab amalan, tetapi barangsiapa yang kitab amalannya dipersoalkan pada Hari Kebangkitan, pastinya akan diazab.". (HR Bukhary: Kitab #76, Hadith #545)
Huraian 3 Hadith
HA Limdis pertama dan ke-2 membawa maksud yang sama, cuma versinya sedikit berbeza disebabkan perawinya berbeza. Hadith ke-3 adalah penerangan dari Nabi kepada isterinya (‘Aisyah Ummul Mukminin) mengenai hal “golongan yang dihisab” merujuk kepada Surah Al-Insyiqaq Ayat 7-8. Untuk memahami Ayat 7-8 ini perlulah memahami seluruh isi Al-Qur’an bahawa tanda-tanda ayat peringatan dari ALLAH semuanya ditujukan kepada orang Mukmin (beriman) supaya mereka menjadi Muslim (berserah diri) yang Bertaqwa (takutkan azab Tuhan di dunia dan di akhirat) lalu menjadi insan Mukhlisin (jujur) yang tidak disentuh Iblis, syaitan dan setan. Tidaklah Kitab Perjanjian Al-Qur’an ditujukan kepada orang-orang Cina agama Tok Nenek, Hindu, Kristian, Yahudi, Majusi, penyembah berhala, penyembah matahari, penyembah haiwan, penyembah pokok dan mana-mana penganut agama selain Islam kerana sudah tentunya mereka tidak mahu membacanya (Al-Qur’an) malahan tidak beriman dengannya. Mereka ini digelar ALLAH sebagai “kafir musyrik” (mendustakan lagi mensekutukan ALLAH). Manakala kita Umat Islam diperingatkan Tuhan supaya tidak menjadi “kafir” (engkar perintah-Nya) setelah mendapat Petunjuk dari Al-Qur’an. Pernyataan aku ini akan dicop sebagai “Wahhabism”, begitulah persangkaan kebanyakan manusia sombong yang suka bersangka-sangka tanpa Ilmu Haq.
Setelah faham seluruh Al-Qur’an termasuk Ayat-ayat Muhkamaat dan Mutasyabihat, barulah faham bahawa orang-orang “kafir musyrik” yang langsung tiada iman walaupun sebesar zarah akan disumbat ke neraka Jahannam tanpa melalui hisab. Mereka tidak mendapat Kitab Amalan langsung, dan mereka kekal di dalam Jahannam! Manakala seluruh Umat Muhammad yang beriman akan dihisab segala amalan mereka ketika di dunia melainkan 70,000 orang “golongan elit” di sisi Tuhan sahaja yang tidak mendapat Kitab Amalan dan mereka ini dikecualikan dari beratur panjang (entah betapa berat siksanya menanti giliran untuk dihisab, ALLAH-Hu ‘Aklam!). Orang mukmin (beriman) yang diberi Kitab Amalan dari arah kanannya, akan dipermudahkan pengadilan namun tetap diazab juga dalam Neraka Jahim akibat menzalimi diri sendiri ATAU dalam Neraka Saqar akibat tidak bersembahyang, tidak bersedekah, membicarakan kebathilan dan tidak menyakini Hari Pembalasan ATAU dalam Neraka Hawiyah akibat timbangan amalan baiknya lebih ringan berbanding amalan buruknya. Manakala orang mukmin (beriman) yang mensekutukan ALLAH dengan mana-mana makhluk-Nya, dengan harta kekayaan, dengan pangkat dan darjat, dengan kesenangan duniawi serta para penyembah thogut sehingga mengenepikan Tuhan pencipta mereka maka mereka akan mendapat Kitab Amalan dari arah belakang lalu celakalah mereka di dalam Neraka Jahannam! Dan Jahannam ada 7 buah pintu. Pintu terbawah adalah untuk “kafir musyrik” (lagi 6 pintu, ALLAH-HU ‘Aklam!). Selepas selesai diazab, masuklah mereka ke dalam Syurga dengan syarat ada iman dalam hati mereka walau sebesar zarah. “Kafir musyrik” kekal dalam Jahannam.
Kitab-kitab Amalan orang mukmin disimpan di dua tempat; 1) Sijjin – para penderhaka yang kafir (engkar) kepada perintah Tuhan, mereka ini akan diazab. 2) ‘Illiyin – orang-orang yang berbakti di dunia tetapi selalunya dianggap sesat dan ditertawakan oleh pemilik kitab simpanan di Sijjin. Mereka ini golongan elit penghuni Syurga Adn.
Umat Islam, Umat Muhammad telah menjangkau sekitar 1,500,000,000 (1.5 billion). 70,000 orang golongan elit dibahagikan dengan 1,500,000,000 mukmin lalu didarab 100% hanyalah sekitar 0.005% sahaja!
Persoalannya:
“Jika dikumpulkan seluruh Umat Muhammad sebermula dari Nabi Muhammad RasuluLLAH sehinggalah sekarang (dalam tempoh 1431 tahun), berapakah jumlah terkumpul Umat Muhammad dan berapakah pengurangan dari 0.005%?”
Kesimpulan
Dari 3 Hadith di atas, ‘prophecy’ Nabi memanglah tepat.
Nota:
1) `Ukashah bin Mihsan al-`Asdi
Pada hari Peperangan Badar, pedang 'Ukashah bin mihsan Al-Asdi telah patah, maka Nabi memberinya sebatang kayu yang apabila disentapnya lalu bertukar menjadi sebilah pedang putih yang panjang. 'Ukashah terus menggunakan pedang ini di dalam kebanyakan peperangan jihad Islamiyah sehinggalah beliau wafat semasa memerangi golongan murtad.
2) Para ulamak ASWJ berpendapat bahawa terdapat 2 jenis perubatan Ruqyah iaitu Rukyah Jahiliyyah dan Ruqyah Sunnah. Rukyah Jahiliyyah melibatkan pemakaian tangkal pelindung, azimat, jampi , pemujaan, sihir atau perkara-perkara khurafat lain yang bertentangan dengan akidah Islamiyyah. Ruqyah Sunnah pula melibatkan penggunaan ayat-ayat Al-Qur'an tertentu oleh beberapa orang sahabat Nabi dalam merawat penyakit, misalnya Ayat Kursy (QS. 2:255) dan Surah Al-Fatihah.
3) Para ustaz ASWJ amat biasa mengamalkan Ruqyah Sunnah dalam perawatan penyakit rasukan jin mau pun penyakit biasa. Mungkin mereka kurang faham Hadith-hadith di atas.
4) Tiada sebarang rekod dari Riwayat Hadith yang mengatakan Nabi Muhammad pernah menggunakan Ruqyah dalam perubatan. Tidaklah layak bagi seseorang Nabi yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan untuk menggunakan Ruqyah, sekadar doa tauhidnya sahaja sudah tentu dimakbulkan Tuhan. Namun Nabi tidak menegah para sahabatnya menggunakan ayat-ayat tertentu dalam perubatan Ruqyah. Ini adalah kerana tiada Wahyu Ilahi yang melarang penggunaan ayat-ayat Al-Qur'an dalam Ruqyah perubatan.
5) Ulamak Salafi Tulen mengikut bulat-bulat Sunnah Nabi, menolak Sunnah Sahabat dan mereka ini tidak menggunakan Ruqyah kerana mereka mahu masuk ke dalam golongan 70,000 Umat Muhammad Tanpa Hisab.
6) Para pengamal Ilmu Khalifah dan para 'ArifbiLLAH pula tidak mengamalkan sebarang jenis Ayat Al-Qur'an sebagai Ruqyah sebaliknya menggunakan kaedah Tauhid Haq dalam menundukkan musuh dari kalangan manusia dan jin kaedah Haqqul Yaqin dalam merawat penyakit. Bagi mereka, seluruh Bani Jin tunduk rapat ke tanah apabila mereka lalu. Mereka juga yakin pada sabdaan Nabi bahawa penyakit biasa yang Tuhan timpakan adalah sebagai pembersihan dosa dan supaya mereka ingat ALLAH senantiasa melalui amalan ZikruLLAH. Mereka tersangat ingin untuk berada di saf hadapan golongan 70,000 Umat Muhammad Tanpa Hisab.
7) Ahli Sunnah Tanpa Jamaah (ASTJ) atau Sahabat Al-Kahfi, sependapat dengan Ulamak Salafi Tulen dan sependapat pula dengan para pengamal Ilmu Khalifah dan 'ArifbiLLAH, ditambah lagi mereka ini tidak mahu “mengecop” (“melecurkan”/mentatu anggota tubuh atau melabelkan) diri mereka dalam mana-mana jamaah berpengaruh dan tidak mengikut mana-mana imam kecuali hanya mengikut Sunnah Nabi Muhammad AbduLLAH Yang Terpuji dan Imam Muhammad AbdiLLAH Yang DiTunjuki. Mereka amat yakin untuk berada di saf paling hadapan di antara 70,000 (0.005%) Umat Muhammad Tanpa Hisab.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment