Monday, 20 May 2013

PERHIASAN HATI



Kata-kata hukama: "Tidak cukup mengaku Islam, tetapi tidak beramal. Tidak cukup banyak beramal tetapi hatinya tidak dihias."

Hati adalah tempat pandangan ALLAH swt. ALLAH tidak menilai atau memandang hambaNYA dari rupa atau badannya tetapi dari kesucian hatinya. Maka itu adalah sangat penting bagi kita untuk mencantikkan dan menghias hati supaya dapat menarik perhatian dan pandangan ALLAH terhadap diri kita.

Sabda Rasulullah saw, yang maksudnya; "Bahawasanya, ALLAH Taala tidak melihat pada rupa kamu dan badan kamu. ALLAH hanya pandang pada hati kamu."
- Riwayat Muslim dan Ibn Majah


Fungsi Hati

Dari segi fisikal tubuh manusia, hati adalah sebuah organ yang mempunyai fungsi penting bagi kehidupan manusia itu. Hati adalah tempat menerima darah bersih (yang mengandungi oxigen) dan darah kotor (yang mengandungi tosik tubuh). Hati akan menghantar darah bersih kepada sel-sel tubuh yang memerlukannya. Hati juga akan menyahtosikkan (bersihkan) darah kotor sebelum darah itu dihantar kembali ke jantung. Jika hati mengalami kerosakan, maka fungsi ini tentunya akan terganggu dan tubuh manusia akan menanggung akibatnya.

Dari sabda Rasulullah saw. yang bermaksud; "Sesungguhnya, di dalam tubuh manusia ada segumpal daging, apabila ia baik nescaya akan baik semua tubuhnya, dan apabila ia rosak akan rosaklah seluruh tubuhnya. Ia adalah hati."

Dari segi kerohanian, hati adalah kalbu iaitu tempat tersimpan segala emosi dan perasaan halus manusia yang tidak diketahui oleh manusia lain. Hati juga adalah tempat menyimpan segala niat perbuatan manusia sama ada perbuatan harian mahu pun perbuatan fardu ibadat.

Hati yang baik akan melahirkan perbuatan (amal) yang baik. Begitu juga hati yang jahat akan melahirkan perbuatan yang jahat juga. Amal ibadah yang banyak namun jika hatinya dipenuhi dengan kekotoran, amal ibadahnya tidak akan diredai ALLAH swt. Ingatlah bahawa masuk syurga itu bukan kerana amal soleh kita tetapi masuk syurga adalah dengan reda ALLAH swt. Satu cara mendapat reda ALLAH ialah dengan akhlak yang baik. Akhlak yang baik tidak boleh dicapai tanpa hati yang baik juga.

Bagaimanakah dapat kita dapat baikkan hati?
Hati yang baik ialah hati yang telah dihias dengan perhiasan-perhiasan hati. Tetapi sebelum hati itu dihias, terlebih dahulu hati hendaklah dibersihkan dari kekotorannya. Tidak berfaedah menghias hati yang masih kotor.

Umpama seorang wanita yang memakai perhiasan seperti gelang emas, kalung emas, cincin berlian, kerabu permata dan tiara bertahta mutiara tetapi wanita itu berpakaian kotor, berwajah comot dan berserabut rambutnya, apakah pandangan orang ramai terhadap dirinya? Sudah tentu perhiasan yang mahal itu tidak memberi seri kepada wanita itu malahan ia akan dianggap wanita kurang waras akalnya.

Begitu juga dengan rumah kita. Sebelum menghiasnya dengan langsir cantik, perabut cantik, jambangan bunga yang cantik, permaidani yang mahal dan sebagainya, rumah itu mestilah dibersihkan terlebih dahulu dari segala kekotoran. Tentu tidak masuk akal untuk menghias rumah yang masih kotor, bukan?

Maka hati juga mesti dibersihkan terlebih dahulu sebelum ia boleh dihias. Dan untuk membersihkan hati mestilah kenal akan perkara-perkara yang mengotorkan hati itu. Setelah kenal dan tahu perkara-perakara yang mengotorkan hati, berusahalah mencari cara untuk membersihkannya. Setelah hati bersih darikekotoran, baharulah ia boleh dihias supaya dapat menarik perhatian ALLAH swt. (reda ALLAH).


Perkara-perkara yang mengotorkan hati.

Perkara-perkara yang mengotorkan hati (kalbu) adalah sifat-sifat keji yang tidak disukai ALLAH swt. Sifat-sifat keji ini dikenali juga sebagai sifat-sifat mazmumah. Jika dirasa sifat-sifat ini ada pada diri, hendaklah segera berusaha untuk membersihkan sifat-sifat ini dari diri. Ini kerana sifat-sifat keji ini akan meninggalkan titik hitam (zan) di hati. Semakin lama dan banyak sifat-sifat keji ini dibiarkan, maka semakin banyaklah zan berada di hati. Dan jika tidak dibersihkan dengan betul kelak keseluruhan hati akan menjadi hitam kerana titik zan yang terlalu banyak. Hati yang gelap dengan zan akan menjadi keras. Hati yang keras akan susah untuk dimasuki nur iman selain susah untuk menerima nasihat. Jika ini terjadi orang yang empunya hati itu akan merasa malas untuk beribadat dan merasa senang pula dengan perkara-perkara maksiat.

Sifat-sifat keji (sifat mazmumah) yang mengotorkan hati:-


    Sangat berlebih-lebihan dalam makanan.

    Sangat berlebih-lebihan dalam berkata-kata.

    Marah.

    Dengki.

    Cintakan dunia.

    Bakhil.

    Cintakan kemegahan.

    Takabbur.

    Ujub.

    Riak.

Jika sifat-sifat keji ini dapat dibersihkan dari hati, hati akan menjadi baik dan lembut dan senang untuk menerima ilmu, nasihat, dan nur iman dari ALLAH swt. Hati yang telah bersih juga hendaklah dihias dengan supaya ALLAH swt suka memandangnya. Dan apabila ALLAH suka memandang kepada hati yang bersih dan berhias, diri yang empunya hati itu akan diberi Reda ALLAH swt. Manusia sangat perlu mendapat Reda ALLAH kerana dengan Reda ALLAH ini kita akan dapat masuk ke dalam syurga yang dijanjikan.

Apakah perkara-perkara yang boleh menjadi hiasan kepada hati yang telah bersih itu?

[Click here for more gifs and graphics] Perhiasan-Perhiasan Hati.

Terdapat 12 perhiasan hati. Perkara-perkara yang menjadi hiasan hati ialah sifat-sifat terpuji yang disukai ALLAH swt. Sifat-sifat terpuji ini ada banyak tetapi yang terpenting ada 12 sifat iaitu:-

1) Taubat
Erti taubat pada bahasa ialah kembali atau pulang ke pangkal jalan. Taubat pada hukum syarak ada 3 iaitu:-


    rasa menyesal atas perbuatan maksiat itu

    tinggalkan maksiat itu

    berazam tidak akan kembali kepada maksiat itu

Sentiasalah bertaubat walaupun terhadap dosa-dosa kecil kerana setiap dosa kecil yang tidak dibersihkan akan menjadi titik hitam (zan) yang akan menggelapkan hati.

Dari sabda Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, yang bermaksud; "Wahai sekelian manusia! Taubatlah kamu kepada ALLAH swt. Bahawasanya aku bertaubat kepadaNYA satu hari seratus kali."

2) Raja' dan Khauf
Raja' bererti berharap-harap akan Reda dan Rahmat ALLAH swt. Orang Islam dilarang dari merasa putus-asa. Dengan adanya rasa berharap ini akan membuat diri kita sentiasa melakukan yang terbaik supaya dapat Reda dan RahmatNYA.

Khauf pula bererti takut iaitu takut akan mendapat murka ALLAH swt. Dengan adanya rasa takut ini akan menjauhkan diri kita dari perkara-perkara yang akan mendatangkan murka ALLAH itu.

3) Zuhud

Zuhud bukan membuang kehidupan dunia. Islam tidak melarang umatnya dari bekerja keras untuk mencapai kejayaan. Islam tidak melarang untuk menjadi kaya. Erti zuhud yang sebenar ialah tidak ada keinginan dunia di dalam hati. Kehidupan duniawi hanya di zahirnya sahaja sedangkan hatinya sangat mencintai kehidupan akhirat.

Sabda Rasulullah saw. yang bermaksud; "Apabila ALLAH swt mengkehendaki hamba kebaikan, nescaya dizuhudkan hatinya iaitu memadai dia akan apa yang ada pada dirinya di dunia, dan menjadikan hatinya gemar kepada akhirat dan dilihatkan aib dirinya."

4) Sabar

Erti sabar ialah menahan diri dari merasa marah kepada perkara yang menyusahkannya dan menahan lidah dari mengadu masalah hidupnya kepada yang selain ALLAH. Sabar adalah fardu ain atas setiap mukallaf sama ada sabar dalam mengerjakan ketaatan kepada ALLAH atau sabar dalam meninggalkan perkara maksiat atau sabar dalam menghadapi balak (ujian ALLAH).

5) Syukur

Syukur membawa erti menggunakan nikmat-nikmat yang dianugerahkan ALLAH swt kepada perkara-perkara yang disukai ALLAH. Gunakanlah mata, telinga, lidah, tangan serta kaki untuk kebaikan. Begitu juga bersyukur dengan rezeki yang diberi ALLAH adalah dengan menggunakannya ke jalan yang benar.

6) Iklas

Iklas bererti membuat sesuatu kebaikan itua adalah semata-mata kerana hendak mendapat reda ALLAH swt dan bukan untuk dipuji makhluk.

7) Tawakal

Menyerah kepada takdir semata-mata tanpa sebarang usaha bukanlah yang dimaksudkan dengan tawakal. Makhluk dianugerahkan dengan pancaindera untuk digunakan dalam berusaha dan akal untuk berfikir. Makhluk wajib berusaha kemudian berdoa dan akhir sekali bertawakal kepada ALLAH swt.

Ertit tawakal yang sebenarnya ialah menyerahkan dengan keyakinan segala keputusan kepada ALLAH setelah berusaha dan berdoa.

8) Reda

Menerima dengan rasa penuh keyakinan apa yang ditakdir ALLAH swt. Orang yang reda dengan ketentuan ALLAH swt akan mendapat Reda ALLAH pula. Orang yang mendapat Reda ALLAH balasannya adalah syurga.

9) Mahabatillah

Ertinya kasih akan ALLAH. Kasih akan ALLAH adalah tanda kesempurnaan iman. Salah satu syarat iman ialah kasihkan ALLAH. Untuk kasih kepada ALLAH mestilah mengenalNYA terlebih dahulu. Apabila hati telah ada rasa kasih, segala perintahNYA akan dilaksanakan tanpa ada rasa jemu atau malas.

10) Zikrulmaut

Mengingati mati bukan bererti kita berputus asa dalam hidup dan mengharapkan mati. Mengingati mati akan mendatangkan rasa insaf dan ingat akan adanya kehidupan lain setelah kematian. Mengingati mati akan membuat kita berhati-hati dalam menjalani kehidupan di dunia ini kerana segala perbuatan dan percakapan akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

11) Tafakkur

Berfikir sangat-sangat digalakkan kerana ia adalah satu anugerah makhluk yang diberi akal. Gunakan akal untuk berfikir tentang kejadian alam dan segala isinya. Dengan bertafakkur manusia akan mengenal Tuhannya.

12) Muhasabah

Muhasabah ertinya menghitung diri sendiri. Orang yang sentiasa menghitung dirinya sendiri kelak tidak akan terperanjat apabila dirinya dihitung kelak di makhamah ALLAH swt.

Inilah 12 perhiasan hati yang wajib ada pada hati orang yang beriman. Apabila hati telah dihias dengan perhiasan-perhiasan tersebut, sudah pasti ALLAH akan memandang hati itu dengan penuh kasih sayang dan akan diberi RedaNYA, insya-ALLAH.

No comments:

Post a Comment