Friday, 24 May 2013

BUKTI MANUSIA AKAN DIHIDUPKAN KEMBALI OLEH ALLAH S.W.T.





Pada suatu hari, setelah Nabi Muhammad S.A.W. memberi keterangan kepada orang ramai bahawa setiap manusia yang sudah mati akan di hidupkan kembali, maka ramai orang yang kebanyakannya adalah orang -orang yang jahil itu dengan serentak mula mengejek dengan berteriak-teriak dan bersiul-siul sambil berloncat-loncatan.

Di antara orang ramai itu ada dua orang penting yang termasuk kaum cendekiawan dan pemimpin, iaitu Ubay bin Ka'ab dan al-As' bin Wail.

Kedua pemimpin ini selain tidak percaya bahawa orang-orang yang sudah mati beribu-ribu tahun akan hidup kembali, juga akan mempergunakan keterangan itu untuk menjatuhkan atau mengalahkan Rasulullah S.A.W.

Kedua orang itu pulang ke rumahnya untuk mengambil cangkul, lalu menuju ke kuburan. Kuburan itu mereka gali, mereka keluarkan tulang-belulang manusia yang terdapat di dalamnya, lalu membawa tulang-belulang itu ke hadapan Rasulullah S.A.W.

Di hadapan Rasulullah S.A.W., tulang-belulang itu mereka injak-injak dengan kaki sehingga hancur-lebur menjadi debu. Debu itu lalu mereka tiup ke udara sehingga berterbangan. Lalu mereka berkata kepada Rasulullah:

"Engkaulah yang mengatakan bahawa Allah akan menghidupkannya kembali?"

Untuk menjawab tentangan itu, turunlah Malaikat Jibrail kepada Rasulullah S.A.W. membawa wahyu dari Allah S.W.T.

Allah S.W.T berfirman (yang bermaksud):
"Tidakkah manusia itu melihat dan mengetahui, bahawa Kami telah menciptakan dia dari (setitis) air benih? Dalam pada itu (setelah Kami sempurnakan kejadiannya dan tenaga kekuatannya) maka dengan tidak semena-mena menjadilah ia seorang pembantah yang terang jelas bantahannya (mengenai kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang mati).
Serta ia mengemukakan satu misal perbandingan kepada Kami (tentang kekuasaan itu), dan ia pula lupakan keadaan Kami menciptakannya sambil ia bertanya: "Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu?". Katakanlah: "Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya; dan Ia Maha Mengetahui akan segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakanNya). Tuhan yang telah menjadikan api dari pohon-pohon yang hijau basah untuk kegunaan kamu, maka kamu pun selalu menyalakan api dari pohon-pohon itu. Tidakkah diakui dan tidakkah dipercayai bahawa Tuhan yang telah menciptakan langit dan bumi (yang demikian besarnya) berkuasa menciptakan semula manusia sebagaimana Ia menciptakan mereka dahulu? Ya! Diakui dan dipercayai berkuasa! Dan Dialah Pencipta yang tidak ada bandinganNya, lagi Yang Maha Mengetahui".
(Yasin: 77-81).

No comments:

Post a Comment