Sunday, 3 March 2013

Perumpamaan Orang Yang Buta Dan Celik Hati



Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan sememangnya tidaklah sama orang yang buta dan orang yang celik, dan juga tidaklah sama orang-orang yang beriman serta beramal soleh dengan orang yang melakukan kejahatan. (Meskipun hakikat ini jelas, nyata, tetapi) sedikit sangat kamu beringat dan insaf.”

(Surah al-Mukmin: 58)

Huraian

Allah SWT menegaskan secara perumpamaan bahawa orang yang buta yakni yang tidak dapat melihat dengan mata kepala tidak sama dengan orang yang boleh melihat. Orang yang buta penglihatan akan berjalan untuk sampai ke sesuatu arah dengan teraba-raba dalam perjalanannya. Ia tidak mengetahui apakah halangan dan rintangan serta pancaroba yang berada disekelilingnya. Oleh yang demikian orang yang buta penglihatan akan terdedah kepada malapetaka, bala bencana dan musibah.

            Sebaliknya, orang yang celik penglihatan akan dapat melangkah bebas menuju ke destinasi dengan dapat mengetahui hal ehwal di sekelilingnya sama ada ia selamat atau berbahaya. Jika keadaan selamat perjalanan akan diteruskan dan jika sebaliknya perjalanan ditangguhkan atau memilih jalan lain yang lebih sesuai dan selamat.

            Begitulah perbandingan yang Allah SWT gambarkan melalui ayat di atas barkaitan dengan orang yang buta mata hati dan orang yang celik mata hatinya dalam kehidupan. Orang yang celik mata hatinya akan sentiasa menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai pegangan hidupnya kerana ia yakin jika berpegang dengan kedua-dua sumber tersebut pasti tidak akan sesat selama-lamanya walaupun mata kepalanya tidak boleh melihat. Orang yang buta mata hatinya adalah orang yang tidak mahu mendengar dan beramal dengan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT dan Rasul SAW. Golongan ini sudah pasti akan tersesat jauh.

            Seterusnya, dalam ungkapan yang selanjutnya Allah SWT menegaskan bahawa orang yang beriman dan beramal soleh, keadaan mereka berbeza dengan orang yang melakukan maksiat. Orang yang beriman memiliki cahaya petunjuk di dalam hatinya. Cahaya iman itulah yang akan menyuluh kehidupan, menyelamatkannya dari kerosakan dan membimbing orang lain kepada kesejahteraan.

            Sebaliknya, orang yang melakukan kejahatan dan maksiat serta ingkar dengan suruhan Allah SWT dan Rasul SAW tidak memiliki cahaya tersebut. Jiwanya akan mati, hatinya gelap gelita dan hidupnya tidak menjurus ke jalan yang diredhai Allah SWT.

            Sungguhpun demikian, terlalu sedikit orang yang mengambil iktibar dengan perumpamaan yang Allah SWT berikan. Mereka merasakan seolah-olah nikmat melihat, mendengar, berkata-kata, berjalan dan seumpamanya akan kekal selama-lamanya untuk diri mereka sehingga tidak berasa sesuatu pun setiap kali melakukan dosa dan maksiat. Mereka juga tidak sedar pada bila-bila masa sahaja Allah SWT mampu menarik balik segala nikmat yang diberikan.

Kesimpulan

Bagi menzahirkan rasa syukur terhadap nikmat kurniaan Allah SWT maka adalah wajar bagi setiap insan yang beriman membayangkan apa yang akan terjadi seandainya Allah SWT mencabut nikmat penglihatan, pendengaran dan pergerakan daripada kita. Tatkala itu sudah pasti kita akan mula menghargai nikmat tersebut dan berazam untuk tidak menyalahgunakannya. Kesedaran inilah yang sepatutnya tertanam dalam diri kita pada setiap masa dan ketika. Biarlah kita dibutakan mata asalkan tidak dibutakan hati!!!

No comments:

Post a Comment