Thursday, 7 March 2013

Hidupkan Jiwa Tasawuf : Keajaiban Hati / Qalbi





Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang....


Bila kita membicarakan berkaitan tasawuf,maka kita tidak boleh lari dari membicarakan berkenaan dengan hati atau qalbi yang merupakan alat atau instrumen terpenting dalam menghidupkan jiwa tasawuf.Ramai yang terkeliru dengan makna dan istilah hati atau qalbi ini.Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada rupa paras kita,tapi Allah memandang hati kita.Bukankah hati itu istana Allah?oleh itu,mengapa kita tidak mahu mengkaji misteri hati atau jantung kita sendiri secara fizikal dahulu sebelum kita menggunakannya menjadi alat untuk menyampaikan kita pada mengenali diri kita dan seterusnya mengenal Allah.


Sabda Nabi SAW bermaksud ; “ Didalam tubuh manusia itu,ada seketul darah,jika darah itu baik,maka baiklah manusia tersebut dan jika darah itu kotor maka kotorlah manusia itu.Sesungguhnya ketulan darah itu ialah hati (qalbi)”.


Kata Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i dalam kitabnya Tanbihut Thullab fi Ma’rifati Malikil wahhab : “ maka Qalbi(hati),tatkala sempurna penyiapannya dan kuat cahayanya dengan sebab berkekalan melakukan zikir yang maha tinggi bagi muraqabah yang siap sedia bagi musyahadah menjadilah ia sebagai cermin tajalli ketuhanan.adalah dia menghimpunkan antara kedua lautan muraqabah dan musyahadah.Dia tempat pertemuan bagi sekalian alam.Yang demikian itu ialah ‘Arsyullah ( Kerajaan Allah) sebagaimana yang telah diceritakan dalam hadis “hati(qalbi) orang beriman itu adalah istana Allah”[ al-ma’rifah- jld 2-Hj Wan Mohd Shagir,m/s 59]


Hati atau Qalbi adalah tempat jatuhnya tilikan Allah,bila hati bersih ia ibarat cermin,kata Al-Ghazali.Ia juga tempat hambanya yang terpilih beroleh ilmu berupa ilmu Laduni atau ilmu batin seperti sabda Rasul yang bermaksud “ilmu itu ada dua macam.Pertama;ilmu lisan,sebagai hujjah Allah dan hambanya.Kedua;ilmu batin yang bersumber di lubuk hati,ilmu inilah yang berguna untuk mencapai tujuan pokok dalam ibadat”(Buku Sirrul-Asrar- Syeikh Abdul Qadir Al-jailani,m/s 19).Kata Sheikh Abdul Qadir lagi dalam kitabnya Sirrul-Asrar: “mula-mula manusia memerlukan ilmu syariat agar badannya mempunyai kegiatan dalam mencari makrifat pada makrifat sifat,iaitu ‘darajat’.kemudian manusia menginginkan ilmu batin agar ruhnya mempunyai kegiatan untuk mencapai makrifat pada makrifat zat.Untuk tujuan ini manusia harus meninggalkan segala sesuatu yang menyalahi syariat dan tariqat.Hal ini akan dapat dicapai dengan melatih diri meninggalkan keinginan nafsu walaupun terasa pahit dan melakukan ruhaniyyah dengan tujuan mencapai redha Allah serta bersih dari riya’(ingin dipuji orang lain) dan sum’ah(mencari kemasyhuran).


Yang dimaksudkan dengan alam makrifat adalah alam Lahut,yaitu negeri asal tempat diciptakan Ruh Al-Qudsi(Ruh Termurni) dari Nur Muhammad dalam wujud terbaik.Yang dimaksudkan Ruh Al-Qudsi ialah hakikat manusia yang disimpan di lubuk hati,kemudian bila hatinya sudah hidup maka ruh Al-Qudsi itu dinamakan Tiflul Ma’ani(bayi ma’nawi).Ia lahir dari hati,seperti lahirnya bayi dari rahim seorang ibu.Bayi ini bersih dari segala kotoran dosa seperti syirik(menyekutukan Allah) dan ‘gaflah(lupa kepada Allah)[ Sirrul-Asrar m/s 20- 22].Maka beruntunglah orang yang boleh menghidupkan hati dengan cahaya tauhid dan dengan lisan sirri tanpa huruf dan suara lalu tersingkaplah segala rahsia.firman Allah didalam Hadis Qudsi : “manusia adalah rahsia-Ku dan Aku adalah rahsia manusia”.Allah berfirman lagi dalam hadis Qudsi iaitu : “Ilmu batin adalah rahsia di antara rahsia-Ku.Aku jadikan di dalam hati hamba-hamba-Ku dan tidak ada yang menempatinya kecuali Aku”


“Orang-orang yang merindukan Allah hatinya mempunyai mata.Mata hatinya melihat segala sesuatu yang tidak di lihat oleh penglihatan biasa.Hati mereka mempunyai sayap yang terbang tanpa bulu,terbang ke malakut Rabbul A’lamin”[ Sirrul-Asrar, m/s 28]


Hati juga dikatakan tempat Ruh Ruhani.Alatnya adalah Tariqat.Tempat Ruh Sulthoni pula adalah ‘Fuad’ iaitu mata hati.Alatnya adalah makrifat.Hati mestilah dihidupkan selalu melalui zikir dan ingatan yang berkekalan pada Yang Maha Pencipta.Hati yang suci bersih tempatnya di bawah Arasy Allah sebagaimana dengan sabda Nabi SAW “ Sesungguhnya Allah mempunyai hamba-hamba yang jasadnya di bumi dan hatinya di bawah Arasy Allah”.Kata Sheikh Abdul Qadir al-Jailani dalam kitabnya Sirrul Asrar : [Melihat kepada Allah di dunia tidak akan berhasil.Yang dapat dilihat di dunia adalah sifat-sifat Allah pada cermin hati.Saidina Umar berkata “hatiku melihat Tuhanku dengan cahaya Tuhanku”.manusia akan melihat pantulan ‘jamalullah’ pada cermin hatinya”]. Imam Al-ghazali juga berkata “Hidupnya hati adalah ilmu,galilah ia.Matinya hati adalah bodoh,maka jauhilah ia.”.Hidupnya hati membuahkan iman dan takwa yang mantap ,itulah sebabnya orang yang benar-benar beriman,bila disebutkan nama Allah kepada mereka,maka gementarlah hati mereka.Firman Allah di dalam surah Al-Anfal,ayat 2 bermaksud : “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka” kerana “hatinya tidak mendustakan apa yang dilihatnya”(An-Najm:11). Kata saidina Ali pula "Aku tidak beribadah kepada Tuhan yang tidak aku lihat”.Lihat disini bagi Saidina Ali ialah melihat dengan mata hatinya bukan dengan matanya.


Alangkah ruginya orang yang buta hatinya dan tersesat dari jalan yang benar.Firman Allah dalam surah Al-Isra’ ayat 72 bermaksud : “ dan barang siapa yang buta(hatinya) di dunia ini,nescaya di akhirat(nanti) ia akan lebih buta pula dan lebih tersesat dari jalan (yang benar)".Apa yang dimaksudkan buta dalam ayat diatas ialah buta hati seperti firman Allah dalam surah Al-hajj ayat 46 yang bermaksud ; “Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta,ialah hati yang di dalam dada”


Menurut Sheikh Abdul Qadir al-Jailani lagi “ Penyebab utama kebutaan hati adalah kerana lupa yang menutupi hati setelah manusia berjanji di alam Arwah.Yang menjadi penyebab lupa adalah bodoh terhadap hakikat urusan ketuhanan.Kebodohan ini timbul kerana hati terselubung oleh sifat sifat zalim seperti; sombong,dendam,dengki,kikir,ujub,ghibah(mengumpat), namimah(mengadu domba),bohong dan sifat sifat tercela yang lain.Sifat-sifat inilah yang menyebabkan manusia jatuh ke jurang yang terendah.Adapun cara menghilangkan sifat-sifat yang tercela tadi adalah dengan membersihkan cermin hati dengan alat pembersih tauhid dan dengan ilmu serta amal;dan berjuang dengan sekuat tenaga secara lahir batin sehingga ia menghasilkan hidupnya hati dengan cahaya tauhid dan sifat-sifatNya” [ Sirrul Asrar, m/s 88)



Secara fizikal atau umumnya,hati ialah jantung kita atau disebut “Heart”.Hati atau ‘Liver’( Hepar) dalam istilah sains adalah benda atau organ yang berlainan dan berada pada tempat yang berlainan pula dalam tubuh badan kita..Fungsi dua organ ini juga adalah berbeza.


Jantung merupakan organ yang berotot pejal dan mempunyai 4 ruang(bilik) utama di mana saiz ukuran jantung ialah kira-kira ; panjangnya 12 cm, lebarnya 8-9 cm seta tebalnya kira-kira 6 cm.Berat jantung sekitar 7-15 oz atau 200 sampai 425 gram dan menyamai saiz penumbuk individu berkenaan. Ianya terletak di dalam bahagian dada(mediastinum), diantara dua paru-paru, dan dibawah tulang rusuk kiri atau lebih dikenali dalam tasawuf berada 2 jari dibawah puting susu sebelah kiri bagi tariqat naqsyabandiah.Ada juga orang tasawuf memanggil tempat ini sebagai Lathaif qalbi,Wilayah Muhammad dan warnanya kuning.Lokasi hati menurut tasawuf ini merujuk kepada tempat dimana denyutan jantung itu paling dirasai( boleh disentuh dengan tangan) dan dalam istilah sains dikenali sebagai ‘apex beat area’.


4 bilik atau ruang hati membawa maksud tersendiri bagi saya.Bila hati itu istana Allah ,perkataan Allah itu ada 4 huruf.Allah itu dibicarakan dalam 4 bab iaitu Zat,Sifat,Asma dan Af’al.Manusia itu dijadikan dari unsur yang 4 iaitu dari Tanah,Air,Api dan Angin.Manusia menempuh 4 alam yang besar dalam perjalanannya iaitu alam kandungan ibu,alam dunia,alam kubur dan alam akhirat.Dalam perjalanannya Muhammad di temani oleh 4 sahabat yang paling rapat iaitu Abu Bakar,Umar,Usman dan Ali.Dalam menjalani hidupnya manusia perlu menjalani syariat dimana manusia mesti boleh membezakan antara 4 hukum iaitu Wajib,Sunat,Haram dan Makruh.Untuk mencapai tujuan hidupnya,manusia mesti melalui 4 tahap perjalanan kerohanian iaitu Syariat,tariqat,hakikat dan makrifat.Bukankah Hakikat nyawa itu ada 4 iaitu Nafas,Ampas,Tanapas dan Nupus? Dimana Nafas letaknya di mulut,Ampas letaknya dihidung,Tanapas letaknya di antara telinga kanan dan kiri dalam kepala atau di Medula Oblongata manakalan Nupus itu letaknya di dalam hati atau qalbi.Bermulanya hidup Nafas itu kerana Ampas.Hidup Ampas kerana Tanapas.Hidup Tanapas kerana Nupus dan hidup Nupus itu dengan rahsia dan Rahsia itu adalah diri rahsia Allah swt iaitu diri batin kita. Perjalanan nafsu(jiwa) yang berliku melalui 7 tempat perhentian(maqam) sebelum kembali semula ketempat asal untuk menjadi Insan kamil.


Jantung manusia dibahagikan kepada 4 bilik iaitu dua bilik bahagian atas disebut Atrium kanan dan Atrium kiri serta dua bilik bahagian bawah disebut Ventrikel kanan dan Ventrikel kiri.Bilik jantung bahagian kanan (atas dan bawah) berfungsi untuk menerima darah melalui vena atau mengepam darah tanpa oksigen setelah digunakan oleh sel-sel badan dari bahagian atau organ badan yang lain melalui arteri pulmonary ,manakala bilik jantung kiri (atas dan bawah) berfungsi menerima darah beroksigen di Atrium kiri dan seterusnya mengepam darah beroksigen melalui ventrikel kiri keseluruh organ lain melalui sistem pembuluh darah iaitu arteri.



Peredaran darah dari bilik kanan dan kiri jantung tidak bercampur kerana adanya dinding yang memisahkan mereka .Jantung yang mempunyai 4 bilik ini mempunyai 7 pintu atau injap iaitu 4 injap/pintu disebelah kanan dan 3 injap/pintu di bahagian kiri jantung. Bahagian Atrium dan ventrikel pula dipisahkan oleh bahagian yang membentuk injap-injap jantung. injap-injap ini akan mengemudi aliran darah diantara ruang-ruang jantung. Injap ini membenarkan aliran sehala dengan menyalurkan darah ke dalam yang seterusnya dan menghalang aliran balik.


Di bahagian kanan jantung, darah mengalir melalui injap trikuspid yang terletak di antara atrium kanan dan ventrikel kanan. injap ini mempunyai tiga dedaun atau kelopak.Di sebelah kiri jantung pula, darah mengalir di antara atrium kiri dan ventrikel kiri melalui injap mitral. injap mitral juga dikenali sebagai injap bikuspid kerana ia mempunyai dua dedaun atau kelopak.


Bagi membolehkan darah mengalir dari ruang atas ke dalam ruang bawah, injap-injap tadi mestilah terbuka. injap-injap ini dikawal oleh perubahan tekanan darah di dalam setiap ruang tadi.


Injap juga terdapat di antara ventrikel dan saluran darah yang menyalurkan darah keluar daripada jantung. Darah akan mengalir melalui injap pulmonari yang memisahkan ventrikel kanan dengan arteri pulmonari. Manakala di sebelah kiri pula darah mengalir daripada ventrikel kiri ke dalam aorta melalui injap aorta.


Mengapa saya menghuraikan dengan panjang lebar mengenai perjalanan darah kita ini?.Jawapannya ialah supaya kita semua faham berkenaan dengan jalan atau lebuhraya perjalanan syaitan dalam tubuh badan kita seperti hadis shahih Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud :

“Sesungguhnya syaitan itu berjalan pantas daripada anak Adam di tempat mengalirnya darah”


Syaitan juga meniupkan perasaan was-was dan syak wasangka kedalam hati manusia untuk menimbulkan keraguan dan manusia akhirnya hilang konsentrasi dalam apa sahaja perbuatan yang dilakukannya.Firman Allah dalam surah An-Nas :ayat 1-6 yang bermaksud : “katakan! Aku berlindung kepada Tuhan(yang memimpin)manusia,Raja manusia,sembahan manusia dari kejahatan was-was (syaitan) yang tersembunyi,yang mewas-waskan ke dalam hati manusia,iaitu di kalangan jin dan manusia”.Allah juga berfirman dalam surah Al-A’raf ayat 20 yang bermaksud : “Maka syaitan telah mewas-waskan(perasaan hati) keduanya” iaitu merujuk kepada bisikan dan godaan syaitan terhadap Adam dan Hawa di syurga supaya memakan buah dari pohon yang dilarang Allah.Nabi bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a bermaksud : “Sesungguhnya syaitan meletakkan belalainya pada hati anak adam,jika ia berzikir mengingati Allah,undurlah syaitan itu dan apabila ia lupa dari mengingati Allah,ditelan hatinya,maka itulah dikatakan was-was yang tersembunyi”(Riwayat Abu Ya’la)


Bukankah Allah mengingatkan kita bahawa syaitan itu musuh kita yang paling nyata? Oleh itu adalah amat penting bagi kita mengenal hati dan perjalanan darah kita agar kita boleh berwaspada dengan taktik,bisikan dan godaan syaitan yang berpusat dihati kita,yang mempengaruhi nafsu kita kearah Ammarah itu.Syaitan juga selalu menghasut kita bermusuhan dan menumpahkan darah,meracuni akal dan pemikiran kita,malah lebih teruk lagi mempengaruhi kita untuk tidak beriman kepada Allah dan berpaling menyembah mereka.Tujuan mereka hanya satu iaitu ingin menyesatkan seramai mungkin anak cucu Adam supaya bersama-sama mereka masuk neraka di akhirat kelak.Justeru itu kita hendaklah selalu beringat-ingat dengan musuh kita yang paling nyata ini agar kita sentiasa berjalan atas landasan yang benar.Kita juga harus bergelut melawan bisikan musuh kita ini dalam relung jiwa,dalam detikan hati dan rasa,dalam angan-angan dan impian serta dalam pandangan kita.Iblis telah berjanji dihadapan Allah untuk menyesatkan umat manusia seperti firman Allah dalam surah Al-Hijr ayat 39-40 yang bermaksud ; “Ya Tuhanku,kerana Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat,maka aku benar-benar akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi,dan aku akan menyesatkan mereka semua,kecuali hamba-hamba Engkau yang Mukhlisin di antara mereka”.Siapakah hamba Allah yang Mukhlisin itu? Contoh hamba itu dizaman nabi ialah Saidina Umar dan ramai lagi sahabat rasulullah SAW,sebagaimana hadis riwayat Ahmad,At-Tirmidzi,dan Ibnu Hibban dengan isnad sahih yang bermaksud ; “ Sesungguhnya syaitan benar-benar memisahkan diri darimu,hai Umar”


Secara zahirnya jantung mempunyai lapisan yang berlapis-lapis .Selaput yang membungkus jantung paling luar sekali disebut pericardium dimana ianya terdiri daripada 2 lapisan iaitu lapisan fibrosa dan serosa, dalam pericardial cavity (ruang antara lapisan serosa dan fibrosa)berisi 50 cc cecair yang berfungsi sebagai pelincir agar tidak ada geseran antara pericardium dan epicardium sewaktu jantung berdenyut( mengembang dan menguncup). Epicardium adalah lapisan ke 3 paling luar dari jantung, lapisan berikutnya yang lebih dalam adalah lapisan miokardium dimana lapisan ini adalah lapisan yang paling tebal.Lapisan miokardium ini terdiri daripada sel-sel jantung yang berfungsi untuk mengecut dan mengembangkan jantung secara keseluruhannya. Lapisan terakhir yang paling dalam dan bersentuh dengan darah adalah lapisan endocardium.Jadi jantung mempunyai 5 lapisan kesemuanya.ia membentuk kerangka utama jantung.Bukankah islam itu ada 5 rukun dan sembahyang 5 waktu itu adalah tiang atau kerangka utama agama?sama-samalah kita fikir.



Jantung juga mempunyai 7 bukaan lain atau saya namakan sebagai jendela iaitu 2 jendela di bilik Atrium kanan untuk darah tanpa oksigen masuk dan 1 jendela di bilik ventrikel kanan untuk darah keluar ke paru-paru manakala dibahagian jantung sebelah kiri pula , ada 4 jendela untuk darah beroksigen masuk dari paru-paru ke atrium kiri dan satu jendela utama untuk darah beroksigen keluar di ventrikel kiri.


Fungsi utama jantung adalah untuk mengepam darah yang beroksigen ke seluruh bahagian tubuh.Oksigen yang diangkut dalam darah digunakan oleh sel-sel badan untuk meneruskan kehidupan. Tugas ini dilakukan dengan menguncup atau membuat denyutan sebanyak 60 hingga 90 kali bagi setiap minit. Dengan setiap penguncupan ruang jantung akan mengepam darah samada ke venrikel atau salur darah arteri. Dalam masa 24 jam jantung kita berdenyut lebih daripada 100,000 kali, 7,000 liter darah dipam melalui jarak beribu batu di dalam sistem saluran darah(vascular system).


Pusingan peredaran darah jantung(cardiac cycle) bermula dibahagian kanan jantung. Salur darah vena (inferior dan superior vena cava) menyalurkan semula aliran darah yang rendah kandungan oksigen ke dalam ruang atrium kanan. Aliran darah tadi akan mengalir dari Atrium kanan ke dalam Ventrikel kanan di mana ia akan dipam ke dalam sistem saluran darah paru-paru melalui arteri pulmonari di mana ia akan menyerap oksigen dan melepaskan karbon dioksida. Darah yang tinggi kandungan oksigen ini akan memasuki jantung semula dimana ia akan mengalir ke dalam Atrium kiri melalui dua pasang vena pulmonary (4 jendela) setiap pasang dari paru-paru kanan dan kiri. Daripada atrium kiri darah tadi akan memasuki ventrikel kiri dan dipam keluar ke dalam salur darah besar aorta untuk penyaluran kesetiap bahagian badan manusia.Salah satu cabang pembuluh darah yang naik keatas membekalkan darah ke otak ialah salur darah Carotid Artery…yang boleh kita rasai denyutannya di leher kita.Maha suci Allah,maka benarlah firmannya “Kami lebih dekat kepadanya dari pada urat lehernya sendiri” (Surah al-Qaf –ayat 16).Bukankah Nodus SA atau SA Nodes itu letaknya di atrium kanan dan sangat berdekatan dengan Carotid Artery??? Sama-samalah kita fikirkan….



Jantung juga mempunyai sistem aliran darahnya sendiri(cardiovascular system) yang berfungsi memberikan bekalan darah kepada otot-otot jantung. Ianya terdiri daripada arteri koronari kanan dan kiri. Arteri koronari kanan muncul daripada aorta dan mengelilingi bahagian kanan lekukan atrioventrikular dan menyalurkan darah kepada atrium kanan dan ventrikel kanan dan sebahagian pembahagi[septa] belakang. Arteri koronari kiri juga muncul daripada aorta. Bahagian permulaannya arteri kiri koronari utama dan menjadi arteri kiri bawah dan arteri sirkumfleks. Kesemuanya menyalurkan darah bahagian atrium kiri dan ventrikel kiri dan sebahagian pembahagi depan.

https://www.youtube.com/watch?feature=player_embedded&v=H04d3rJCLCE

Jantung kita mempunyai sistem arus elektrik yang meransang jantung untuk menguncup atau berdenyut. Setiap denyutan bermula dengan ransangan elektrik yang berasal dari bahagian khas di dalam atrium kanan yang dipanggil nodus sinoatrial ataupun nodus SA(SA nodes). Nodus SA ini merupakan pencetus atau suis semulajadi jantung. Ia menerima maklumat daripada otak dan pusat-pusat kawalan lain di dalam sistem saraf yang mengarahkannya menyesuaikan kadar denyutan jantung yang optima bergantung kepada keperluan badan manusia. Setelah ransangan tadi dihasilkan oleh nodus SA ia akan mengalir kepada atrium-atrium yang menyebabkan mereka menguncup dan mengepam darah masuk ke dalam ventrikel di bawah. Ransangan elektrik ini kemudiannya mengalir ke satu kumpulan sel khusus yang dikenali sebagai nodus atrioventrikular atau nodus AV. Dari sini ransangan tadi akan mengalir laju keseluruh bahagian jantung melalui rangkaian His( Bundle of His), cabang kiri dan kanan,kepada Serabut Purkinje (Purkinje’sfibres) dan seterusnya ke sel-sel miokardium. [kesemuanya adalah sistem aliran rangsangan elektrik jantung]. Otot-otot jantung menguncup dan jantung berdenyut akibat daripada ransangan-ransangan ini.


Oleh itu boleh kita ringkaskan perjalanan impulse atau arus eletrik ini dari TIADA/RAHSIA(1) kepada Nodus SA(2) kepada Nodus AV(3) kepada Bundle oh His(4) kepada Purkinje’s fibres(5) kepada sel myocardium(6) dan menyebabkan keseluruhan jantung bergerak atau berdenyut(7) dan balik semula kepada TIADA/RAHSIA(1) dan seterusnya tanpa henti dan hanya akan berhenti bila ada arahan dari TIADA/RAHSIA.Ini saya simpulkan bahawa perjalan itu bermula dan berakhir melalui 7 tempat atau makam…Bukankan arus elektrik itu (impulse) umpama nafsu yang berjalan di 7 maqam dalam qalbu kita???...maha suci Allah…maka benarlah firman Allah dalam surah Al-Mukminun ayat 17 yang bermaksud : “ Sesungguhnya kami telah menciptakan keatas kamu tujuh jalan(nafsu)” dan firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 156 yang bermaksud : “ Daripada Allah kita datang dan kepada Allah kita kembali”


Salah satu ciri jantung yang unik dan mempesonakan manusia ialah sifat “Automaticity” yang ada pada sel-sel jantung(myocardium) itu sendiri iaitu jantung boleh berdenyut secara teratur dan independent(dengan sendirinya/spontan) tanpa adanya intervensi atau hubungkait dengan sistem tubuh lain. Dengan kata lain apabila jantung sihat yang normal kita pisahkan dari tubuh, maka jantung tadi masih boleh berdenyut dengan sendirinya. Kenapa berlaku demikian? Karena jantung memiliki sel-sel pacemaker alami atau semulajadi ciptaan Allah yang secara automatis mengeluarkan impuls secara teratur. Jantung mempunyai beberapa tempat utama sel-sel pacemaker yaitu SA node, AV node, Bundle of His dan Furkinje fiber. Normal sel pacemaker jantung berada di SA node yang secara teratur mengeluarkan impuls 60-100x/minit, AV node 40-60x/minit, Furkinje fiber 20-40x/minit.Lihatlah betapa hebat dan ajaibnya mekanisma ciptaan Allah kepada jantung hambanya ,dalam proses pengecutan dan kontraktiliti otot sel miokardium.


Kembali kita membicarakan Hati dari pandangan tasawuf pula.Sebenarnya banyak pelajaran berguna yang boleh dipelajari daripada jantung ini. Jantung ini berakhlak mahmudah (akhlak yang terpuji). Jantung itu adalah amanah Allah.Jantung menjalankan amanah yang cukup berat kepada Allah. Jantung tidak pernah mencuri. Sel jantung yang namanya endocardium tidak akan mengambil darah yang beroksigen buat dirinya..Jika 100% darah yang diterima, 100% darah yang berkualiti juga akan dipam(disedekahkan) semula(cardiac output). Tidak pernah sesekali sel miokardium ini menggunakan darah itu buat keperluan dirinya.


Sekiranya salur darah coronary artey tersumbat, jantung tetap tidak akan mencuri.. Apa yang akan terjadi? Sel miokardium akan kekurangan oksigen dan seterusnya akan mengorbankan dirinya menjadi kematian sel atau disebut ischaemia.Jantung ada prinsip nya tersendiri iaitu lebih baik mati dalam kemulian daripada mati dalam kehinaan.Kematian sel jantung adalah kematian sel kekal seperti juga sel saraf (neuron).Hanya 2 jenis sel ini yang tidak akan bercambah(growth) dalam badan manusia.Mereka yang mengalami kematian dan hilang fungsi sel miokardium ini disebut Ischemic heart Disease(IHD).Mereka yang ada IHD berpotensi untuk diserang Coronary Artery Disease(CAD) atau Acute Coronary syndrome(ACM).


Jantung juga tidak mementingkan diri. Dia tahu organ-organ lain di dalam badan memerlukan bantuannya. Dia bekerja dalam jemaah, ada "team work". Jantung mengepam 5 Liter darah dalam masa satu minit. Jumlahnya hampir-hampir satu baldi air. Dia bekerja tanpa rehat,dia berdenyut sepanjang masa sehingga mendapat arahan dari tuannya Yang maha Kuasa iaitu Allah untuk berhenti.Terhentinya denyutan nya bermakna ajal tuan jasadnya sudah sampai.Sekiranya manusia tidur, otaknya akan berehat. Tapi jantungnya akan terus menjalankan tanggungjawabnya kepada Allah dikala kita tidur dan tanpa sedar.


Jantung menerima arahan dari SA node. Bahasa mudahnya, SA node ini seperti seorang ketua dan jantung akan mematuhi setiap arahan ketuanya. Dia tahu betapa penting dirinya. Dia perlu selalu berinteraksi, menjaga batas perhubungannya. Sekiranya dia berhenti berinteraksi, akan berlaku "sudden cardiac death". Jantung akan tiba-tiba mati.


Satu lagi perkara mengenai jantung - dia tidak akan berhenti bergerak. Apa yang akan terjadi kalau jantung berhenti bergerak? Darah akan bergumpal dan seterusnya menyebabkan strok dan serangan sakit jantung yang akhirnya menyebabkan kematian.

Jantung mengajar kita agar sentiasa belajar .Usaha pembelajaran adalah satu usaha berterusan. Sebagai seorang muslim, kita perlu belajar dari buaian sehingga ke liang lahad.

Jantung ini patuh pada penciptanya, Allah. Kalau dia patuh pada selain Allah,nescaya huru haralah degupan jantung dan pengedaran darah dalam badan kita.jantung akan berdenyut secara tak sekata iaitu arrhythmia.

Kadangkala kita tidak sedar betapa hebatnya kasih sayang Allah buat hambaNya. Derhaka macam mana pun kita pada Allah, jatung tetap berfungsi dengan baik. Semua itu nikmat. Nasihat saya buat diri saya dan anda semua… bertaubatlah sebelum jantung itu berhenti berfungsi kerana mematuhi perintah RabbNya.Diwaktu itu segala penyesalan tiada berguna lagi.


Akhirnya ,beruntunglah orang yang mengenali hatinya lalu mengenali dirinya sendiri dan akhirnya mengenali Tuhannya.Alangkah bahagianya jiwa bila Allah menjemput kita supaya memasuki syurganya setelah kita berjaya membersihkan jasad ,nafsu dan hati kita sebagaimana firman Allah dalam surah Al-fajr ayat 27-30 yang bermaksud ; “Wahai orang yang bernafsu Mutmainnah,pulanglah kepangkuan tuhanmu,dengan perasaan lapang dan kesenangan dan jadilah kamu hambaku dan kekallah dirimu di dalam syurgaKu”.Firman Allah lagi dalam surah Asys-Syams ayat 7-10 yang bermaksud : “Demi nafsu(manusia) dan kesempurnaan(kejadian) maka Allah mengilhamkan kepada nafsu itu jalan kefasikan dan ketakwaan.Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang menyucikan nafsunya".


Wassalam.

No comments:

Post a Comment