Sunday, 23 December 2012

UNTUK MU WANITA





Ibnu Umar r.a. telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: "Wahai kaum wanita! Kamu bayarlah sedekah dan banyak bertaubat, kerana aku melihat kebanyakan penghuni neraka adalah wanita.” Salah seorang daripada pendengar berkata: “Wahai Rasulullah! Apakah kesalahan kami yang kebanyakan daripada kami akan memasuki neraka?” Rasulullah SAW menjawab: "Kamu paling kerap mempunyai tabiat melaknat (semasa perbualan) dan kamu lebih tidak bersyukur kepada suami kamu. Aku tidak melihat seseorang yang kekurangan dalam ketakwaan dan hikmah seperti kamu tetapi menguasai seorang yang berhikmah.” (HR Bukhari & Muslim)

Ibnu Mas’ud r.a. telah memberitakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: ”Seseorang wanita patut ditutupi kerana apabila dia keluar, syaitan akan memandangnya.” (HR Tirmidzi)

Begitu juga, maka perlulah wanita menjaga suara supaya tidak didengari oleh orang luar. Adalah juga penting, lelaki menghindari dari melafazkan puisi di khalayak wanita lain oleh kerana wanita bersifat lembut hatinya dan mudah cenderung kepada pengaruh buruk.

Hasan Al-Basri r.a. memberitahu bahawa dia telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: ”Allah melaknati orang yang memandang kepada seseorang wanita asing dan juga seseorang yang dipandang itu.”

Abu Musa r.a. telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: ”Mata yang memandang kepada seseorang lelaki atau wanita asing dengan niat buruk adalah penzinaan dan seseorang wanita yang mewangikan dirinya dan kemudiannya lalu di hadapan khalayak lelaki adalah tiada bezanya." (HR Tirmidzi & Abu Dawud)

Ibnu Mulaika r.a. memberitahu bahawa apabila seseorang menyatakan kepada Aisyah r.a. bahawa seorang wanita sedang memakai sandal (kasut lelaki), maka dia menjawab bahawa Rasulullah melaknati wanita yang bersifat kelakian. (HR Abu Dawud)

"Adalah sunnah bagi wanita mengucap salam dan selamat antara satu sama lain dan berjabat tangan. Ini patut digalakkan." (HR Tabrani & Baihaqi) *Nota: antara sesama wanita sahaja.

Ibnu Abi Dunya dan Baihaqi telah memberitakan dari Ash Shabi bahawa Rasulullah SAW bersabda: ”Laknatlah kepada penyanyi-penyanyi perempuan dan kepada sesiapa yang mereka nyanyikan.”

Dalam hadis: "Di antara wanita-wanita di dunia ini ada yang kecantikannya melebihi dari bidadari kerana amal perbuatannya ketika di dunia." (Tanbihul Ghafilin, Abu Laits As-Samarqandi)

Abu Hurairah r.a. berkata: "Demi Allah yang menurunkan kitab pada Nabi Muhammad SAW. Sesungguhnya ahli syurga tiap saat bertambah elok cantiknya, sebagaimana dahulu di dunia bertambah tua." (Tanbihul Ghafilin, Abu Laits As-Samarqandi)

Anas r.a. berkata bahawa suatu ketika sekumpulan wanita datang menghadap Rasulullah SAW dan berkata: “Ya Rasulullah, kaum lelaki telah memperoleh banyak pahala dengan ikut serta dalam jihad. Tunjukkan kepada kami suatu amalan yang dapat membantu kami memperoleh pahala sebagaimana yang telah dicapai oleh para mujahid." Rasulullah SAW bersabda: “Seorang di antara kamu yang tinggal di rumahnya (menjaga malu dan kehormatannya), akan memperoleh pahala jihad.” (Musnad Bazzar)

Jika seorang wanita solat lima waktu, puasa di bulan (Ramadhan), menjaga kemaluannya, dan taat kepada suaminya, maka akan dikatakan kepadanya: ”Masuklah kamu ke dalam syurga dari pintu syurga mana saja yang kamu kehendaki.” (HR Ahmad)

Dari Abu Hurairah r.a. dalam hadis yang panjang berkata: Bersabda Rasulullah: "Ada dua kelompok penghuni neraka yang belum pernah aku lihat; suatu kaum yang memiliki pecut seperti ekor sapi dan dipergunakan untuk memukul orang lain, dan wanita-wanita yang berpakaian namun telanjang, berjalan sambil berlenggak-lenggok, kepala mereka bagaikan punuk unta, mereka tidak akan masuk syurga dan tidak pula dapat mencium wanginya, padahal wangi syurga dapat tercium dari jarak sekian dan sekian." (HR Muslim)

Sayyidina Ali k.w.j. berkata: “Adakah kamu tidak merasa malu? Adakah kamu tidak merasa cemburu? Salah seorang daripada kamu membiarkan isterinya keluar di kalangan para lelaki ajnabi. Dia melihat kepada mereka dan mereka dapat melihat kepadanya.” (Hukum Wanita Bermusafir, Syeikh Nuruddin Merbu Banjar al-Makki)

Firman Allah SWT: “Katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman agar menundukkan pandangan mereka...”(QS An-Nur: 31)

Firman Allah SWT: "Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati itu seluruhnya akan ditanyakan - perihal perbuatannya masing-masing." (QS Al-lsra': 36)

Rasulullah SAW bersabda: “Aku tidak meninggalkan sesudahku fitnah bagi kaum lelaki lebih berbahaya dari perempuan.” (Muttafaqun Alaih)

Dari Ma’al bin Yasir r.a., sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Lebih baik bagimu jika sebuah paku baja ditancapkan ke kepalamu daripada engkau menyentuh wanita yang tidak dihalalkan bagimu.”(HR Thabrani & Baihaqi)

Dari Abu Said r.a. bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah seseorang lelaki itu melihat kepada auratnya orang lelaki lain, jangan pula seseorang wanita melihat auratnya orang wanita lain. Jangan pula seseorang lelaki itu berkumpul tidur dengan orang lelaki lain dalam satu pakaian dan jangan pula seseorang wanita itu berkumpul tidur dengan orang wanita lain dalam satu pakaian." (HR Muslim)

Dari Ibnu Abbas r.a. bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah sekali-kali seseorang lelaki di antara engkau semua itu menyendiri dengan seorang wanita, melainkan haruslah ada mahramnya beserta wanita tadi." (Muttafaqun Alaih)

Ibnu Umar r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya malu dan iman adalah dua bersaudara. Jika salah satunya hilang, maka yang lainnya dengan sendirinya akan hilang.” (HR Baihaqi)

Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment