Boleh dikatakan, semua isteri di dunia ini amat sukakan sikap suami yang penuh perhatian, memanjakan isteri, memahami keluh kesah mereka, mendampingi dengan penuh kelembutan, menjaga bahasa nada ayat teguran agar tidak melukai isteri, lebih banyak maafnya daripada marahnya, pandai memujuk dan menggembirakan hati isteri, dan segala sikap yang menunjukkan betapa dia sayangkan anda. Tetapi, malangnya, tidak semua lelaki mampu menjadi yang terbaik sebegitu.
Semasa bercinta, lelaki biasanya bersikap demikian, namun setelah akad-nikah, biasanya sikap prihatin yang mereka tonjolkan akan lenyap begitu sahaja. Agaknya, mungkin sudah menjadi sikap semulajadi mereka suka berpura-pura begitu, tetapi janganlah isteri menjeruk rasa membiarkan sahaja atau hanya tahu merungut tanpa berbuat apa-apa. Jika mereka gagal menjadi suami yang terbaik untuk anda, andalah yang patut ada rangsangan positif dari sikap anda sendiri untuk menumbuhkan sisi romantik seorang suami.
Tips # 1 – Manjakan, jangan bebankan
Tugas dan tanggungjawab seorang suami terhadap isterinya sangat berat sebenarnya, jika boleh ditamsilkan, agak-agaknya beban amanah yang dipikulnya lebih besar dari Gunung Everest. Tidak salah sekiranya anda bantu meringankan beban yang ditanggungnya dengan memanjakan dirinya, jangan pula anda menambahkan bebannya. Oh ya! Bercakap tentang memanjakan suami, hendaknya ada batasannya juga. Tidak perlulah anda memanjakan suami sehingga anda sendiri yang menawarkan diri menggalas tanggungjawabnya hingga suami ‘lupa’ diri dan membebankan anda pula. Jangan melawan fitrah hidup yang telah digariskan syarak. Kelak akan lebih banyak menimbulkan kemudaratan dalam kehidupan berumahtangga.
Manja yang hendak disampaikan di sini ialah dalam bab mengikat memikat perutnya. Masakan kesukaan suami yang anda masak dengan rempah kasih sayang (????????????), dihidangkan dengan penuh keikhlasan dan dinikmati bersama teman separuh jiwanya yang setia di sisi, sungguh lebih bermakna daripada nasi bungkus tersedap sekalipun yang disantap sendirian tanpa isteri yang sentiasa sibuk dengan anak-anak, belog mahupun fesbuk. Ataupun minum petang sambil bersembang dengan gurauan dan usikan isteri mewujudkan suasana mesra untuk meredakan tekanan dari tempat kerja.
Tetapi jika suami balik ke rumah sudah pun terhidang dengan keluhan memanjang dari mulut isteri, cerita-cerita yang tidak berapa sedap didengar telinga kanan dan kiri, ada yang lebih teruk lagi suami baru sampai di hadapan pintu, sudah pun terkena leteran. Isteri tidak beri peluang langsung suami merehatkan badan apatah lagi fikiran dan perasaannya. Bagaimana hendak menghidupkan suasana romantik jika keadaan ini yang menjadi senario kehidupan kita setiap hari?
Tips # 2 – Temani, jangan sibuk sendiri
Walaupun mempunyai anak yang berderet yang boleh dibuat pasukan bola sepak, tidak semestinya mereka menjadi penghalang kemesraan anda dan suami. Jika suami minta perhatian dan layanan, cubalah dahulukan dia daripada yang lain. Jangan sampai suami cemburu dengan anak-anaknya sendiri, kerana sikap anda yang lebih mementingkan anak. Apatah lagi dengan teman-teman dan kerjaya anda, tentu suami mesti didahulukan sebelum yang lain. Malang sungguh jika anda sentiasa sibuk sehinggakan tidak sempat hendak menyentuh tangannya sekalipun. Tentu dia akan berasa sunyi dan bosan, bersendirian tanpa teman hidup yang sudi mendakapnya di saat dia menginginkan ketenteraman hati.
Bolehkah anda menjadi teman yang baik untuk dibawa bersembang atau berkongsi minat yang sama? Teman yang kelakar, gembira dan kurang stres? Mengapa isteri-isteri semakin lama semakin hilang serinya? Ya, kerana mereka terlalu tertekan dengan keadaan persekitaran dan bebanan tanggungjawab yang mereka pikul. Jika begitu, manalah ada hati hendak menyakat dan mengusik suami dengan manja? Kalau berjumpa, wajah muram saja yang ditayangpasangkan untuk suami, bak kata orang pasang ‘muka ketat’. Lama kelamaan, suami pun jadi tertekan sama, dengan ‘muka kelat’ pula. Akhirnya hubungan menjadi tidak intim lagi dan mana mungkin harapkan suami romantik pada saat begini?
Tips # 3 – Berpisah sesekali
Untuk menumbuhkan rasa rindu kepada pasangan, eloklah sesekali ‘out station’. Isteri pula kena berperanan menggunakan kemudahan komunikasi untuk menghubungi suami sekerap yang mungkin. Jangan tunggu suami menelefon dahulu, jika tidak dapat panggilan, jangan cepat-cepat sangat berkecil hati dan berasa curiga kepada kesetiaan suami. Rangsanglah suami, bila dan di mana pun, agar sentiasa mengingati anda, jika tidak anda dahulu yang memulainya, siapa lagi? Bukankah lelaki memang diciptakan dengan kekuatan akal dan kelemahan perasaan? Jadi, anda sebagai isteri yang memiliki kekuatan emosilah yang seharusnya bertindak terlebih dahulu. Jangan tunggu hingga orang luar yang mendahului anda.
Tips # 4 – Menjadi kekasih, bukan ibu atau bos
Apabila sudah menjadi ibu yang dituntut mendisiplinkan anak-anak, kadang-kadang sikap anda yang garang dan ketat kepada anak-anak akan terbawa-bawa pula jika bersama suami. Padahal suami sukakan isteri yang boleh memanjakannya.
Begitu pula jika isteri adalah seorang ketua di pejabat yang bergaji besar dan berpangkat tinggi, sikapnya di pejabat tentu tidak boleh dibawa sampai ke rumah. Takkanlah hendak jadi bos juga, mengarah suami semahu-mahunya. Ingatlah, semasa anda masih belum ada ikatan, suami jatuh cinta pada wanita yang berperanan sebagai kekasihnya, bukan ibu atau bosnya.
Siapa pun anda di luar rumah, di hadapan suami anda tetap sebagai isteri, kekasih dan belahan hatinya yang mesti sentiasa bersedia melimpahkan kasih sayang untuk mendapat balasan yang sama daripada suami.
Tips # 5 – Sering ‘melakonkan’ kisah teladan
Teladan yang terbaik yang boleh membangkitkan perasaan romantik ialah dengan ‘melakonkan’ sketsa rumahtangga Rasulullah SAW yang banyak dipetik dalam sirah baginda. Antaranya :
Rasulullah SAW selalu berpegangan tangan dengan isterinya semasa mereka berada di rumah. Kadang kala baginda memotong kuku isterinya dan mandi junub bersama bagi mengeratkan ikatan kasih sayang. Rasulullah SAW sentiasa makan bersama isteri baginda. Baginda mengambil makanan lalu menyuapkan ke mulut isterinya dan begitu juga sebaliknya. Apabila baginda hendak meminum air, baginda akan minum dengan cawan yang sama digunakan oleh isterinya. Aisyah r.a. pernah meriwayatkan, “Suatu saat dalam keadaan haidh aku minum lalu memberikan gelasnya kepada Nabi, beliau minum dengan mulutnya pada bekas mulutku. D lain waktu dan dalam keadaan haidh pula aku menggigit daging yang bertulang, lalu aku berikan sisanya kepada Nabi, dan beliau menggigitnya di tempat bekas gigitanku.” (Hadis riwayat Muslim)
Kata Aisyah r.a. dalam riwayat yang lain pula, “Ketika aku haid, tubuhku berpeluh, aku berikan cawan kepada Nabi dan baginda meminum di tempat mana aku minum.” (Hadis riwayat Muslim)
Walaupun dalam sketsa di atas disebut Rasulullah SAW yang memulakan adegan romantik sebegini, tidak salah kiranya anda sebagai isteri yang memulakannya dahulu.
Tips # 6 – Mendoakan
Allah SWT yang menjaga hati suami ke mana akan berlabuh, apakah di pantai hati anda atau mungkin menyeleweng ke mana-mana arah angin bertiup. Pastikanlah kekuatan doa menjadi pegangan hidup anda. Supaya Allah SWT menjaga hatinya dari kejahatan hawa nafsu dan gangguan syaitan. Jika bukan Allah SWT, pada siapakah lagi yang layak anda harapkan untuk melindungi suami dari kejahatan dirinya sendiri?
Antara doa yang boleh diamalkan agar dikuniakan kesabaran dalam menemupuh alam rumahtangga ialah dengan mengamalkan QS 3:200 yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung.”
Suami yang romantik dekat dengan Allah SWT, hatinya penuh rahmat dan kasih sayang yang ikhlas kepada isteri dan anak-anak. Hanya Allah SWT saja yang mengizinkan suami anda memilih anda sebagai kekasih abadi baginya di dunia dan di negeri akhirat. Oleh itu, berusahalah dan berdoalah, jangan pernah menyerah kalah!
No comments:
Post a Comment