10 JENIS TANGISAN ...
Menurut al-Imam Ibnul Qayyim al-Jauziyyah, tangisan boleh diperincikan
menjadi 10 jenis mengikut pelbagai maksud dan tujuan. Tangisan kasih
sayang, ketakutan, gembira, kegundahan, cinta dan rindu, kesedihan,
tidak berdaya, kemunafikan, orang upahan dan tangisan ikut-ikutan.
Satu tangisan yang istimewa dianugerahkan Allah SWT kepada hamba-Nya.
Tangisan ini tidak bersifat melemahkan semangat, bahkan ia boleh
menghidupkan jiwa yang sudah lama mati. Ia tidak mendatangkan rasa putus
asa dan kesakitan, bahkan air mata ibarat gelombang membangkitkan rasa
optimis, kecekalan dan azam bergelora.
Tangisan itu membawa satu janji untuk hidup lebih bererti dan ia mampu
mencelikkan pandangan mata hati meneroka alam lebih jauh lagi. Alam
ghaib tidak nampak di mata kasar, hanya hati yang beriman boleh merasai
kebenarannya. Tangisan itu dianugerahkan kepada Nabi dan Rasul,
syuhada dan orang salih. Mereka berhak mendapat perlindungan Allah pada
hari yang tiada perlindungan, selain perlindungan-Nya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Dan seseorang yang berzikir
mengingati Allah dalam keadaan sendirian, lalu berlinanganlah air
matanya kerana takutkan Allah.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Tangisan itu mendatangkan kelembutan hati dan membangkitkan rasa takut
kepada Allah. Saidatina Aisyah Ummul Mukminin menangis ketika membaca
ayat al-Quran dalam sembahyangnya, yang bermaksud: “Maka Allah memberi
kurnia kepada kami dan memelihara kami dari azab neraka.” (Surah
al-Tur, ayat 27)
Dan menangis pula ketika membaca ayat Allah yang bermaksud: “Jika
Engkau menyeksa mereka sesungguhnya mereka adalah hamba-Mu. Dan jika
Engkau mengampuni mereka, sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi
Maha Bijaksana.” (Surah Al-Maidah, ayat 118)
Saidina Umar al-Khatab berkata: “Seandainya ada seruan dari langit yang
mengatakan: Wahai manusia, sesungguhnya kalian semua masuk syurga,
kecuali seorang. Tentulah aku amat takut kalaulah orang itu adalah
diriku.” Maka beliau pun teresak-esak demi membayangkan kengerian
peristiwa itu.
Saidina Ali bin Abi Talib berkata: “Sesungguhnya aku menyaksikan
sahabat Rasulullah SAW, tetapi kini aku tidak menemukan lagi orang
seperti mereka. Sesungguhnya mereka berpagi-pagi dalam keadaan yang
kusut, mata yang bengkak kerana menangis ketika qiyam pada malam hari.
Mereka membaca al-Quran sambil berdiri, duduk dan berbaring pada lambung
mereka. Mereka berzikir dengan tubuh yang bergoncang bagaikan pohon
ditiup angin kuat sedangkan mata mereka basah oleh air mata sehingga
membasahi pakaian mereka. Demi Allah, seolah-olah keadaan umat sekarang
seperti umat yang semalaman dalam keadaan lalai.”
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Aku belum pernah melihat
sesuatu yang boleh menyebabkan orang yang tidur terbangun lantas lari
daripada satu ancaman seperti ancaman neraka.” (Hadis riwayat
al-Tirmizi)
Malam yang panjang itu sebenarnya ada bahagian untuk melembutkan hati,
ada ruang mengadu kepada Allah, ada peluang mengetuk pintu
maghfirah-Nya, ada kesempatan meminta perlindungan daripada azab neraka.
Tetapi manusia yang lalai sudah melepaskan peluang keemasan itu untuk
sekadar menikmati mimpi yang sebenarnya tidak dapat memuaskan hati.
Untuk mencapai darjat iman yang tinggi seperti sahabat Rasulullah SAW,
tentu banyak rintangan yang harus dihadapi. Malas dan leka dengan
permainan serta hiburan membuat hati manusia keras, ditambah lagi
kurangnya ilmu, penghayatan mengenai jalan mendekatkan diri kepada
Allah.
Kesibukan memuaskan nafsu syahwat terlalu mengganggu kekhusyukan hati.
Akhirnya kelalaian itu menjadi kebiasaan, bagi yang sudah terbiasa
akhirnya bukan menjadi suatu keaiban lagi selepasnya. Semakin lama
dirinya semakin tenggelam kealpaan. Bahawa kita perlukan pertolongan
Allah kerana hanya Allah yang berkuasa menyelamatkan manusia daripada
kejahatan dirinya sendiri.
Allah berfirman menerusi lisan Nabi Yusuf yang bermaksud: “Sesungguhnya
nafsu itu sentiasa menyuruh kepada kejahatan kecuali nafsu yang diberi
rahmat oleh Tuhanku.” (Surah Yusuf, ayat 53)
Apabila nafsu sentiasa menyuruh berbuat maksiat, lalai dan menunda amal
maka keraslah hati dan keringlah mata daripada air mata taubat. Jika
berdiri untuk sembahyang, akalnya menjelajah hingga ke seluruh ruang
pemikiran yang terpendam dalam memorinya. Barang yang hilang pun boleh
diingat di manakah tempat menyimpannya.
Maka terbukti sembahyangnya kosong, hatinya hampa, fikirannya tidak
menumpu kepada kebesaran dan keagungan Allah. Bagaimanakah matanya boleh
menangis, hatinya boleh takut dan akalnya boleh tunduk di hadapan Maha
Pencipta?
Begitu juga ketika membaca ayat al-Quran, ia hanya semata-mata untuk
pahala, kerana ilmunya belum sampai kepada penghayatan yang mendalam
terhadap isi kandungan al-Quran. Padahal Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud: “Sesungguhnya al-Quran itu diturunkan dalam kesedihan.
Maka menangislah apabila kamu membacanya. Jika kamu tidak dapat
menangis maka buat-buatlah menangis. Dan elokkan suara saat membacanya
kerana siapa yang tidak melagukannya dia bukanlah termasuk golongan
kami.”
(Hadis riwayat Ibnu Majah, Abu Ya’la dan al-Baihaqi daripada Saad bin Abi Waqqash)
Rasulullah SAW pernah meminta Abdullah bin Mas’ud untuk membacakan
al-Quran kepada Baginda. Beliau membaca awal surah al-Nisa hingga ke
ayat 41 dan beliau melihat Rasulullah SAW menitiskan air mata. Abdullah
bin al-Syakir berkata: “Aku pernah menemui Rasulullah SAW ketika
Baginda bersembahyang, sementara dari dalam tubuhnya terdengar suara
seperti air yang mendidih kerana tangisan.” (Hadis riwayat Abu Daud dan
al-Tirmizi)
Bagaimana jika air mata tidak juga mahu keluar, puas sudah hati memaksa
sedih supaya kekhusyukan boleh singgah, walaupun sekejap. Kesilapan
apakah yang dilakukan hamba Allah yang tidak dapat menangis ini?
Pertama, kerana ceteknya ilmu sehingga hati dan akalnya tidak dapat meneroka lebih jauh memikirkan keagungan Allah.
Kedua, kerana dirinya tidak merasai kesusahan ujian dan musibah,
segalanya berjalan dengan aman dan lancar dalam kehidupannya
sehari-hari.
Ketiga, berlebih-lebihan dalam bergembira, bergurau dan bermain-main.
Keempat, kurang muhasabah dan bertafakur melihat kelemahan dan
kekurangan diri. Dan yang kelima, berlebihan pula membanggakan amal
sehingga mematikan rasa takut kepada Allah.
Menangis tidak semestinya menunjukkan seseorang itu lemah bahkan
menangis kerana takut kepada Allah boleh melonjakkan semangat seorang
hamba untuk mengorbankan segala-galanya yang dimiliki demi Tuhannya.
No comments:
Post a Comment