Sunday, 30 December 2012

Muhasabah diri – kenapa cepat marah?





Mari kita bermuhasabah diri, kenapa kita cepat marah atau cepat naik darah atau baran? Sebelum mendidik hati supaya tidak cepat marah, kita perlu tahu puncanya supaya mudah ditangani atau dirawat.

Di antara punca cepat marah yang biasa ialah:

1. Tidak dapat mengawal emosi

Orang yang cepat marah adalah orang yang tidak dapat mengawal emosi dan membiarkan perasaan marah menguasai dirinya. Orang yang cepat marah mudah diperbodoh-bodohkan atau dimain-mainkan oleh orang lain, iaitu dengantidak keruan dan tidak lagi berfikir panjang.

2. Kurang sabar

Hati yang kurang sabar selalu cepat saja melenting apabila berhadapan dengan kata-kata atau tindakan-tindakan pihak lain mencabar kesabarannya. Oleh itu, perlulah dilatih hati supaya lebih bersabar dan berfikir berulang-ulang kali sebelum mengeluarkan kata-kata kesat bagi memuaskan hati yang sedang marah.

Orang yang kurang sabar mengidap sesuatu penyakit yang kronik atau orang yang kemahuan/kehendak yang tidak kesampaian juga boleh menyebabkan seseorang itu cepat marah atau baran.

3. Ego, bangga diri, riak dan merasa diri lebih hebat daripada orang lain

Orang yang cepat marah juga disebabkan oleh ego. Orang ini akan rasa tercabar apabila dipersenda-sendakan. Ia akan rasa kalah dan tidak dihormati. Orang yang mempunyai sifat-sifat ego, bangga diri dan riak merasa dirinya lebih hebat daripada orang lain. Oleh itu, ia akan cepat marah sebab ia tidak mahu dipandang rendah, benci apabila tidak dihormati, merasa terhina apabila terjumpa orang yang lebih hebat daripadanya. Marah sebegini biasanya wujud dalam bentuk emosi tidak puas hati.

4. Berfikiran negatif

Orang yang berfikiran negatif ialah orang yang memandang buruk terhadap sesuatu, bersangka buruk pada orang lain serta bertanggapan buruk terhadap apa jua perkara. Orang seperti ini cepat marah kerana dihatinya tidak wujud istilah maaf. Ia tidak mahu memberi maaf dan malu untuk meminta maaf kerana merasa ia saja yang betul, walaupun kadang-kadang dalam hati kecilnya mengaku akan kelemahan diri, tapi disebabkan ego diri atau takut maruah tercabar, ia tiak akan minta maaf walaupun berada di pihak yang salah.

 
5. Berdendam

Jika seseorang itu masih menyimpan perasaan dendam atau irihati kepada seseorang lain, ia akan cepat naik darah atau marah walaupun hanya disebabkan oleh kesilapan yang sedikit, yang pada mata kasar boleh dimaafkan saja.

Bagaimana pula menangani masalah cepat marah secara total dan berpanjangan?

* Di antara kaedah biasa yang boleh digunakan ialah dengan dengan mempelajari dan mengamalkan ilmu agama, terutamanya ilmu tasawuf, untuk membersihkan hati daripada segala sifat mazmumah, termasuk sifat cepat marah ini. Untuk menghilangkan perasaan marah, ia perlu disertai dengan hati yang redha, tawakal dan qanaah. Ini semua memerlukan latihan batiniah, ia tidak boleh berubah dalam masa yang singkat.

Apabila telah diketahui punca kemarahan tersebut, carilah jalan untuk mengatasinya, walaupun secara perlahan-lahan, nanti akhirnya akan berjaya juga.

* Membaca Al-Quran dengan memahami makna, berzikir dan bersolawat juga dapat melembutkan hati yang keras dan secara tak langsung dapat melunakkan hati dan mudah menjadi pemaaf tanpa ada rasa marah dan dendam.

* Sentiasa bermuhasabah diri, jika boleh muhasabah diri setiap malam sebelum tidur. Ulang tayang balik dalam pemikiran kita apa yang dilakukan sepanjang hari. Cari di mana kelemahan dan pencapaian pada hari tersebut. Jika masih lemah, dalam kes ini, masih cepat marah maka carilah puncanya dan tangani puncanya dahulu dengan cara yang bijak.


Semoga tips yang diberikan bermanfaat….



MAKAM NAFSU MANUSIA - TASAWUF




Makam atau tingkatan nafsu manusia

Setiap manusia hidup yang waras mempunyai nafsu yang berbagai tingkatan, peringkat atau istilah biasanya dipanggil makam nafsu. Bila disebut nafsu tidak bermakna semuanya merujuk kepada nafsu jahat dan kejahatan, ada nafsu yang mulia di sisi Allah s.w.t., iaitu dari makam nafsu Mutmainnah hingga ke nafsu Kamilah.

Mari kita muhasabah diri dan membuat analisis diri sendiri, di manakah kedudukan kita dan tahap nafsu kita. Hanya kita dan Allah s.w.t. saja yang tahu. Apabila telah mengenal di mana tahap nafsu kita, dapatlah kita berusaha di samping berdoa semoga nafsu kita dapat ditingkatkan ke makam yang lebih tinggi dengan cara muhasabah diri (menganalisis atau mengaudit diri sendiri bagi meningkatkan ubudiyah), musyahadah (berasa berhadapan dan hampir dengan Allah s.w.t. melalui penyaksian dan pandangan mata batin yang tidak diragukan lagi), mujahadah (bersungguh-sungguh melakukan amal ibadat, taat melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya secara konsisten), dan muraqabah (merasa diri sentiasa diawasi oleh Allah s.w.t., sehingga dengan kesedaran ini mendorong kita sentiasa rajin melaksanakan segala perintah dan menjauhi segala larangan-Nya).

Orang yang berada di peringkat nafsu terendah yang bertaraf binatang, bererti ia sentiasa berada dalam suasana maksiat dan berdosa serta menderhakai Allah s.w.t., maka wajiblah ia meninggalkan segala maksiat dan kembali menjadi hamba Allah yang taat. Jika tidak nerakalah yang akan menunggunya.

Gambarajah di bawah ini menunjukkan ringkasan makam-makam nafsu yang terdapat di kalangan manusia:



    1. NAFSU KAMILAH

    Ini adalah peringkat nafsu tertinggi di kalangan manusia. Setiap perlakuan orang yang berada pada makam nafsu ini benar2 mengikut keredhaan Allah dan tidak pernah terdorong oleh hasutan nafsu dan syaitan kepada kejahatan dan kemaksiatan.

    Cinta, ingatan dan kerinduannya hanya tertumpu pada Allah, tidak pernah putus walaupun sekejap.

    Hanya para rasul, para nabi dan wali Allah sahaja yg boleh sampai ke taraf nafsu kamilah. Org soleh, pejuang kebenaran boleh menuju ke tingkat nafsu yg tinggi itu dgn proses mujahadah yg bersungguh-sungguh.

    2. NAFSU MARDHIAH

    Mereka yang telah sampai ke peringkat nafsu mardhiah kelihatan lebih tenang dan tenteram. Hati dan jiwanya telah benar-benar sebati dgn Allah s.w.t.

    Orang yang dapat mencapai martabat nafsu kamilah digelar wali Allah pada martabat yang istimewa.

    Di antara sifat orang yang bernafsu mardhiah:

    a. Elok dan tingginya budi atau kesusilaan orangg ini umpama nabi-nabi.

    b. Lemah-lembut dalam pergaulan masyarakat sebgaimana perangai nabi-nabi.

    c. Sentiasa ghairah untuk brdamping dan bribadah kepada Allah s.w.t.

    d. Sentiasa berfikir akan kebesaran Allah s.w.t.

    e. Redha dan rela dengan apa-apa pemberian Allah s.w.t. dan lain-lain sifat terpuji (mahmudah).

    3. NAFSU RADHIAH

    Nafsu radhiah adalah peningkatan daripada nafsu mutmainnah hasil kegigihan melatih diri utk memakrifatkn diri kepada Allah s.w.t Orang ini memiliki keseluruhan sifat mahmudah dan kuat hubungan hatinya dgn Allah s.w.t. Org ini memdapat pimpinan ilmu laduni dan mempunyai pandangan mata hati yg tajam atau dikenali sebagai ilmu firasat yang betul.

    Perlakuan orang pada makam nafsu ini adalah luar biasa dan ia tidak takut pada bala Allah dan tidak rasa gembira pada nikmat Allah, semuanya sama baginya, yang ia tahu hanya memandang kepada keredhaan Allah dan hukuman-Nya. Hati nuraninya disinari oleh nur syuhud kepada makrifatullah.

    Alam di sekeliling mereka laksana cermin. Apabila melihat alam ia ‘nampak’ (teringat atau terasa) akan Allah. Hal itu berlaku setiap ketika. Makam ini juga disebut sebagai makam musyahadah dan telah mencapai sifat ‘al-ihsan’.

    Sifat2 mahmudah yang terbit dari nafsu radhiah ialah zuhud, ikhlas, wara’, mninggalkan perkara2 yg bukan urusannya, memelihara hukum-hakam Allah s.w.t.dan lain-lain sifat kerohanian yg tinggi.

    Makam nafsu radhiah ini hanya dapat dicapai oleh para wali Allah. Mereka dapat merasakan nikmat melakukan kebajikan dan berbudi luhur. Zikir wiridnya hebat, bukan sekadar di lidah tetapi hatinya penuh khusyu’ dan tawadhu’ mengingati Allah, tanpa lekang.

    4. NAFSU MUTMAINNAH

    Setelah melalui nafsu mulhamah, dengan latihan zikir dan amal ibadat yang berterusan, seseorang itu boleh meningkat kepada nafsu mutmainnah. Pada makam nafsu mutmainnah ini, hati sudah sampai ke peringkat suci dan tenang. Nafsu mutmainnah adalah martabat nafsu pertama yg telah mula mendapat keredhaan Allah dan baru layak memasuki syurga, sebagaimana Firman Allah s.w.t.

    “Wahai ‘al-nafs al-mutmainnah’ (jiwa yang tenang). Kembalilah kepada Rab (Tuhan) kamu dalam keadaan reda dan diredai. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam jannah (taman/syurga)-Ku.” (Al-Fajr: 27-30)

    Di antara sifat-sifat yang dimiliki oleh orang yang bernafsu mutmainnah:

    a. Murah hati dan tidak lekat wang di tangan kerana bersedekah.

    b. Tawakkal yang benar.

    c. Arif dan bijaksana.

    d. Kuat beribadah.

    e. Syukur yang benar.

    f. Redha atas segala hukuman/bala Allah.

    g. Taqwa yang benar dan sifat-sifat terpuji (mahmudah) yang lain.

    5. NAFSU MULHAMAH

    Setelah meleburkan nafsu ammarah dan lawwamah melalui mujahadah yang bersungguh-sungguh seseorang itu akan meningkat kepada nafsu mulhamah. Nafsu Mulhamah ini sudah menerima proses penyucian hati atau mujahadatun nafs. Tiada lagi lintasan-lintasa kotor atau was-was syaitan, sebaliknya malaikat atau Allah s.w.t mengilhamkan kebaikan pada hatinya.

    Di antara sifa-sifat orang yang bernafsu mulhamah ini ialah:

    a. Tidak sayangkan harta, tidak sayangkan dunia.

    b. Merasa cukup dengan kurniaan Allah (sifat qanaah).

    c. Mendapat ilmu laduni dan ilham.

    d. Timbul perasaan merendah diri kepada Allah (sifat tawadhu’).

    e. Taubat yang benar-benar (taubat nasuha).

    f. Tahan menanggung kesusahan dan mempunyai sifat-sifat terpuji (mahmudah) yang lain.

    Orang yang berada pada martabat ini mulai masuk ke sempadan makam wali dan mulai mencapai fana yang menghasilkan makrifat dan hakikat (syuhud).

    Namun begitu, sifat-sifat baik (mahmudah) sama ada zahir atau batinnya belum benar-benar berakar umbi dengan teguh dalam diri dan hatinya. Oleh itu, ia perlu menjaganya dgn mengawal diri dan hatinya serta perlu meningkatkan mujahadah dan meningkatkan amalan solehnya. Ujian ke atasnya sentiasa ada dan sekiranya ia tidak berjaga-jaga dan leka nanti Allah akan mencabut kembali makam itu dan turun balik ke makam nafsu lawwamah.

    6. NAFSU LAWWAMAH

    Nafsu lawammah ini lebih baik sedikit daripada nafsu ammarah. Nafsu lawwamah ialah nafsu yg selalu mengkritik atau mencela diri sendiri apabila melakukan sesuatu dosa atau kejahatan. Hatinya menyesal dan segera memohon ampun kepada Allah dan memperbaiki amal ibadatnya. Bila terlajak berbuat dosa, ia segera menyesal. Walau bagaimanapun, untuk berbuat kebajikan dan taat, ia masih terasa berat dan dilakukan dalam keadaan terpaksa dan tidak terasa nikmatnya.

    Orang yang bernafsu lawwamah mempunyai ilmu, namun hatinya masih lemah dan nafsunya masih rakus dan masih banyak sifat mazmumah, cuma dia mudah tersedar apabila ditegur. Walaupun hatinya boleh dan mudah terdorong ke arah melakukan ibadah dan kebaikan tetapi nafsunya masih belum dapat ditundukkan sepenuhnya.

    Di antara sifat-sifat orang bernafsu lawammah ialah:

    a. Mencela kesalahan diri sendiri.

    b. Selalu berfikir (bertafakur) mengenang dosa dan keburukannya.

    c. Rasa takut bila rasa bersalah apabila melakukan dosa dan kejahatan.

    d. Mengkritik terhadap apa jua yg dikatakan kejahatan.

    e. Mudah merasa riya’ iaitu hendak menunjuk-nunjuk kepada orang lain apabila membuat kebaikan.

    f. Mudah merasa sum’ah, iaitu ingin mmperdengarkan atau memberitahu atau menghebahkan kepada orang lain sesuatu kebajikan yg dibuatnya supaya mendapat pujian orang.

    g. Mudah juga merasa ujub, iaitu perasaan dalam hati yang merasakan dirinya lebih baik daripada orang lain, walaupun pada zahirnya ia menunjukkan sifat tawadhu’ atau tidak mahu terkenal atau pemurah. Sifat ini yang paling sukar dihapuskan.

    h. Sifat-sifat mazmumah yang lain dalam hati masih tidak mampu dilawan dan sedang menguasai hatinya.

    Tahap nafsu lawwamah terdapat pada kebanyakan orang awam yang zahirnya kelihatan lebih baik daripada orang jahat. Orang yang bernafsu lawammah belum terjamin syurga untuknya, kecuali jika mendapat keampunan dan rahmat Allah s.w.t.

    Oleh itu, jalan selamat bagi orang mempunyai nafsu lawwamah ini ialah dengan sentiasa bergaul dengan oran-orang baik dan sentiasa berada dalam lingkungan (suasana) yang baik. Ia hendaklah menjauhi kawan-kawan dan suasana yang tidak baik kerana hatinya mudah tergoda, terpengaruh dan terikut-ikut dengan kejahatan dan kemaksiatan.

    Di antara langkah yang boleh dilakukan bagi memperbaiki nafsu ini supaya meningkat kepada nafsu yang lebih tinggi (bukannya menurun ke nafsu ammarah) ialah:

    a. Belajar dan berusaha utk melatih diri bermujahadah bagi melawan hawa nafsu dengan cara menanamkan rasa benci kepada maksiat dan menanam rasa cinta kepada kebajikan dan majlis-majlis ilmu.

    b. Melakukan zikrullah supaya hati lebih lembut.

    c. Berdoa bersungguh-sungguh memohon prtolongan Allah untuk memudahkan ia melawan nafsunya.

    d. Dapatkan pimpinan guru mursyid.

    7. NAFSU AMMARAH

    Nafsu ammarah ialah nafsu tingkat yg paling jahat. Ia sentiasa mengajak manusia yang dikuasainya ke jalan kejahatan, melakukan maksiat dan seronok melakukannya.

    Di antara sifat-sifat orang yang mempunyai nafsu ammarah ini ialah:

    a. Selalu terdedah kepada godaan nafsu dan syaitan. Nafsu ammarah sentiasa menyuruh seseorang itu melakukan kejahatan sama ada ia faham perbuatan itu jahat atau tidak.

    b. Tidak merasa duka atau sesal atas perbuatan jahatnya, malah perasaannya lega dan gembira. Contohnya, bila tertinggal solat, hatinya tidak runsing dan kesal sedikit pun, bahkan kadang2 merasa gembira dan senang hati.

    c. Terlalu gembira bila mendapat nikmat dan berputus asa bila ditimpa bala dan kesusahan.

    d. Sifat-sifat yang terbit dari benih nafsu ammarah ini ialah bakhil, tamak dan haloba akan harta dunia serta terlalu cintakan keduniaan, panjang angan-angan, sombong, takabur, sukakan kemegahan, ingin namanya terkenal dan masyhur, hasad dengki, dendam kesumat, khianat dan niat jahat, lalai terhadap Allah dan lain-lain sifat mazmumah bersarang di hatinya.

    Jika seseorang itu mendapati di hatinya ada salah satu sifat tersebut, ini tandanya dia termasuk dalam golongan bernafsu ammarah, iaitu serendah-rendah darjat dan sejahat-jahat nafsu dalam Tasawwuf. Orang berilmu atau tidak berilmu boleh saja terjebak dalam golongan ini kerana nafsu lebih menguasai diri. Jika tidak bertaubat, golongan ini akan mendapat azab yang pedih di akhirat nanti.


    Nafsu yang lebih rendah daripada nafsu ammarah semuanya di kategorikan dalam nafsu kebinatangan, iaitu:

    8. NAFSU KALBIAH

    Nafsu Kalbiah ini mempunyai sifat anjing, yang antara lain suka memonopoli sendiri.

    9. NAFSU HIMARIAH

    Nafsu Himariah ini mempunyai jiwa keledai, iaitu pandai memikul namun tidak mengerti sedikit pun apa yang dipikulnya. Dengan kata lain, ia tak memahami masalah.

    10. NAFSU SABU’IAH

    Nafsu Sabu’iah ini pula berjiwa serigala iaitu suka-suka menyakiti atau menganiaya orang lain dengan cara apa sekalipun.

    11. NAFSU FA’RIAH

    Nafsu Fa’riah ini adalah seperti tikus, iaitu bangsa perosak atau seumpamanya.

    12. NAFSU KHINZIRIAH

    Nafsu Khinziriah ini bersifat babi, iaitu suka kepada yang kotor, busuk dan yang menjijikkan.

    13. NAFSU THUSIAH

    Nafsu Thusiah ini pula ialah nafsu merak iaitu suka menyombongkan diri, mempamerkan diri, berlagak, mendabik dada dan sebagainya.

    14. NAFSU JAMALIAH

    Nafsu Jamaliah ialah nafsu unta iaitu tidak ada rasa santun, kasih sayang, benci bersosial, tidak pedulikan kesusahan orang, yang penting dirinya selamat dan untung.

    15. NAFSU DUBBIAH

    Nafsu Dubbiah ini mempunyai jiwa beruang. Biarpun kuat dan gagah, tapi pendek akal atau dungu.

    16. NAFSU QIRDIAH

    Nafsu Qirdiah ini berjiwa beruk atau monyet iaitu apabila diberi ia mengejek, tidak diberi ia mencebek, sinis, dan suka melecehkan/memandang mudah. Ringkasnya sifat orang yang memang tidak tahu hendak bersyukur.

    17. NAFSU ZATIS-SUHUMI WA HAMATI WAL-HAYATI WAL-AQRABI

    Nafsu Zatis-Suhumi Wa Hamati Wal-Hayati Wal-Aqrabi ini pula berjiwa binatang penyengat berbisa sebagai ular dan kala jengking. Orang ini senang sindir-menyindir orang, menyakiti hati orang, dengki, dendam, dan seumpamanya.

Friday, 28 December 2012

PENIAGA: ANTARA SYURGA DAN NERAKA






Melihat muslim menjadi peniaga terututama dalam negara ini amat menggembirakan. Betapa kita ingin agar kekuatan ekonomi umat Islam ini berkembang. Sejak dahulu, saya berkempen agar muslim membantu perniagaan muslim. Membeli dan menghulurkan sokongan agar mereka berjaya. Ekonomi adalah satu kekuatan yang boleh menentukan perjalanan sesebuah masyarakat. 

Sementara kelemahan ekonomi pula mendedahkan sesebuah masyarakat kepada penghinaan dan percaturan pihak lain. Secara kolektif, disebabkan kita majoriti kita memiliki ‘purchasing power’ yang tinggi. Lihat saja, apabila umat Islam di negara ini ingin memboikot produk pro-zionis, syarikat-syarikat berkaitan mula gelisah dan cuba mencari pelbagai pendekatan menawan semula perasaan kita.

Jika kita tolong-menolong membantu perniagaan saudara kita, kita melaksanakan apa yang Nabi s.a.w sabda:
“Bandingan seorang mukmin dengan seorang mukmin yang lain bagaikan satu bangunan, kuat-menguatkan antara satu sama lain”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


Sifat Peniaga Muslim

Apabila muslim berniaga, dia sepatutnya membawa nilai-nilai mulia yang diajar oleh Islam semasa mengendalikan perniagaannya. Peniaga yang baik dan jujur mempunyai kedudukan yang mulia di sisi Allah pada hari Kiamat kelak. Betapa banyaknya pengorbanan dan kesungguhan diperlukan untuk menjadi peniaga yang jujur sehingga Nabi s.a.w bersabda:

“Peniaga yang benar dan amanah bersama dengan para nabi, siddiqin dan golongan mati syahid” (Riwayat al-TIrmizi, bertaraf ‘hasan’).

Hadis ini menggalakkan muslim berniaga tetapi hendaklah bersifat jujur dan amanah. Perniagaan di samping ia sumber rezeki, ia juga boleh menjadi sumber pahala yang membawa seseorang ke syurga dan darjat yang mulia.

Peniaga yang jujur lagi amanah pasti tidak akan terlibat dengan perkara-perkara yang haram, menipu, memungkiri apa yang dijanjikan, mengelirukan pembeli, memutar belit dalam urusan dan segala sifat-sifat yang buruk dan keji. Urusan perniagaan penuh kehormatan. Maka layaklah dia bersama dengan para nabi, siddiqin dan syuhada. Dalam konteks seperti Malaysia, dia boleh memberikan mesej yang baik tentang kemuliaan ajaran Islam kepada pihak lain.



Penipuan dan Khianat
Dalam masa yang sama, peniaga juga terdedah untuk menjadi pendusta dan pengkhianat jika dia tidak berakhlak. Menipu apa yang diberitahu kepada pembelinya dan mengkhianati mereka dalam keadaan mereka tidak sangka.

Dalam skala besar, ahli-ahli perniagaan yang mendapat projek-projek mega yang diwujudkan untuk kepentingan negara dan awam bukan sedikit yang menipu dalam pelbagai cara; kos, kualiti, pengurusan dan lain-lain. Ini sehingga negara dan rakyat terpaksa menanggung kos yang tinggi ataupun kualiti hasil kerja yang rendah, ataupun kedua-duanya sekali. 

Penipuan harta awam dan kezaliman mereka mengakibatkan rakyat terpaksa menerima hasil yang tidak sepatutnya seperti jambatan, bangunan yang rosak dan bahaya. Dosa mereka ini terlalu besar. Tidak boleh dipadamkan dengan sekadar menderma untuk binaan masjid dan surau. 

Nabi s.a.w bersabda:
“Sesungguhnya para peniaga dibangkitkan pada hari Kiamat sebagai orang jahat kecuali mereka yang bertaqwa, berbuat kebaikan dan benar” (Riwayat al-Tirmizi, al-Hakim dalam al-Mustadrak dll. Al-Hakim menyatakan sanadnya sahih. Ia dipersetujui oleh al-Zahabi)

Banyak contoh lain yang boleh kita sebut. Di Malaysia umpamanya, ramai orang melayu muslim menjual pelbagai ‘ubatan’, makanan tambahan dan seumpamanya. Pelbagai dakwaan yang sebahagiannya tidak terbukti benar tapi diwujudkan bagi menarik perhatian pembeli. Bahkan ada yang menggunakan nama Allah dan RasulNYA dalam melariskan jualan. Pelbagai firman dan sabda dikaitkan. Dusta atas dusta. Khianat atas khianat.


Perniagaan Makanan
Ramai muslim yang mengusahakan perniagaan makanan terutama kedai ataupun gerai makanan. Para pembeli hanya melihat makanan yang sudah siap, tetapi mereka tidak nampak bagaimanakah makanan itu disediakan. Ada pengusaha yang tidak mengambil berat soal kebersihan. Proses makanan itu disediakan jika dilihat sendiri oleh pelanggan tentu mereka tidak sanggup makan. Mereka tertipu dengan apa yang telah terhidang. Mereka tidak tahu mereka mungkin telah menelan makanan yang kotor, ataupun adanya bahan yang bahaya untuk kesihatan mereka.


Peniaga yang seperti ini merupakan penipu dan pengkhianat yang setiap hari perniagaannya menzalimi dan mengkhianati orang lain. Mereka terus berdosa dengan pelanggan mereka. Malangnya, kadang-kala mereka terlupa bahawa setiap hari mereka menambahkan dosa mereka dengan manusia lain yang itu semua akan dibawa ke hadapan Allah nanti. 

Mungkin juga dibalas di dunia ini, jika Allah kehendaki. Nabi s.a.w tidak menerima peniaga seperti ini sebagai pengikut baginda.
Suatu ketika, Rasulullah s.a.w melintasi satu bekas makanan (untuk dijual), lalu baginda memasukkan tangannya ke dalamnya. Tangan baginda menjadi basah. 

Baginda pun bersabda:
“Apakah ini wahai empunya makanan (peniaga)?. Dia menjawab: “Terkena hujan, wahai Rasulullah!”. Baginda bersabda: “Mengapa engkau tidak jadikan bahagian yang basah itu di atas makanan supaya orang boleh nampak?! Sesiapa yang menipu, dia bukan dari pengikutku” (Riwayat Muslim).


Dosa

Peniaga yang menipu mata pembeli dengan ucapan, tulisan ataupun hiasan yang menawan sehingga pelanggan tertipu, akan menanggung dosa yang besar. Lebih buruk lagi, ramai peniaga kedai makanan yang meletakkan ayat al-Quran di dinding-dinding kedai mereka, bukan kerana ingin menghayatinya tetapi sekadar untuk menarik perhatian pelanggan. Padahal amalan perniagaan mereka tidak seiras dengan ajaran al-Quran. Mereka menzalimi pelanggan mereka yang datang dan mempercayai mereka. Mereka pula menyedia makanan yang tidak tergamak dimakan jika pelanggan mengetahui hakikatnya. 

Sedangkan al-Quran menegaskan: (maksudnya)
“dan orang-orang yang menyakiti lelaki-lelaki yang beriman dan perempuan-perempuan yang beriman tanpa kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul dosa menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata”. (Surah al-Ahzab, 58)

Jual beli yang mempunyai penipuan dan kezaliman adalah haram. Wang yang diperolehi juga adalah haram, walaupun dari segi undang-undang kelihatan macam halal. Sabda Nabi s.a.w:
“Muslim saudara muslim. Tidak halal seorang muslim menjual kepada saudaranya suatu jual yang ada kecacatan tanpa diterangkan” (Riwayat Ahmad, Ibn Majah dll. Al-Hakim menyatakan sahih dan disetujui oleh al-Zahabi).

Kita berbangga melihat muslim berniaga. Namun para peniaga muslim hendaklah beretika dalam perniagaan mereka selaras dengan ajaran Allah dan RasulNYA. Peniagaan satu punca pendapatan yang halal. Jika dikendalikan dengan jujur membawa ke syurga. Jika dikendalikan dengan tipuan dan khianat membawa ke neraka.

Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin

HARI AKHIRAT VS HARI DUNIA



Kadar hari Tuhan, para Malaikat dan ruh-ruh menghadap kepadaTuhan dalam SATU HARI KADARNYA 50,000 TAHUN. (QS. 70 Al Ma’arij 4)


Bertentangan dengan:"Dan mereka meminta kepadamu disegerakan azab, dan Allah sekali kali tidakmenyalahi janjiNya. Dan sesungguhnya satu hari disisi Tuhanmu adalahSEPERTI1000 TAHUN dari apa yang kamu hitung." (QS. 22 Al Hajj 47)

Dia mengatur urusandari langit ke bumi, kemudian naik lagi kepadaNya dalam SATU HARI YANGKADARNYA SERIBU TAHUN. (QS. 32 As Sajdah 5)

Amat ‘keliru’ - satu hari itu itu 50,000 TAHUN pada satu saat, pada masa yang lain pula, SATU HARI ITU IALAHHANYA 1,000 Tahun!!


JAWAPAN:


Mari lihat surah al-Ma’arij, 70:1-4;


(1) سَأَلَ سَائِلٌ بِعَذَابٍ وَاقِعٍ
(2)
لِلْكَافِرينَ لَيْسَ لَهُ دَافِعٌ
(3)
مِنَ اللَّهِ ذِي الْمَعَارِجِ
(4)
تَعْرُجُ الْمَلائِكَةُ وَالرُّوحُ إِلَيْهِ فِي يَوْمٍ كَانَ مِقْدَارُهُ خَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ


1. Seseorang telah meminta kedatangan azab yang akan menimpa
2. orang-orang kafir, yang tidak seorangpun dapat menolaknya
3. (yang datang) dari Allah, Yang mempunyai tempat-tempat naik.
4. Malaikat-malaikat dan Jibril naik (menghadap) kepada Tuhan dalam satu masa yang kadarnya limapuluh ribu tahun.


Ayat 1-4 dalam surah al-Ma’arij berlatar belakangkan Hari Akhirat. Satu masa yang bersamaaan dengan 50000 tahun ini merujuk kepada Hari akhirat iaitu hari yang diminta-minta azabnya oleh orang kafir. Ini dapat diketahui dengan merujuk dari ayat 1-4.


Lihat pula surah as-Sajjadah; 32:5.


(5) يُدَبِّرُ الأمْرَ مِنَ السَّمَاءِ إِلَى الأرْضِ ثُمَّ يَعْرُجُ إِلَيْهِ فِي يَوْمٍ كَانَ مِقْدَارُهُ أَلْفَ سَنَةٍ مِمَّا تَعُدُّونَ


Dia mengatur urusan dari langit ke bumi, kemudian (urusan) itu naik kepadaNya dalam satu masa yang kadarnya adalah seribu tahun menurut perhitunganmu (5)


Satu masa yang bersamaan dengan 1000 tahun dalam surah as-Sajjadah pula merujuk kepada masa di dunia kini.

Manakala dengan apa yang wujud dalam surah al-Hajj;22:47


(47) وَيَسْتَعْجِلُونَكَ بِالْعَذَابِ وَلَنْ يُخْلِفَ اللَّهُ وَعْدَهُ وَإِنَّ يَوْمًا عِنْدَ رَبِّكَ كَأَلْفِ سَنَةٍ مِمَّا تَعُدُّونَ


Dan mereka meminta kepadamu agar azab itu disegerakan, padahal Allah sekali-kali tidak akan menyalahi janji-Nya. Sesungguhnya sehari disisi Tuhanmu adalah seperti seribu tahun menurut perhitunganmu (47)


Ayat surah al-Hajj ini menyatakan 1 masa ‘di sisi Tuhanmu (Allah)’ bersamaan dengan 1000 tahun di sisi manusia. Maksudnya satu masa di sisi Allah bersamaan dengan 1000 tahun.

KESIMPULAN:


1) Ayat 1-4 surah al-Ma’arij menerangkan tentang masa di hari Akhirat. satu hari di hari Akhirat bersamaan 50000 tahun


2) Surah as-Sajjadah ayat 5 pula menerangkan tentang hari yang menurut kiraan manusia.


3) Surah al-Hajj ayat 47 pula menunjukkan satu hari di sisi Allah sama dengan 1000 tahun.
Ketiga-tiga situasi ini adalah situasi yang berbeza. Semua ayat merujuk kepada situasi yang berbeza. Maka tiada percanggahan. Mereka yang keliru kerana tidak mengambil kira ayat sebelum ayat 4 surah al-Ma’arij maka mereka tidak mengetahui tentang latar belakang ayat tersebut dan maksud ayat tersebut yang sebenar.


WALLAHU'ALAM