Tuesday 25 December 2012

PERMASALAHAN PEMUDA





Firman Allah S.W.T:

http://www.ataphijau.com/wp-content/uploads/2010/10/Capture.jpg

“Maka datanglah sesudah mereka pengganti (yang jelek) yang menyia-nyiakan solat dan memperturutkan hawa nafsunya, maka mereka kelak akan menemui kesesatan.” (Maksud Surah Maryam (19):59.

 

“Dan antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” (Maksud Surah al-Rum (30):21).

 

“Dialah Yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezeki-Nya.” (Maksud Surah al-Mulk (67):15).

Masa muda termasuk masa terpenting dalam peringkat umur manusia. Pada peringkat ini, terbentuknya hala tuju dan ketika itulah terbinanya akidah. Melaluinya, terbentuknya jiwa atau jati diri dan tertanamnya akhlak. Pada usia mudalah berlakunya pertempuran antara kebaikan dengan kejahatan atau kebenaran dengan kebatilan, kehidupan yang suci dan mulia atau kehidupan bersukaria dan waktu terluang yang disia-siakan.


Sudah dimaklumi bahawa golongan pemuda pada peringkat usia ini menghadapi berbagai-bagai masalah, krisis pemikiran dan akhlak, jiwa serta fizikal. Mereka tidak mempunyai pelindung daripada pengaruh semua ini, kecuali dengan berpegang teguh pada Islam dan beramal dengan cara atau kaedah serta bimbingannya.

Permasalahan ini boleh disimpulkan dalam beberapa perkara yang berikut ini:

  • Penyimpangan daripada agama, peninggalan ibadah dan menjalani kehidupan tanpa tujuan, arahan dan agama. Atau juga memiliki keimanan terhadap akidah agama secara teori namun meninggalkannya dari sudut amalan, seperti firman Allah dalam Surah Maryam (19):59. Ayat ini memberi maksud mereka tidak menolak keimanan, wajibnya solat serta ketaatan, tetapi mereka hanya mensia-siakan semua perkara tersebut, maka layaklah mereka memperoleh seksaan Allah.

Manusia yang meninggalkan agamanya dan melepaskan diri daripada akidah, ia sebenarnya terjebak dalam dua kesalahan yang besar.

%           Fitrah yang telah dikurniakan oleh Allah kepada manusia, iaitu jika tidak memeluk agama yang hak maka ia akan memeluk agama yang batil dan manusia akan menyembah Tuhan yang lain selain Allah.

%           Sentiasa berada dalam ke “kefakiran” dan memerlukan orang yang dapat mengisi kekosongan hatinya.

Imam ibn al-Qayyim berkata, “Tiada kebahagiaan, kelazatan, kenikmatan, kebaikan bagi hati kecuali ia menjadikan Tuhannya dan Penciptanya sebagai satu-satunya Zat, ia menyembah, menjadikannya sebagai tujuan, memohon kepada-Nya dan mencintai-Nya melebihi apa sahaja selain-Nya.” Antara permasalahan pemuda lagi ialah memenuhi bisikan keperluan fizikal dan jika ini tidak dipenuhi melalui cara yang disyari’atkan, maka dengan dorongan nalurinya akan mencari (cara memenuhinya) dengan cara yang tidak disyari’atkan. Antara keperluan fizikal ini yang paling penting dan yang dibenarkan oleh Islam untuk dipenuhi mengikut batasan syari’at ialah seperti yang berikut:

Memenuhi tuntutan naluri seksual melalui perkahwinan, seperti firman Allah dalam Surah al-Rum (30):21.

Dalam memberikan galakan pemuda untuk berkahwin, Rasulullah S.A.W. bersabda, “Wahai para pemuda, sesiapa antara kamu telah mampu memenuhi al-Ba’ah (belanja perkahwinan dan melakukan jima’), maka berkahwinlah.”

Memenuhi keperluan asas untuk kelangsungan tubuh dan kesihatan tubuh seperti makanan, minuman, khasiat dan ubat. Demikian juga perkara yang dapat mendorong perlaksanaan semua perkara tersebut seperti usaha dan amalan. Seperti firman Allah dalam Surah al-Mulk (67):15.

Kerehatan yang nyaman yang dapat memulihkan kecergasan dan menghilangkan kepenatan. Tubuh sememangnya memerlukan rehat sehingga meliputi rehat daripada kesungguhan dalam beribadah, kerana sabda Rasulullah S.A.W., “Hendaklah kamu semua meneruskan kecergasannya, apabila penat maka duduklah.”

Permasalahan golongan pemuda yang lain ialah meninggalkan ilmu dan guru-guru serta cenderung terhadap permainan dan kemalasan. Masalah ini membawa kepada masalah yang lain pula. Lazimnya, pemuda yang menghadapi permasalahan ini merupakan mangsa bagi kehidupan yang hina atau mereka biasanya terlibat dengan penagihan dadah atau juga perkara-perkara yang tidak bermanfaat dalam masyarakat yang menghilangkan keberanian dan menyebabkan mereka menjadi tidak produktif.

Islam telah memaparkan kepentingan ilmu pengetahuan dengan menyebut cirri-ciri mulia pemuda yang berusaha belajar dan mencapai kecermelangan. Rasulullah S.A.W. bersabda, “Umatku yang paling kasih akan umatku ialah Abu Bakar, yang paling tegas terhadap perintah Allah ialah ‘Umar, yang paling pemalu ‘Uthman, yang paling bijak dalam memutuskan sesuatu perkara ialah ‘Ali, yang paling baik bacaan al-Qur’annya ialah Ubay ibn Ka’ab, yang paling mengetahui tentang halal dan haram ialah Mu’az ibn Jabal dan yang paling pakar dalam ilmu fara’id ialah Zaid ibn Thabit.”

Salah satu krisis golongan ini ialah krisis akhlak, tidak menyukai amalan kebaikan dan penentangan terhadap adat yang benar. Penyelesaian bagi krisis ini ialah dengan mendidik dan mengarahkan (kepada Islam) dan memberikan teladan serta contoh kepada golongan ini.

No comments:

Post a Comment