Tuesday 25 December 2012

MENGUASAI DIRI




Firman Allah S.W.T.:

Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat.” (Maksud Surah al-Isra’ (17):90)

 

Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah.” (Maksud Surah al- Ma’idah (5):8)

Apakah yang dapat mengendalikan jiwa manusia dan menghalangnya daripada tidak terjerumus dalam penyimpangan , kerosakan, melakukan hal-hal yang haram, pelanggaran terhadap kehormatan dan pertumpahan darah? Adakah ia merupakan undang-undang? Adakah ia falsafah moral? Ataukah ia agama dan iman?

Tidak diragui lagi bahawa penciptaan undang-undang yang menyusun urusan dan hal-ehwal manusia merupakan perkara yang mendatangkan kemaslahatan untuk semua. Namun, undang-undang ini sahaja tidaklah memadai untuk mengendalikan tingkah laku manusia. Ini kerana, penguasaan undang-undang hanya pada aspek zahirnya sahaja dan tidaklah pada aspek batinnya.

Salah satu kelemahan undang-undang ialah mudah untuk mengelakkan peraturan-peraturannya. Dengan sebab inilah, undang-undang tidak mampu untuk menjadi penghalang terhadap kejahatan dan jenayah. Pengaruh falsafah akhlak adalah terhad dan tidak sampai dalam jiwa manusia dan juga ia hanya memberi kesan sedikit sahaja kepada manusia. Kelemahan falsafah moral terletak pada kelemahan ikatan manusia dengan kehidupan lain dan kelemahan balasan serta janji dan balasan bagi orang yang melakukannya. Demikian juga kelemahan dalam keseimbangan antara tuntutan jiwa dengan fizikal. ‘Ulama’ mengatakan, “Akhlak tanpa agama adalah sia-sia.” Mereka menegaskan bahawa agama dan akhlak yang mulia merupakan perkara yang satu; tidak mungkin dapat dipisahkan.

Dalam mengendalikan jiwa manusia, manhaj Islam mendidik manusia, sama ada zahir mahupun batin. Hati atau jiwa manusia perlu diberikan pertolongan paling besar kerana jiwa atau hati merupakan wadah iman dan akhlak. Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W., “Ketahuilah bahawa dalam jasad ada segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya dan jika rosak, maka rosaklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati.”

Apa yang dikatakan tentang baiknya jiwa apabila wujudnya keimanan dan akhlak yang luhur juga dikatakan baiknya undang-undang apabila wujudnya keadilan, kebaikan serta keimanan. Seperti firman Allah dalam Surah al-Isra’ (17):90 dan juga seperti firman Allah dalam Surah al- Ma’idah (5):8.

‘Ulama’ mengatakan, “Keadilan bukan dalam teks undang-undang, namun ia berada dalam jiwa seorang hakim.”

Pendidikan pembentukan keimanan dan ketaqwaan mempunyai pengaruh yang besar dalam penyucian jiwa, keluhuran hati dan kemuliaan sanubari. Ia merupakan rahsia hakiki dalam latihan kehidupan seorang Muslim yang selaras dengan nilai keimanan dan istiqamah.

Misalnya, zakat yang dikeluarkan oleh seorang Muslim diambil daripada harta yang terbaik yang dimilikinya, kerana ia berkeyakinan bahawa Allah itu baik dan Dia tidak menerima kecuali yang baik. Pendidikan yang benar terhadap jiwa dan hati menjadikan seorang Muslim mengakui perbuatan dosa yang dilakukannya. Contohnya seperti yang dilakukan oleh Ma’iz bin Malik ketika dia datang kepada Rasulullah S.A.W. dengan mengatakan kepada Baginda, “Wahai Rasulullah S.A.W., aku telah menzalimi diriku sendiri, aku telah berzina dan kuingin agar tuan menyucikan diriku.” Rasulullah S.A.W. berkali-kali menolaknya, namun Ma’iz terus berkeras dengan pengakuan dan permintaannya untuk disucikan (daripada dosa). Hingga dijatuhkan hukum hadd atasnya pun, dia menerimanya dengan reda, sabar dan mengharapkan pahala daripada Allah serta memohon keampunan daripada-Nya.

Adakah setanding undang-undang dan falsafah akhlak dengan apa yang dilakukan oleh pendidikan keimanan?

No comments:

Post a Comment