Sunday 19 May 2013

10 perkara yang dijanjikan ALLAH akan kekal.




10 Perkara Yang Dikekalkan ALLAH swt

Sifat kekal (baqo') adalah sifat ketuhanan terkaya yang layak ada hanya pada DIRI ALLAH swt. Yang selain ALLAH (makhluk) tidak boleh mempunyai sifat kekal kecuali apa yang dikehendaki ALLAH. Ertinya ALLAH Maha Berkuasa untuk menjadikan makhluknya kekal iaitu tidak akan musnah makhluk itu selagi diKehendaki ALLAH. ALLAH memberi nikmat kekal ke atas makhluk-makhluk yang diKehendakiNYA. Nikmat kekal yang diberi ALLAH ini dinamakan 'imdad'.

Maka kekal pada makhluk yang diberi imdad adalah tidak hakiki. Kekal pada makhluk adalah dijadikan kekal oleh ALLAH. Kekal pada makhluk bukan kekal yang bersifat ketuhanan. Kekal pada makhluk bukan sifat kesempurnaan. Kekal pada makhluk adalah satu kurnia yang diberi Khaliq kepada makhlukNYA.

Perkara-perkara yang diberi imdad atau  nikmat kekal adalah di alam ghaib iaitu bukan di alam dunia ini kerana alam semesta dan segala isinya termasuk alam dunia manusia ini akan musnah apabila datangnya Hari Kiamat kelak.


Ada 10 perkara yang dijanjikan ALLAH akan kekal.

1) Syurga beserta segala isinya.

Syurga adalah tempat tinggal yang dijanjikan kepada umat manusia yang taat kepada ALLAH. Di dalam syurga disediakan pelbagai nikmat yang tidak akan habis. Apa yang terdapat di dalam syurga termasuk para penghuninya (manusia dan jin yang beriman) akan kekal buat selama-lamanya.

Firman ALLAH dalam surah al-Baqarah ayat 82, yang bermaksud; "Dan orang-orang yang beriman dan beramal soleh, KAMI akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya, sebagai janji ALLAH yang benar. Dan siapakah yang lebih benar perkataannya daripada ALLAH?"

Kehidupan di dalam alam syurga adalah sentiasa menjadi lebih baik dan lebih nikmat. Tiada lagi kematian di dalam syurga itu. Manusia akan kekal dalam keadaan muda bahkan akan sentiasa di dalam keadaan perawan dan teruna. Segala nikmat syurga seperti sungai-sungai, pepohonan, makanan, minuman dan segala kecantikan alam syurga itu tidak akan binasa dan terus-menerus kekal adanya.


2) Nereka dan segala isinya.

Firman ALLAH dalam surah at-Taubah ayat 68, yang bermaksud; "ALLAH menjanjikan orang-orang Munafik lelaki dan perempuan serta orang-orang kafir dengan neraka jahannam; mereka kekal di dalamnya. Cukuplah neraka itu menjadi balasan mereka; dan ALLAH melaknat mereka, dan bagi mereka azab siksa yang kekal."

Ayat ini jelas menyatakan bahawa neraka itu kekal, manusia (dan juga iblis serta jin kafir) dalam nereka kekal dan segala azab siksa neraka juga kekal.

Ada pendapat yang mengatakan bahawa penghuni neraka itu terbagi 2 iaitu;-


    manusia yang kufur, ingkar dan durhaka terhadap ALLAH

    manusia yang mukmin (beriman) tetapi berdosa yang banyak.

Manusia golongan pertama iaitu yang kafir, ingkar dan durhaka terhadap ALLAH adalah yang kekal di dalam neraka. Sementara manusia yang melakukan dosa tetapi masih ada iman di hatinya mereka ini tidak akan kekal di dalam neraka. Ertinya apabila sampai masanya ( semua dosa telah dibakar api neraka) mereka ini akan dikeluarkan dari neraka dan dimasukkan juga ke syurga lalu kekal mereka di dalam syurga itu.

Hanya ALLAH Yang Maha Mengetahui.

3) Roh manusia

Firman ALLAH dalam surah al-Isra' ayat 85, yang bermaksud; "Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh; katakanlah bahawa roh itu termasuk urusan Tuhanku dan tidaklah kamu diberi pengetahuan (tentang roh) melainkan sedikit."

Roh adalah ciptaan ALLAH yang tidak dapat difikirkan hakikatnya. Tiada siapa yang dapat menghuraikan dari apakah roh itu di perbuat.

Setiap manusia yang dilahirkan di alam dunia akan ditiupkan rohnya semasa di dalam rahim ibunya pada masa yang hanya diketahui oleh ALLAH swt. Maka lahirlah manusia itu bersama jasad dan roh. Apabila manusia itu mati, jasadnya akan hancur kembali ke bumi tetapi rohnya akan terus hidup di alam barzakh (alam kubur). Kemudian roh itu akan disatukan kembali kepada jasad manusia pada Hari Kebangkitan. Roh itu akan kekal bersama jasad manusia di sepanjang perjalanan manusia menuju ke syurga atau ke neraka.

4) Asal benih manusia

Asal kejadian ciptaan manusia adalah dari tanah. Para bijak pandai telah mengkaji asal kejadian manusia dan berpendapat bahawa setiap manusia itu mempunyai asal benih yang terletak di penghujung tulang belakanya. (Dalam dunia haiwan penghujung tulang belakang itu tempat bermulanya ekor) Dalam dunia manusia, penghujung tulang belakang itu mengandungi satu sel induk kejadian manusia. Sel ini terlalu kecil untuk dilihat dengan mata kasar dan tidak akan musnah walaupun jasad manusia itu telah hancur ditelan bumi atau hangus dibakar api atau lenyap dimakan ikan di lautan. Apabila datangnya Hari Kiamat sel induk manusia ini akan terendam dalam air hujan lebat yang tidak diketahui berapa lamanya kemudian apabila tiba masanya ia akan menjadi jasad manusia yang baru. Pada Hari Kebangkitan jasad manusia yang baru itu akan dibangkitkan lalu dikembalikan rohnya dan hiduplah manusia itu di alam yang baru iaitu alam masyar.

Hanya ALLAH Yang Maha Mengetahui.

5) Lauhil Mahfuz

Lauhil Mahfuz adalah tempat suratan nasib manusia ditulis sebelum ditiup roh. Tidak ada penerangan yang terperinci tentang lauhil mahfuz ini kecuali ia wujud di alam  azali (alam yang telah wujud sebelum adanya alam dunia). Ia adalah perkara ghaib dan wujud di alam ghaib juga.

Hanya ALLAH Yang Maha Mengetahui.

6) Qolam

Qolam adalah perkara ghaib juga. Ia adalah alat yang menulis di lauhil mahfuz. Hanya ALLAH Yang Maha Mengetahui.

7) Kursi

Kalimah kursi terdapat di ayat al-Baqarah ayat 255 (ayat kursi); "....Kursi ALLAH meliputi langit dan bumi..."
Ada tafsir yang memberi erti 'Kursi' itu sebagai Ilmu dan Kekuasaan ALLAH atau Kerajaan ALLAH. Maka 'Kursi' ALLAH ini adalah kekal dengan KehendakNYA jua.

Hanya ALLAH Yang Maha Mengetahui.

8) Arasy

Satu lagi perkara ghaib yang hanya diketahui oleh ALLAH swt ialah Arasy. Firman ALLAH dalam surah al-Mukminun ayat 86, yang bermaksud; "Tanyalah; Siapakah yang memiliki dan mentadbir langit yang tujuh, dan Tuhan yang mempunyai Arasy yang besar?"

Ada yang mentafsirkan Arasy sebagai Kekuasaan Kerajaan ALLAH yang akan kekal dengan kehendakNYA jua. Hanya ALLAH Yang Maha Mengetahui.

9) Jasad para Nabi dan Rasul ALLAH swt.

Para alim ulama' berpendapat bahawa jasad para Nabi dan Rasul ALLAH swt adalah terpelihara dari hancur. Dan apabila tiba Hari Kebangkitan kelak, jasad para ambiak ini akan dihidupkan kembali bersama roh mereka.

Hanya ALLAH Yang Maha Mengetahui.

10) Jasad manusia yang mati syahid dan penghafal al-Quran

Jasad manusia yang mati syahid (mati dalam peperangan membela agama Islam) dan juga jasad para penghafal al-Quran juga akan dikekalkan sampai Hari Kiamat tidak akan hancur dimakan tanah.

Hanya ALLAH Yang Maha Mengetahui.

thm_Btflyorg[A]Inilah 10 perkara yang dijanjikan akan dikekalkan adanya. Kekal mereka adalah kekal yang dijadikan kekal iaitu kekal 'arabi atau kekal mendatang. Perkara-perkara ini pada asalnya adalah tidak ada kemudian dijadikan ada. ALLAH Berkehendak bahawa mereka menjadi kekal adanya lalu mereka pun kekal adanya. Kekal mereka kerana dijanjikan ALLAH. Kekal mereka tidak hakiki ( yang sebenarnya).

*** Lauhil Mahfuz, Qolam, Kursi dan Arasy adalah perkara-perkara yang tidak ada huraian dan penerangannya kerana mereka wujud di alam ghaib (azali) iaitu alam yang wujud sebelum wujudnya alam dunia.

*** Bagi jasad manusia yang dikekalkan, ianya hanya berlaku selepas kebinasaan (kematian). Tiada manusia hidup yang boleh kekal di alam dunia kerana segala isi alam semesta telah ditetapkan akan binasa.

No comments:

Post a Comment