Tuesday 25 December 2012

Astaghfirullah.. Astaghfirullahal’adzim, astaghfirullahal’adzim, astaghfirullahal’adzim


 

 



Taubat itu menyenangkan si Hamba dan meredakan Tuhannya.

Jalanilah hidupmu dengan gembira kerana sememangnya hidup itu indah. Sekurang-kurangnya anda boleh menjadikan hidup ini indah dengan kebaikan anda.

Sesungguhnya orang-orang yang bertaubat dan membersihkan diri amat disukai oleh Allah. Justeru, taubat seorang hamba lebih disukai Allah dan lebih menggembirakan daripada kegembiraan orang yang menemukan barang berharganya yang telah hilang. Sungguh benarlah bahawa Allah itu Maha Besar dan Maha Mengasihani. Allah sangat suka dengan taubat seseorang itu supaya ia mendekatkan dirinya di sisiNya:

“Bertaubatlah kamu semua kepada Allah, wahai orang-orang mukmin, supaya kamu mendapat kemenangan.” (Surah An-Nur:31)

Bertaubat bermakna membersihkan hati dengan air mata penyesalan. Dengan kata lain, bertaubat adalah pembersihan hati( tazkiyatun nafs), pengawalan nafsu, penyemaian kemuliaan, dan penyesalan atas dosa-dosa yang telah lalu. Itulah tempat bertolak bagi perjalanan yang ditempuhi oleh orang-orang yang bertaubat, modal bagi orang-orang yang berjaya, langkah awal bagi mereka yang menuju Allah, kunci mereka yang hendak memasuki gerbang-Nya.

Petanda orang yang bertaubat ialah dia tunduk, mudah tersentuh hatinya, dan senang menangis. Ketika orang lain merasa tenang, dia tidak boleh tenang kerana takut. Dirinya sentiasa menghadap Allah dengan kesedihan yang mendalam, hatinya gundah, kepalanya tertunduk dan kulitnya merinding kerana ketakutan.

Jika ia mengingat dosa dan kesalahan-kesalahannya, maka dia mengalami kesedihan yang mendalam dan gemuruh hatinya yang luar biasa, yang menjadikan air matanya kering kerana terlalu banyak menangis. Dia berbisik kepada hatinya bahawa hari esok adalah masa untuk berlumba fastabiqul khairat dan mengurangi urusan keduniaan supaya dapat melalui titian dengan selamat.

Cuba kita lihat kembali diri kita hari ini..Sudahkah kita bertaubat dari segala kesalahan dan dosa-dosa kita tidak kira yang kecil mahupun yang besar, yang  terang mahupun yang tersembunyi, yang kita lakukan secara sedar ataupun di bawah sedar dan telah kita lakukan ataupun yang bakal kita lakukan di masa hadapan? Sudahkah kita lakukan perkara yang mengundang cinta Allah ini kepada diri kita?

Istighfar kita pula bagaimana? Jika Rasulullah saw yang maksum itu,sehari dzikir istighfar baginda melebihi 70 kali, apatah lagi diri kita yang amat jauh bezanya taraf ilmu, ibadah dan kekhusuyukan kita dengan baginda, tetapi kita lebih suka,lebih sibuk dan lebih lalai membasahkan lidah dengan mendendangkan lagu-lagu pop terkini, daripada merayu-rayu memohon keampunan tumpuan cinta kita ini. Ayuh sama-sama kita renungkan!

Astaghfirullahal’adzim,astaghfirullahal’adzim,astaghfirullahal’adzim..

Bersikap positif dan optimislah dalam hidup. Jika hari ini anda mengalami hal yang tidak baik, percayalah bahawa ia akan berakhir, dan hari esok akan menyusul membawa khabar gembira dan kebahagiaan.

No comments:

Post a Comment