Monday 24 September 2012

☆•☆ SYURGA HAKIKI ANUGERAH ALLAH ☆•☆






"Sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga malah tidak pernah terlintas didalam fikiran"... Itulah syurga. Syurga sebenar-benarnya yang disediakan untuk hambaNya yang taat ketika di atas dunia.

Syurga tersebut hanya akan dapat dinikmati di akhirat nanti. Tetapi bagi orang yang soleh, nikmat syurga telah boleh dirasai sebaik saja nyawa terpisah dari badan. Ketika sakaratul maut, hamba yang layak masuk syurga sudah diperlihatkan tempat tersebut. Ketika selesai pengebumian dan soalan munkar nakir, dia akan mula menikmati tempias syurga sedikit demi sedikit. Antaranya, pusaranya diluaskan seluas mata memandang. Pusaranya bercahaya dan berbau harum.

Syurga adalah sesuatu yang pasti. Syurga ALLAH sama sekali tidak sama seperti syurga dunia yang banyak disebut-sebut oleh manusia berharta dan kaya raya. Syurga dunia bersifat sementara. Sedangkan syurga ALLAH SWT bersifat kekal untuk selamanya.

Nikmat syurga ALLAH SWT yang kekal itu, kekal indah dan kekal keseronokkannya. Malah, manusia dalam syurga tidak akan pernah berasa bosan atau jemu walaupn setiap hari berseronok dan berhibur. Harus diingat bahawa dalam syurga Allah, keseronokkan dan hiburan yang dihamparkan adalah yang diredhai. Ada bidadari yang melayan dan ada sungai minuman yang lazat.

Penghuni syurga ALLAH SWT merupakan mereka yang tidak berani mempersoalkan apatah lagi mempersendakan hukum hakam ILAHI ketika di dunia. Mereka tidak pernah mempersoalkan mengapa ALLAH SWT menghalalkan ini dan mengharamkan itu. Lalu mereka tidak melampaui batasan itu dan tidak berani menolak hukum hakam ISLAM. Mereka hanya menurut kerana sedar, mereka hanyalah hamba yang menurut perintah.

Pabila dikatakan solat itu wajib, mereka taat. Pabila dikatakan menutup aurat itu wajib, mereka tidak membantah. Pabila dikatakan pergaulan bebas itu haram, mereka meninggalkannya. Pabila dikatakan membaca Al Quran itu, solat sunat dan puasa sunat itu boleh menambahkan pahala, mereka akur. Pendek kata, mereka suka lahir sebagai seorang ISLAM dan melakukan perkara yang baik tanpa memberi alasan.

Selain itu, mereka juga menjaga diri dari terjebak dalam penyakit hati dan penyakit lidah. Ini kerana kedua-dua penyakit itu boleh membinasakan segenap amal kebaikan, malah meruntuhkan silaturahim.

Itulah sebahagian daripada penghuni syurga ALLAH SWT. Setelah menjadi hamba yang taat di atas dunia, maka wajarlah mereka mengecap nikmat yang tidak berkesudahan itu. Bak kata pepatah "bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian." tidak mengapa susah dahulu asalkan pada akhirnya, hidup senang lenang buat tempoh masa yang tiada akhirnya.

Firman ALLAH SWT, "Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal yang baik) untuk mendapat keampunanTUHAN kamu, dan mendapat syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang beriman kepada ALLAH dan RasulNya. Demikian itu adalah limpah kurnia ALLAH diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendaki; dan ALLAH sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar." (Surah Al-Hadid: 21)

Syurga itu luas dan banyak tingkatnya. Kita manusia biasa namun berhak merindui syurga ALLAH SWT. Sesiapa pun layak memasuki syurgaNYA, orang miskin atau orang kaya, berwajah hodoh atau cantik, berketurunan mulia atau tidak, asalkan memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh ISLAM, sebagai hamba yang beriman dan bertaqwa.

Syurga itu amat indah. Percayalah tentang keindahannya sambil memahat cita-cita untuk tinggal buat selama-lama didalamnya. Apapun berubahlah dahulu. Antara dua jalan yang terbentang, harap2 kita akan memilih jalan disebelah kanan, walaupun laluannya sempit. Ini kerana sebenarnya jalan ini sebenarnya luas dan lapang dihujungnya. Menerima suratan amalan dengan tangan kanan dan seterusnya dipimpin hidayahNya untuk menjadi ahli syurga.

Sebelum itu, mari kita hiasi diri dengan kemanisan iman. Ia boleh dipupuk dengan cara memujuk hati mencintai agama sendiri. Taat dan patuh pada perintah ILAHI...

No comments:

Post a Comment