Saturday 28 July 2012

APA ADA DI DALAM KAABAH

Ada Apa di Dalam Kaabah? (Gambar) | Pernah tak korang terfikir, apa sebenarnya terdapat dalam Kaabah. Kalau di zaman Arab Jahiliyah dulu, seperti termaktub dalam sejarah, kita tahu yang dalam Kaabah terdapat banyak patung-patung sembahan. Selepas pembukaan Mekah oleh Nabi Muhammad SAW, semua patung-patung itu telah dibuang. Gambar-gambar yang dilukis atau diconteng oleh orang Arab Jahiliyah di dalam Kaabah turut dibersihkan. Maka, sekarang, apa yang telah terjadi di dalam Kaabah? Adakah anda tahu? Betul ke ada banyak emas perak dan permata di dalam Kaabah? Adakah hanya sebuah bilik kosong sahaja? Saksikan gambar-gambar dan artikel terperinci di bawah.
Dalam Kaabah
3d dalam kaabah 0
3d dalam kaabah
Zaman Nabi Muhammad s.a.w., di dalam Kaabah ada terdapat enam tiang yang dibina oleh Kaum Quraisy. Tiang-tiang Kaabah itu diguna untuk menyokong bumbungnya. Dua tiang sebelah kiri, satu tiang di sebelah kanan dan tiga tiang di sebelah belakang. Tiang-tiang itu adalah tiang kayu.
 Selepas pembinaan yang dilakukan Sultan Murad, cuma terdapat tiga batang tiang kayu. Tiang-tiang itu terletak di bahagian tengah Kaabah, setiap satu batang bergaris pusat lebih kurang 1.5 meter. Berwarna merah kekuningan. Satu daripada tiang itu berbentuk bulat dan dua lagi berbentuk empat persegi.
 Sekitar tahun 1304 Hijrah (tahun 1884) tiang-tiang dalam Kaabah itu menjadi reput, dalam tahun 1314 Hijrah (tahun 1894) ia telah diperkuatkan dengan dibuat lengkungan kayu seperti bola di bahagian bawah setiap tiang itu yang terletak lebih kurang 1.5 meter dari lantai Kaabah. Antara tiga tiang dalam Kaabah itu jarak di antara satu sama lain ialah 2.35 meter.
Terdapat sebuah tangga kayu yang dibina di dalam Kaabah untuk menuju ke bumbung Kaabah. Di tangga itu telah dipasang dengan tirai kain sutera hitam yang dihiasi emas dan perak. Lantai dalam Kaabah dipasang marmah putih dan marmar merah. Dinding Kaabah juga dipasang marmar berwarna dan dihiasi dengan tulisan khat.
  
Dalam Kaabah juga terdapat tirai sutera merah putih yang tertulis kalimah syahadah. Terdapat banyak lagi perkataan yang ditulis, tirai itu digunakan untuk menutup bahagian dalam bumbung Kaabah dan empat penjuru bahagian dalam dinding Kaabah.
  
Oleh kerana tirai itu dibuat semasa pemerintahan Sultan Abdul Aziz Khan iaitu dalam tahun 1209 H (tahun 1789) maka dalam usia yang terlalu lama itu, warnanya menjadi seperti hijau dan kelabu.
  
Ada pelbagai jenis lampu berwarna-warni yang diletakkan di antara tiga tiang Kaabah. Lampu-lampu itu adalah hadiah-hadiah yang diberikan orang untuk Kaabah semenjak berkurun-kurun lagi. Terdapat sepasang kayu papan yang diletakkan pada dinding Kaabah, kayu itu berasal dari bahtera Nabi Noh. Terdapat sekeping marmar merah empat segi di sebelah sudut utara dalam Kaabah.
Antara barangan lain yang terdapat dalam Kaabah ialah barang tinggalan sejarah yang diletakkan di penjuru Iraqi, antara barangan itu termasuklah sepasang subang dipercayai kepunyaan Siti Maryam dan satu tanduk kibas.
Menurut kata Dr Muzammil Siddiqi [1] yang berpeluang masuk ke dalam Kaabah pada tahun 1998; Di dalam Kaabah ada: 3 tiang, antara tiga tiang dalam Kaabah itu jarak di antara satu sama lain ialah 2.35 meter. Terdapat sebuah meja di tepi untuk letak benda seperti minyak wangi; ada 2 lampu seperti pelita tergantung dari siling; ruangnya boleh memuatkan lebih kurang 50 orang, tiada lampu elektrik iaitu tidak ada system pencahayaan elektrik, dinding dan lantainya daripada marmar kecuali ada sebuah bahagian yang dinamai “Rukhamat Humra”, tiada tingkap, satu pintu, dinding sebelah atas diliputi kain yang ada kalimah di atasnya. Bahagian atas dinding ditutup dengan kain warna hijau dihiasi dengan tulisan ayat al-Quran dengan tinta emas.

Perigi Harta Dalam Kaabah
  
Mengikut kajian dari Muhammad al-Azraqi, ada terdapat sebuah perigi tersangat dalam di dalam Kaabah yang digali oleh Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. Perigi itu terletak di sebelah kanan Kaabah. Di dalam perigi itu telah dimasukkan emas, perak dan permata yang dihadiahkan orang kepada Kaabah dalam jumlah yang agak banyak. Perigi tersebut kini berada di bawah lantai marmar bahagian dalam Kaabah.
  
[1] Beliau adalah bekas presiden Islamic Society of North America (ISNA) dan merupakan sahabat penulis buku ini. Sekarang menjadi ahli majlis shura ISNA dan majlis fiqh Amerika Utara.
  
Dipetik dari buku Membongkar Rahsia Kaabah, karya Azizan Ahmad. Pernah bekerja sebagai “Book Adviser” di TIMES and LIFE, sebuah penerbitan antarabangsa Amerika yang terkemuka dan di Strait’s Times Press.

No comments:

Post a Comment